PAS tidak sesekali ‘Gadaikan’ kerusi tradisi kepada parti lain – Ketua Dewan Ulama Pas

PETALING JAYA: Pas akan mengekalkan kerusi tradisi parti itu yang dimenangi dalam pilihan raya umum (PRU) lepas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh itu sekali gus memberi gambaran Pas tidak akan sewenang-wenangnya memberikan kerusi tersebut kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan atau parti komponen Perikatan Nasional (PN) lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, menurut beliau, biarpun pembahagian kerusi masih dalam perbincangan bersama PN, Pas akan sedaya upaya mengelak pertembungan antara parti rakan komponen.

“Pembahagian kerusi masih dalam perbincangan, tetapi semacam ‘confirm’ Pas kekal kerusi tradisi. Kita cuba elakkan bertembung,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, Bersatu dan Pas menegaskan akan terus mengukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU-15.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua parti menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU-15 terutama melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Kelmarin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bersetuju melantik 12 wakil parti itu diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Jawatankuasa Permesyuaratan Bersatu-Pas di peringkat pusat bagi merangka strategi kedua-dua parti menghadapi PRU-15.

Kerjasama Pas, PPBM bukan gabungan mengerunkan – Tok Him

Nik Muhammad Zawawi berkata, pihaknya juga belum memutuskan logo atau bendera yang digunakan bagi mewakili Pas dalam pilihan raya umum itu nanti, tetapi beliau mengesahkan hanya dua logo yang menjadi pertimbangan iaitu logo parti itu sendiri dan logo PN.

“Belum diputuskan sama ada logo Pas atau PN, tetapi antara dua logo itu sahaja yang kita akan guna,” katanya.

Ketika ditanya sekiranya wujud pertembungan antara UMNO dan Bersatu, beliau berkata, pihaknya akan memperjuangkan agar parti itu tidak bertembung antara satu sama lain dalam sesebuah kerusi.

Katanya, sekiranya berlaku pertembungan, Pas akan berbincang dan segala keputusan diputuskan melalui perbincangan.

“Kita insya-Allah akan perjuangkan ketiga-tiga parti ini tidak bertanding tiga penjuru. Sekarang menampakkan ada jalan yang baik. Kita ada (jawatankuasa) teknikal untuk kita pastikan tidak berlakunya tiga penjuru,” katanya.

Dalam PRU-14, Pas bertanding di 158 kerusi dan menang 18 kerusi.

Kerusi yang dimenangi itu adalah Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Kemaman (Terengganu) selain Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai (Kelantan) dan Jerai, Pendang, Sik (Kedah).

Saarani: PPBM cari pasaran baru, jangan ganggu ‘kerusi Umno, PAS’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker