Batal banyak projek punca KDNK jatuh – Najib

Pemberhentian banyak projek sehingga menyebabkan semua sektor ekonomi menunjukkan kejatuhan dipercayai menjadi punca kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku kedua merosot dengan teruk daripada 5.4 peratus sehingga 4.5 peratus.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, walau bagaimanapun ekonomi negara diselamatkan oleh sektor permintaan dalam negara, apabila cukai barang dan perkhidmatan (GST) disifarkan sehingga menggalakkan lebih banyak pengguna untuk membeli.

Namun begitu, ujarnya, keadaan itu tidak akan berpanjangan kerana cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan bermula bulan depan.

“Pertumbuhan KDNK bagi suku kedua mungkin lebih rendah kerana semua sektor ekonomi telah menunjukkan kejatuhan yang berpunca daripada banyak projek telah dihentikan.

“Kejatuhan sebegini agak membimbangkan kerana kadar pertumbuhan suku kedua kini di bawah paras negara Indonesia dan Thailand yang sebelum ini lebih rendah daripada kita,” katanya dalam status Facebook, hari ini.

Najib turut bimbang dengan trend pelaburan langsung asing (FDI) yang menurun daripada RM12 bilion pada suku pertama kepada RM2.8 bilion, manakala pelaburan portfolio juga menunjukkan pengaliran keluar sebanyak RM38.3 bilion pada suku kedua berbanding pengaliran ke dalam sebanyak RM2.5 bilion untuk suku pertama.

Katanya lagi, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) setiap dua minggu terus jatuh setiap kali diumumkan semenjak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) daripada AS$110 bilion kepada AS$104.2 bilion pada 15 Ogos lalu.

“Mata wang ringgit juga telah menyusut 25 sen kepada RM4.10 berbanding RM3.85 pada April sebelum pilihan raya. Nilai Ringgit banyak bergantung kepada harga minyak dunia. Beberapa tahun dahulu masa saya menjadi Perdana Menteri, ringgit juga jatuh di bawah RM4.10 semasa harga minyak dunia sangat rendah sehingga di bawah US$30 satu tong.

“Tetapi ringgit yang lemah kini ketika harga minyak dunia jauh lebih tinggi pada tahap US$75 satu tong. Tidak mustahil nilai ringgit akan lebih lemah lagi jika harga minyak dunia jatuh sekali lagi,” katanya.

Selain itu, beliau turut bimbang dengan situasi lebihan dagangan antarabangsa yang jatuh teruk pada Mei dan Jun lalu kepada RM6 bilion iaitu setengah daripada lebihan RM13 bilion untuk April kerana jumlah import telah naik dengan pesat, manakala kadar pertumbuhan eksport telah menurun.

“Ini mungkin disebabkan oleh GST disifarkan dan menyebabkan pengguna menjurus kepada pembelian barang import,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker