MIDA tarik 32 projek pelaburan berjumlah RM17.5 bln ekoran isu AS-China

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjaya menarik 32 projek dengan pelaburan berjumlah RM17.5 bilion membabitkan penempatan semula syarikat-syarikat asing yang terjejas akibat konflik dagangan Amerika Syarikat (AS)-China, ke Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Lim Ban Hong berkata ini dicapai melalui khidmat fasilitasi oleh MIDA setakat 31 Mei lepas kepada 86 syarikat terjejas dari China dan negara-negara lain.

“Daripada 32 projek itu, sebanyak 28 projek dengan pelaburan berjumlah RM8.36 bilion telah diluluskan manakala empat projek dengan pelaburan bernilai RM9.14 bilion masih dalam proses penilaian.

“Projek-projek tersebut akan dilaksanakan di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.



Beliau menjawab soalan Datuk Wira Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) berhubung kejayaan kerajaan menarik pelabur-pelabur dari China dan Jepun yang memindahkan operasi mereka dari China akibat perang dagangan AS-China serta pandemik COVID-19.

Menurut Lim, daripada 28 projek yang diluluskan, sebanyak 10 projek bernilai RM2.67 bilion merupakan syarikat dari China yang dapat mewujudkan sekurang-kurangya 1,131 peluang pekerjaan.

Selain itu, dua projek yang telah diluluskan membabitkan syarikat Jepun dengan jumlah pelaburan RM188.18 juta dan 206 peluang pekerjaan, katanya.

“Meskipun isu konflik perdagangan AS-China dan pandemik COVID-19 telah mengubah dan menjejaskan rantaian bekalan global, kerajaan akan terus melipat gandakan usaha bagi memastikan Malaysia kekal lokasi mesra pelabur untuk menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang negara,” kata beliau.



— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker