PKR Selangor beralih arah, bukan lagi kepada Azmin?

POLITIK sering kali dikaitkan dengan isu. Tanpa isu, orang politik tidak mampu pergi jauh dan sesuatu isu juga mampu membunuh karier bukan sahaja orang politik, bahkan sesiapa sahaja jika ia gagal dijelaskan secara menyakinkan, terutamanya kepada rakyat.

Apatah lagi jika ia melibat persoalan moral. Moral yang dikaitkan pula bukannya kesalahan melanggar lampu isyarat jalan, tetapi seks luar tabii. Satu perlakuan seks songsang yang bukan sahaja ditolak masyarakat bahkan dilaknat agama dengan sehina-hinanya.

Videonya ada dan pasangannya juga mengaku tetapi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya, disusuli laporan polis serta qazaf melalui Setiausaha Politiknya. Itu sememangnya langkah yang mesti diambil jika beliau merasakan diri difitnah.

Pun begitu banyak pihak melihat ia tidak mencukupi. Pada mereka yang sedang memerhati, terbit persoalan mengapa Azmin tidak saman sahaja pihak yang memfitnahnya kerana dakwaan seks songsang ini terlalu berat, tambahan pula beliau dicabar untuk menyaman.



Terbaharu Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mahu Azmin menggunakan mahkamah sebagai medan membersihkan diri jika benar beliau tidak terbabit dalam video seks berkenaan. Kata Abdullah Sani biar rakyat menilai siapa bercakap benar dan siapa pula berbohong.

Malang bagi Azmin, ketika beliau dipalitkan dengan isu sebegini besar, partinya PKR dilihat bermain tarik tali. Berbeza sama sekali dengan pendirian PKR ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim terpalit isu serupa, baik ketika kes liwat mahupun ‘China doll’.

Kini, sudah hampir sebulan sejak penyebaran video aksi songsang berkenaan dan hari-hari yang berlalu menyaksikan suara penyokong Azmin semakin tidak kedengaran. Bukan sahaja di PKR pusat tetapi di Selangor sendiri yang sebelum ini dianggap kubu kuatnya.

Beberapa pemimpin PKR Selangor yang sebelum ini tegar mendokong Azmin tetapi sekarang mengelak daripada tampil memberi ulasan kepada media dan kalau pun bercakap, nadanya jauh berbeza.



Maka sebab itu, apabila seorang pemimpin kanan PKR menyebut kepada penulis minggu lalu bahawa Azmin hanya tinggal Zuraida Kamaruddin, Muhammad Hilman Idham, serta beberapa kerat Wanita dan AMK dalam PKR Selangor yang masih menyokongnya, ia terlihat ada asasnya.

“Saya terperanjat tengok video berkenaan, saya kasihan dengan Azmin tetapi sebagai orang politik, saya rasa hayat politik Azmin ‘is finish’,” kata pemimpin kanan PKR tersebut.

Sekarang, semuanya terpulang kepada Azmin, arah mana yang hendak beliau pilih kerana sebagai ahli politik berpengalaman tentu sahaja dia tahu pergantungan kepada Perdana Menteri semata-mata, tidak mampu menyelamatkan hayat politiknya di mata ahli PKR serta rakyat keseluruhannya. – UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker