Warga emas sifatkan keputusan SPM dicapainya pencapaian terbesar

Warga emas sifatkan keputusan SPM dicapainya pencapaian terbesar

Warga emas sifatkan keputusan SPM dicapainya pencapaian terbesar

Seremban: Biarpun meraih keputusan C+ bagi dua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, seorang warga emas menyifatkan ia sebagai pencapaian terbesar bagi dirinya.

Mengakui terperanjat namun teruja dengan keputusan itu, Salman Ahmad, 65, bekas Timbalan Pengarah Tourism Malaysia yang bersara pada 2012, tidak menyangka akan memperoleh keputusan sedemikian kerana beliau hanya meluangkan masa selama dua minggu untuk melakukan persediaan sebelum menduduki peperiksaan.



“Masa tahu semalam, saya terus bagitahu isteri, saya ingatkan sekadar lulus sahaja sebab standard SPM tinggi, lagipun saya tidak ke kelas atau mengambil tuisyen sebelum ini, jadi ia kejayaan terbesar dalam hidup saya.

“Saya jawab pun hanya ‘goreng’ mengikut pengalaman kerja saya sahaja sebelum ini, kalau saya bersungguh-sungguh mungkin akan dapat lagi cemerlang tapi kerana kekangan Covid-19, saya tak dapat belajar betul-betul namun lulus dengan kepujian ini sudah bagus,” katanya kepada Bernama hari ini.

Salman, yang menduduki peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V di sini, memperoleh gred C+ bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah manakala bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, beliau tidak sempat mendudukinya berikutan urusan kerja.

Anak jati Negeri Sembilan itu berkata beliau berazam untuk mengambil tiga lagi mata pelajaran iaitu Kesusasteraan Bahasa Inggeris, Pengajian Islam dan Pengajian Am dalam peperiksaan SPM tahun depan bagi mencabar diri serta membuktikan tiada halangan untuk seseorang berjaya.



Bapa dua anak itu turut menyatakan hasrat untuk menghasilkan buku bergenre motivasi bagi memberi inspirasi kepada orang ramai supaya tidak berputus asa menggapai kejayaan dalam hidup.

Pada 22 Feb lalu, Bernama melaporkan Salman merupakan antara 645 calon persendirian SPM 2020 di Negeri Sembilan yang menduduki SPM untuk membuktikan kepada masyarakat khususnya golongan muda bahawa usia bukan penghalang bagi menimba ilmu dan memperoleh kejayaan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Amerika Syarikat itu berkata beliau pernah menduduki Malaysian Certificate of Education (MCE) pada 1973 dengan semua subjek dalam Bahasa Inggeris namun mahu menguji diri menduduki peperiksaan SPM yang dilaksanakan dalam Bahasa Melayu.

“Saya juga ingin beri contoh dan motivasi kepada anak cucu saya. Usia bukan penghalang untuk belajar, menuntut ilmu adalah proses sepanjang hayat manakala bagi yang kurang cemerlang, jangan putus asa dan teruskan berusaha,” katanya.



Semalam, media melaporkan seramai 401,105 calon di seluruh negara menerima keputusan bagi peperiksaan SPM 2020.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pula berkata pencapaian SPM 2020 dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun. Bernama

Warga emas sifatkan keputusan SPM dicapainya pencapaian terbesar


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET




Berkat baca al-Quran selepas Subuh dapat 12A+ SPM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker