Konflik dalaman PPBM Johor

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta supaya campur tangan menyelesaikan konflik ketua bahagian yang berlaku di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Badan Bertindak Bersatu Sekijang, Dr Mohd Zohar Ahmad berkata, selain presiden, campur tangan daripada kepimpinan tertinggi yang lain turut diperlukan dalam menangani konflik yang berlaku bukan sahaja di Johor Bahru sebaliknya turut melibatkan kawasannya di Sekijang.

Katanya, konflik itu berlaku selepas beberapa masalah membabitkan ketua bahagian di Kota Tinggi, Batu Pahat dan Sembrong sebelum ini.

Menurutnya, ketika ini sebanyak 13 daripada 18 cawangan Bersatu Bahagian Sekijang menolak kepimpinan ketua bahagian mereka, Uzzair Ismail.



Jelasnya, 13 cawangan itu yang mewakili lebih 700 ahli mendesak Uzzair meletak jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Sekijang kerana tidak lagi berfungsi apatah lagi memainkan peranannya.

“Uzzair telah hilang kepercayaan dan majoriti sokongan ahli akar umbi. Terdapat 18 cawangan Bersatu dalam bahagian Sekijang, hanya satu cawangan menyokong Uzzair manakala empat lagi dalam proses untuk menolaknya.

“Sebab lain semua cawangan Bersatu Sekijang itu menolak Uzzair kerana beliau tidak pernah mengambil berat dan mengambil kira permasalahan akar umbi termasuk tidak menganjurkan program,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Pada 11 November lalu, 11 daripada 14 cawangan Bersatu bahagian Johor Bahru mengadakan satu sidang akhbar khas mendesak ketua bahagian mereka, Abdull Bakar meletak jawatan selepas didakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.



Dr Mohd Zohar berkata, tiada sebarang peruntukan disalurkan ke peringkat cawangan selepas menang Pilihan Raya Umum (PRU) tersebut walaupun difahamkan dana sememangnya ada diberikan kepada bahagian itu.

Katanya, jawatankuasa itu sudah menghantar memorandum pada 24 Mei 2019 dan surat berserta bukti salah laku ketua bahagian mereka kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Tan Sri Syed Hamid Albar pada 20 Februari lalu tetapi senyap sehingga kini.

Beliau berharap, Muhyiddin yang kini Pengerusi Bersatu Johor selepas dilantik pada 8 September lalu perlu mengambil tindakan terhadap masalah tersebut sebelum nasi menjadi bubur.

“Kami mengharapkan segala pengorbanan kami dihargai dengan memberi keadilan serta dipandang serius demi memulihkan kepercayaan semua ahli Bersatu Sekijang. Ini juga sebagai langkah yang mantap dalam menghadapi PRU,” ujarnya. MG



Maszlee dakwa Hadi tolak penyelesaian dua negara Israel dan Palestin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker