TMJ persoal cara PM tangani isu Pulau Kukup dan kuil di Selangor

Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap kerajaan Pusat mengkaji terlebih dahulu isu sebenar yang berlaku di negeri ini sebelum menuduh perkara tidak tepat ataupun mendengar bisikan pihak tertentu.

Tunku Mahkota Johor itu menegaskan, sebagai contoh isu Pulau Kukup di Pontian yang dilihat cuba campur tangan sedangkan perkara tersebut di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Dalam kenyataan hari ini, Perdana Menteri ada menyatakan bahawa Pulau Kukup tidak patut dibangunkan. Walau bagaimanapun, sehingga hari ini tiada sesiapa pun yang mengeluarkan kenyataan mengenai pembangunan di Pulau Kukup.

“Isu sebenar mengenai Pulau Kukup adalah kita memerlukan langkah yang lebih progresif untuk memelihara kawasan berkenaan, bukannya untuk dibangunkan. Saya berharap agar mana-mana pihak tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah daripada isu sebenar,” tulisnya dalam status terbaharu Twitternya malam tadi.



Tunku Ismail berkata, cara Perdana Menteri mengendalikan isu kuil di Seafield, Subang Jaya, Selangor pada 29 November lalu berlainan dengan kenyataan berkenaan Pulau Kukup.

Menurut Putera sulung Sultan Johor itu, Perdana Menteri berkata bahawa hal tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri dan kerajaan Pusat tidak mempunyai hak untuk masuk campur.

“Walau bagaimanapun, kenyataan ini bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri sendiri mengenai isu Pulau Kukup dalam kenyataan beliau hari ini. Dalam isu Pulau Kukup pula, beliau berkata kerajaan pusat bukan ‘orang luar’ dan bertanggungjawab ke atas semua negeri dan terhadap Pulau Kukup.

“Oleh itu, kenapa kerajaan pusat ingin masuk campur dalam hal tanah di Johor, tapi tidak mahu melakukan perkara yang sama dalam isu kuil di Selangor?



“Dalam tempoh masa 12 hari sahaja, Perdana Menteri telah memberi dua kenyataan bercanggah mengenai bidang kuasa kerajaan Pusat mengenai urusan tanah di negeri berlainan. Jika dibuat perbandingan, isu tanah kuil di Subang Jaya, Selangor itu juga adalah sangat serius kerana terdapat rusuhan dan ketegangan antara kaum,” katanya.

Selain isu itu katanya, rakyat juga sering kali mendapati kerajaan Pusat membuat banyak pusingan U dalam pelbagai janji, isu dan keputusan, kebanyakan isu tersebut memberi kesan dan impak kepada kehidupan harian rakyat Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker