Antara saya dengan Agong, Anwar kata orang lain tak perlu tahu perincian [ VIDEO ]

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, berkata orang lain tidak perlu tahu secara terperinci urusannya dengan Agong berhubung dakwaan beliau mendapat sokongan secukupnya untuk membentuk kerajaan baharu, selepas selesai memberi keterangan kepada polis hari ini.

Anwar berkata memadai untuk Kementerian Dalam Negeri dan ahli politik tahu surat pengesahan presiden parti-parti politik – “mewakili nama-nama parti masing-masing” – sudah diberikan kepada Agong.

“KDN yang arahkan polis untuk mengetahui nama-nama. Saya beritahu pertemuan dengan Agong antara saya dan Agong, tak munasabah untuk orang mengetahui secara terperinci apa yang berlaku antara saya dan Agong,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan pemberita adakah polis meminta senarai penuh ahli Parlimen yang menyokong beliau itu, dikatakan sebanyak 121 orang.



“Urusan setakat ini antara saya dengan Agong, bukan urusan polis dan pihak politik,” tambahnya.

Anwar hari ini tiba di Bukit Aman untuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, berhubung suatu senarai yang dikaitkan dengan beliau, yang menamakan ahli-ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.

Siasatan terhadap pemimpin parti reformasi itu mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sehingga hari ini, belum ada pihak mengesahkan senarai yang tersebar itu. Penyebaran senarai itu diikuti dengan laporan polis oleh beberapa wakil rakyat yang dinamakan.



Penyebaran senarai itu menyusuli pengumuman oleh Anwar pada 23 Sept, mendakwa beliau mendapat sokongan “kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti, majoritinya Bumiputera.

“Ada 6 kes terhadap saya dan umumnya menjurus kepada memohon supaya nama-nama Ahli Parlimen menyokong saya diberikan,” katanya.

Presiden PKR itu berkata permintaan itu berdasarkan laporan polis dibuat yang melibatkan senarai nama yang tidak disahkan itu.

Anwar dibenarkan menghadap Agong berhubung dakwaan mendapat sokongan secukupnya itu pada 13 Okt.



Media melaporkan beberapa presiden parti politik lain diminta menghadap, termasuk Presiden Umno, Zahid Hamidi; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sementara itu, peguam Anwar, Ramkarpal Singh pelik kenapa semua 6 kes dijalankan “secara tergesa-gesa”.

“Biasanya ia akan ambil masa. Perkara seperti ini menimbulkan persoalan,” katanya kepada pemberita.

Anwar yang tiba pada 3 petang tadi melangkah keluar daripada Bukit Aman selepas 2 jam memberi keterangan. FMT



[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=tUFnufLOwxE[/embedyt]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker