‘Mahu jual kapal kami tapi tak beri notis’ – Equanimity (Cayman) Ltd.

Pemilik kapal layar Equanimity mempersoalkan tindakan Kerajaan Malaysia yang tidak menyerahkannya sebarang notis berhubung penjualan atau prosiding mahkamah membabitkan kapal mewah berkenaan.

Equanimity (Cayman) Ltd dalam satu kenyataan hari ini berkata, undang-undang memperuntukkan penyampaian notis berhubung hasrat menjual kapal itu (sementara menunggu prosiding mahkamah) diserahkan kepada mereka selaku pemilik kapal layar terbabit.

Equanimity (Cayman) Ltd turut mengkritik tindakan kerajaan kerana bertindak secara unilateral dalam perkara itu sedangkan terdapat prosiding di mahkamah Amerika Syarikat (AS) termasuk di peringkat rayuan berhubung pemilikan dan hak penjagaan ke atas aset berkenaan.

“Kami maklum bahawa terdapat prosiding yang masih berlangsung di mahkamah AS dan tardapat pemfailan dokumen mengenainya di hadapan hakim AS dalam tempoh 24 jam lalu… malah Jabatan Kehakiman AS (DoJ) ada mengemukakan pemfailan pada di mahkamah kurang daripada seminggu lalu.



“Bagi Malaysia untuk bertindak secara unilateral (sebelah pihak) sementara masih ada permohonan dan proses undang-undang di mahkamah AS yang masih berlangsung, ia adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

“Malah secara faktanya, rampasan yang dilakukan negara itu terhadap kapal layar berkenaan adalah melanggar perintah mahkamah AS yang melantik kerajaan AS sebagai penjaga kapal berkenaan,” kata kenyataan itu.

Equanimity (Cayman) Ltd berkata, kerajaan AS sebelum ini menyatakan bahawa mereka tidak mengetahui mengenai rampasan kapal itu oleh Kerajaan Malaysia dan berkemungkinan AS juga tidak mendapat sebarang notis awalan berhubung tindakan itu.

Ia berkata, di sebalik kenyataan bercanggah dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia, pihak AS masih tidak dapat membuktikan kesnya terhadap Equanimity.



Katanya, Kerajaan AS hanya memfailkan dakwaan yang tidak dibuktikan melalui prosiding mahkamah dan kemudian menangguhkan prosiding berkenaan selepas pihaknya membuat bantahan.

Menurut syarikat itu lagi,ia menyebabkan tiada pihak yang dapat menjawab dakwaan itu dan kini pihak kerajaan AS juga tidak dikehendaki untuk membuktikannya.

“Selain itu, adalah jelas bahawa rampasan dibuat Malaysia dan hasratnya untuk menjual kapal berkenaan adalah bertentangan dengan kepentingan kapal itu yang kini semakin terjejas… Sesungguhnya potensi nilai jualannya semakin merudum.

“Oleh kerana tindakan yang dibuat secara terburu-buru, tanpa ada sebarang perancangan dan tersilap perhitungan menyebabkan kapal itu kini digerakkan melalui kuasa generator selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu yang bukan saja membahayakan malah ia tidak akan bertahan lama.



“Malah kerajaan Malaysia menempatkan kapal mewah itu di persekitaran yang merbahaya di mana toksin daripada pencemaran air dan asap berdekatan boleh merosakkannya dengan lebih teruk.

“Ini adalah kerana ia (Kerajaan Malaysia) tidak memiliki atau tidak mahu membelanjakan dana yang diperlukan untuk menyelenggara kapal itu secara teratur sementara menunggu ia boleh dijual pada nilai maksimum, sebaliknya mencadangkan ia dijual pada nilai rendah iaitu hanya sebahagian daripada nilai sebenar,” katanya.

Syarikat itu berkata, tindakan untuk menjual kapal layar itu adalah satu pelanggaran jelas dan nyata terhadap proses perundangan dan kerjasama perundangan antarabangsa membabitkan kerjasama antara negara serta bakal menimbulkan persoalan pemilikan sebenar kepada pembeli berpotensi.

“Tindakan tersalah arah ini akan menimbulkan keraguan terhadap persoalan siapakah pemilik sebenar kapal itu dan boleh memakan masa bertahun untuk diselesaikan oleh beberapa mahkamah seluruh dunia,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker