Tulang kaki Syahmi tumbuh 13 sentimeter dalam 10 bulan

KUALA LUMPUR: Kombinasi rawatan sel stem dan Teknik Ilizarov yang digunakan oleh pakar perubatan Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menumbuhkan semula tulang betis pelumba muda negara, Mohammad Danial Syahmi Ahmad Sharil, 18, sepanjang 13 sentimeter dalam tempoh hanya 10 bulan.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu bukan sahaja sudah mampu berjalan tanpa tongkat, tetapi kembali beraksi di litar lumba mewakili Malaysia, kira-kira 15 bulan selepas menjalani rawatan.

Perunding Ortopedik KLSMC, Dr Saw Khay Yong, berkata pencapaian itu cukup luar biasa kerana sebelum ini rawatan bagi pertumbuhan tulang baharu yang terpanjang dicatatkan di hospital itu adalah berukuran empat sentimeter.



“Rawatan untuk Mohammad Danial Syahmi sangat kompleks memandangkan tulang betisnya hancur.

“Beliau mengalami luka parah dengan cantuman kulit terlebih pada tisu lembut yang terdedah,” katanya dalam sidang media mengenai kejayaan rawatan sel stem ke atas pelumba muda negara itu, di KLSMC, di sini, hari ini.

Beliau berkata, penggunaan sel stem darah periferal (PBSC) menggunakan sel darah atlit itu sendiri berjaya menumbuhkan tulang baharu dalam jangka masa yang amat singkat.

“Sekiranya rawatan sel stem tidak digunakan, proses pertumbuhan tulang menggunakan kaedah tradisional akan mengambil masa yang lama, dianggarkan dalam masa dua tahun.



“Saya berpandangan, jangka masa rawatan yang singkat bagaikan peluang kedua, jika tidak beliau mungkin tidak dapat beraksi kembali,” katanya.

Dr Khay Yong berkata, KLSMC menggunakan kombinasi sains sel stem, teknik pembedahan dan program fisioterapi untuk membaik pulih kecederaan Mohammad Danial Syahmi.

Menurutnya, setakat ini KLSMC merekodkan kejayaan dengan 980 pesakit telah menggunakan kaedah rawatan sedemikian, termasuk pesakit dari luar negara.

Sementara itu, Mohammad Danial Syahmi berkata, walaupun terpaksa mengubah gaya dan kemahiran tunggangannya berikutan kecederaan itu, ia tidak sesekali melunturkan semangatnya untuk mencipta kejayaan semula di litar lumba.



“Saya ingin buktikan kepada semua yang banyak memberikan sokongan terutama ketika saya terlantar sakit bahawa saya masih mampu memberikan aksi terbaik.

“Saya sasarkan untuk mencapai kedudukan tiga terbaik dalam pusingan kedua Kejohanan Superbike Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada penghujung Disember ini,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira sebulan selepas selesai menjalani rawatan di KLSMC pada Disember tahun lalu, beliau telah mula turun padang dan menjalani latihan di litar lumba.

“Saya mulakan latihan dalam keadaan masih bertongkat, pada mulanya memang agak sedikit kekok dan takut untuk beraksi semula.



“Saya juga banyak menghabiskan masa di gimnasium untuk melakukan latihan kardio bagi menguatkan semula kaki,” katanya.

Atlit berasal dari Pulau Pinang itu telah kembali berlumba sejak Mac lalu bagi Asia Road Racing Championship di SIC.

Untuk rekod, atlet muda itu mengalami kecederaan parah selepas terjatuh akibat dilanggar pelumba lain dalam perlumbaan sokongan Grand Prix Malaysia, Asia Talent Cup (ATC) pada 4 November 2018.

Tulang betisnya hancur kira-kira 10 sentimeter dalam akibat kejadian berkenaan.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker