Gaza berdepan detik paling teruk dalam 15 tahun

Gaza berdepan detik paling teruk dalam 15 tahun

GAZA: Semenanjung Gaza mengalami hari paling teruk dalam tempoh 15 tahun susulan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh Hamas ke atas Israel.

Menurut pegawai Palestin, serangan udara Israel membunuh hampir 300 rakyat Palestin dalam tempoh 24 jam.

Sementara menurut ahli keluarga, serangan pada Sabtu di Khan Younis selatan Semenanjung Gaza itu turut mengorbankan kembar berusia tiga bulan yang terbunuh bersama ibu dan tiga kakak.

Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam serangan yang memusnahkan empat kediaman. Sehingga semalam, pasukan penyelamat masih berusaha mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan.

Jurucakap tentera Israel berkata serangan oleh pejuang Hamas, yang membunuh sekurang-kurangnya 700 warga Israel dan menawan puluhan yang lain, sebagai kejadian paling teruk dalam sejarah Israel dan membalas tindakan itu dengan keras.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza yang dikawal Hamas melaporkan 370 rakyat Palestin terbunuh dan 2,200 lagi cedera, dengan hampir 300 terbunuh pada Sabtu, sekali gus ia mencatatkan jumlah terbesar rakyat Palestin terbunuh di Gaza oleh serangan Israel dalam satu hari sejak 2008.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar melakukan ‘pembalasan besar terhadap hari serangan yang disifatkan sangat teruk’ itu.

Di Gaza, Sabreen Abu Daqqa, seorang penduduk yang dikeluarkan daripada runtuhan rumah di Khan Younis, menerima berita tiga anaknya terbunuh, dua cedera dan nasib anak keenamnya belum diketahui ketika berada di hospital.

“Ketika runtuhan berlaku, anak-anak berada di sekeliling saya.

“Sahutan terhadap panggilan saya semakin lemah, kami terperangkap dalam runtuhan kira-kira tiga jam,” katanya dengan suara lemah ketika ditemui hospital.

Serangan udara Israel ke atas Gaza bermula sejurus serangan Hamas dan berterusan semalaman hingga semalam, memusnahkan pejabat dan kem latihan kumpulan itu, selain kediaman dan bangunan lain.

Abu Daqqa serta tiga penghuni rumah lain yang musnah dalam serangan udara itu, berkata mereka tidak menerima amaran awal daripada Israel, sambil mengatakan serangan itu berbeza daripada pengeboman sebelum ini yang mana pasukan keselamatan Israel memanggil penduduk supaya mengosongkan kediaman sebelum serangan bermula.

Sementara itu, tentera Israel yang kerap menuduh Hamas sengaja beroperasi di kediaman dan bangunan awam lain, enggan mengulas.

Tentera Israel berkata, setakat ini jet pejuangnya memusnahkan 800 sasaran di Semenanjung Gaza.

Ketua Pejabat Media Kerajaan Hamas, Salama Marouf, menolak kenyataan tentera Israel sebagai ‘usaha melindungi yang mewajarkan pencerobohan pendudukan terhadap orang awam dan harta benda’.

Di bandar Rafah yang terletak bersebelahan sempadan Mesir, serangan udara Israel mengorbankan kira-kira 12 ahli keluarga Abu Qouta, kata keluarganya, sementara tujuh ahli keluarga dipercayai berada di bawah runtuhan.

Tempat tinggal dua juta orang, Semenanjung Gaza ditadbir Hamas sejak ia menguasai wilayah itu pada 2007. Ekonominya sekian lama terjejas oleh sekatan yang dikenakan oleh Israel dengan bantuan Mesir.

Ketika serangan udara bermula pada Sabtu, ribuan penduduk Palestin yang tinggal berhampiran sempadan dengan Israel meninggalkan kediaman masing-masing.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyediakan perkhidmatan penting kepada rakyat Palestin (UNRWA), berkata sekurang-kurangnya 20,000 rakyat Palestin berlindung di 44 sekolah yang dikendalikan agensi itu di Semenanjung Gaza.

Dalam satu kenyataan, UNRWA berkata dua kanak-kanak lelaki, kedua-duanya pelajar di sekolah yang dikendalikan PBB di Khan Younis dan Beit Hanoun, antara yang disahkan terbunuh.

Katanya tiga sekolah UNRWA mengalami kerosakan disebabkan serangan udara Israel.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qidra, berkata hospital menerima jumlah pesakit yang terlalu ramai dan bergantung kepada jana kuasa untuk bekalan elektrik selepas Israel memotong 120 megawatt yang dibekalkannya ke Semenanjung Gaza pada Sabtu.

Sabtu lalu, Menteri Tenaga Israel Israel, Katz mengumumkan pihaknya memutuskan bekalan kuasa ke Semenanjung Gaza. BH

Gaza berdepan detik paling teruk dalam 15 tahun

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ziela Jalil kena sabotaj?

PA Ebit dah bersama Caprice, makin panas

Berdosa ke jadi janda, soal Fauziah

Hidung aktres wanita rosak ditipu ‘beautician’ menyamar doktor

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker