Mat Ket akhirnya ditahan polis

Pendang: Tokan dadah dikenali sebagai “Mat Ket” yang diburu polis akhirnya berjaya ditahan dalam serbuan di tepi jalan Kampung Dato Syed Ahmad, Mukim Padang Peliang, Sungai Tiang, semalam.

Dalam serbuan 2 petang itu, suspek berusia 20-an itu dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah kepada penagih di sekitar kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, sepasukan anggotanya dari Balai Polis Sungai Tiang berjaya mengesan suspek dan menahannya di lokasi untuk pemeriksaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan sembilan paket dadah jenis heroin seberat 99.41 gram dalam beg silang yang dipakainya itu.

“Suspek yang menetap di kampung itu dikatakan bergerak aktif menghantar bekalan dadah selain membuka port penagihan dadah dalam kawasan hutan di kampung berkenaan untuk membolehkan penagih menghisap dadah.



“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, kegiatan menghisap dadah yang dilakukan mereka bermula pada awal pagi hingga lewat petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arriz Sham berkata, Mat Ket sudah lama diburu polis dan hasil maklumat awam selain tangkapan beberapa penagih sebelum ini mendapati mereka memperoleh bekalan dadah dari suspek.

Beliau berkata, berikutan itu, suspek ditahan untuk siasatan lanjut, manakala dadah yang ditemui turut dirampas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya-HM



Bekas penagih dadah kini rawat pesakit Covid-19 harapkan peluang kedua

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker