#Belanjawan2020 : Ucapan Ketua Pembangkang

Mukadimah

1. Terlebih dahulu mewakili seluruh pihak pembangkang,
saya merakamkan ucapan terima kasih kepada YB
Bagan, merangkap Menteri Kewangan. Atas
pembentangan Belanjawan 2020.

2. Saya pasti, situasi ekonomi negara yang agak tidak
memberangsangkan sepanjang tahun ini, kos sara hidup
yang meningkat serta harga barang yang tidak juga turun
selepas pelaksanaan SST, menyebabkan Belanjawan
2020 menjadi belanjawan yang amat dinanti-nantikan oleh
semua pihak.

3. Harapan rakyat kebanyakan sudah pasti menggunung,
mengharapkan sesuatu yang bukan sahaja progresif,
tetapi mampu memberikan kesejahteraan kepada
kehidupan mereka.



4. Malangnya, Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat
lepas nampaknya lebih memfokuskan kepada golongan
pemodal, pelobi dan syarikat-syarikat besar. Dan tidak
memberi perhatian serius kepada rakyat biasa serta
mereka yang lebih memerlukan.

Penilaian Terhadap Inisiatif dan Belanjawan Tahun 2019

5. Sebelum saya menghujahkan secara terperinci inisiatif
yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020, saya ingin
mengajak seisi dewan untuk mengimbas beberapa
kegagalan penting Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun
ini, khususnya dalam pelaksanaan Belanjawan 2019.

6. Pertama, kegagalan merangka belanjawan yang
lestari dan realistik.



7. Seperti yang kita tahu, untuk tahun 2019, Kementerian
Kewangan telah menyediakan belanjawan berasaskan
harga minyak mentah pada kadar AS$70 setong.

8. Sandaran ini adalah susulan keyakinan kerajaan bahawa
pengurangan hasil cukai dipercayai dapat diimbangkan
dengan tambahan hasil berkaitan petroleum yang pada
masa tersebut dijangka berjumlah RM5.4 bilion.

9. Pihak Pembangkang dalam perbahasan Bajet 2019 telah
mengambil tindakan bertanggungjawab dengan memberi
amaran. Bahawa negara akan terperangkap dan hilang
pendapatan sekiranya harga minyak turun, sekali gus
menegaskan yang perancangan kewangan Kerajaan
bukan sahaja tidak stabil, malah berisiko.

10. Malangnya, Menteri Kewangan seperti biasa, angkuh dan
berdegil dengan keputusannya. Seperti yang dijangka,
seawal tahun 2019 sehingga data terkini, purata harga
minyak mentah Brent adalah AS$64.62 setong dengan
harga paling rendah pada AS$53.23 setong.



11. Perbezaan harga minyak mentah Brent sekitar USD6
setong ini telah memberikan kesan kepada pelbagai
perancangan perbelanjaan kerajaan dan negara.

12. Ketidakcermatan Menteri Kewangan dalam merangka
Belanjawan 2019 telah memaksa Kerajaan mengambil
tindakan kontigensi yang bukan sahaja terdesak, tetapi
cuai dan teruk seperti menjual aset-aset strategik negara
serta membuat pinjaman berbilion ringgit, malah
mengambil special dividend dari PETRONAS sebanyak
RM30 bilion, untuk menutup lompong belanjawan.

13. Kedua, kegagalan merangka Perbelanjaan Mengurus
yang mencukupi.

14. Laporan Tinjauan Ekonomi 2020 menunjukkan
Perbelanjaan Mengurus telah meningkat sebanyak
RM2.4 bilion, daripada RM259.9 bilion kepada RM262.3
bilion. Alasan peningkatan 2.4 bilion kononnya adalah
untuk menampung keperluan tambahan bagi program
sedia ada, berdasarkan keperluan perbelanjaan kritikal
oleh kementerian.



15. Ini termasuklah program subsidi minyak, bantuan
makanan untuk sekolah berasrama penuh, perkhidmatan
pembersihan sekolah dan bekalan kesihatan,
berdasarkan Laporan Tinjauan Ekonomi 2020.

16. Namun, tiada spesifikasi dan pecahan amaun diberikan
bagi setiap program ini.

17. Bukan itu sahaja, terdapat peningkatan sebanyak RM797
juta dari anggaran asal RM25.8 bilion kepada RM26.6
bilion yang disebabkan kenaikan tahunan (Annual
Increment) dan keperluan untuk menampung kira-kira
853,000 pesara dan penerima (beneficiaries) yang tidak
dimasukkan pada awalnya.

18. Adalah sangat cuai dan tidak masuk akal, bahawa
ketika merancang Perbelanjaan Mengurus, kerajaan
boleh tidak mengambil kira keperluan kenaikan
tahunan dan bayaran kepada pesara!



19. Saya yakin perkara ini sebenarnya disengajakan. Sebab
itu tidak pelik jika sepanjang tahun ini, kerap sekali wakilwakil Pakatan Harapan memberikan cadangan untuk
mengurang dan menghapuskan pencen pesara. Ruparupanya golongan pesara ini sudah awal-awal lagi
dikeluarkan dari perbelanjaan mengurus.

20. Kegagalan ketiga, anggaran Perbelanjaan
Pembangunan 2019 adalah jauh berbeza dengan
jumlah perbelanjaan pembangunan yang sebenar.

21. Jika tadi, dalam merancang Perbelanjaan Mengurus,
peruntukannya kurang dan tidak cukup sebanyak RM2.4
bilion.

22. Untuk Peruntukan Pembangunan pula, peruntukannya
ada, tetapi ia gagal dimanfaatkan dengan baik
menyebabkan berlaku perbezaan peruntukan sebanyak
RM1 bilion antara peruntukan sebenar berjumlah RM53.7
bilion, berbanding jumlah asal sebanyak RM54.7 bilion.



23. Jika kita teliti dengan lebih mendalam mengikut sektor,
Perbelanjaan Pembangunan dalam perdagangan dan
industri misalnya, mencatatkan nilai sebenar hanya RM3
bilion, iaitu RM2.7 bilion atau 47% lebih rendah daripada
peruntukan asal yang jauh lebih tinggi iaitu RM5.7 bilion.

24. Perbelanjaan Pembangunan juga telah gagal
dibelanjakan dengan baik untuk subsektor tenaga dan
utiliti awam. Peruntukan asal adalah sebanyak RM4.6
bilion. Namun, hanya RM2.6 bilion yang berjaya
dibelanjakan.

25. Saya pelik, dan menuntut penjelasan bagaimana boleh
berlaku perbezaan anggaran peruntukan sebanyak RM2
bilion atau 43.5% dalam kes ini?

26. Kesemua perbezaan perbelanjaan sebenar berbanding
perbelanjaan yang dirancangkan ini menunjukkan dengan
jelas ketidakupayaan Menteri Kewangan untuk membuat
anggaran yang baik dalam pengurusan kewangan negara.

27. Jadi Tan Sri Speaker, adalah berasas dan tidak pelik untuk
Pembangkang meragui segala perancangan kewangan
yang dilakukan oleh Menteri Kewangan untuk tahun
hadapan.

28. Tambahan pula, bukan sahaja perancangan kewangan
Belanjawan 2019 ini gagal dan tidak teliti, malah
inisiatif yang diumumkan di dalamnya juga telah gagal
dilaksanakan.

29. Saya berikan 3 contoh kegagalan inisiatif dalam
Belanjawan 2019.

30. Contoh pertama, Belanjawan 2019 gagal mengambil
kira semua golongan sasar dengan teliti, sehinggakan
golongan bujang telah tercicir dari kategori penerima
Bantuan Sara Hidup (BSH).

31. Kita semua masih ingat, hanya selepas pembangkang
desak dan desak, barulah Kementerian Kewangan
akhirnya menyedari kesilapan mereka, lalu menawarkan
bayaran RM100 kepada 3 juta individu bujang dalam
pangkalan data BSH 2018.

32. Contoh kedua, kegagalan perlaksanaan inisiatif gaji
minimum RM1100 yang tidak dipantau dengan
berkesan.

33. Menteri Sumber Manusia sendiri telah melaporkan pada
akhir Jun 2019 bahawa sebanyak 30% daripada majikan
masih berkeras dan tidak mematuhi perintah gaji minimum
RM1,100.

34. Contoh ketiga, kegagalan pelaksanaan subsidi Petrol
RON95 alam Belanjawan 2019.

35. Subsidi petrol RON95 ini yang sepatutnya bermula pada
suku kedua 2019. Dan untuk tujuan itu, sebanyak RM2
bilion telah pun diperuntukkan.

36. Namun, sehingga ke akhir suku ketiga tahun ini, masih
tiada sebarang berita atau pengumuman berkenaan
dengan inisiatif ini.

37. Akhirnya, hanya pada awal Oktober 2019 yang lalu,
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna (KPDNHEP) terpaksa tampil menjelaskan
bahawa jadual pelaksanaan inisiatif petrol tersebut telah
tersasar kerana mekanisme lengkap subsidi terbabit perlu
mendapatkan kelulusan Kabinet.

38. Justeru, saya menuntut penjelasan kepada Menteri
Kewangan. Ke manakah perginya peruntukan RM2 bilion
tersebut memandangkan inisiatif subsidi ini tidak pun
dilaksanakan pada tahun ini?

Tan Sri Speaker,
39. Ringkasnya, saya telah buktikan bagaimana Belanjawan
2019, sama ada dari segi perancangan mahupun
pelaksanaan inisiatifnya, adalah sebuah belanjawan yang
gagal dan mengecewakan.

40. Pada peringkat ini sahaja, kita sudah harus berwaspada
dan berhati-hati. Kerana, banyak sekali inisiatif yang
diumumkan dalam Belanjawan 2020 tempoh hari
sebenarnya dibuat tanpa berfikir panjang.

41. Jangan sampai pisang berbuah dua kali. Kita tidak
mahu Belanjawan 2020 menerima nasib yang sama
seperti Manifesto Pakatan Harapan atau pun
Belanjawan 2019. Banyak yang diumumkan. Tapi,
rupa-rupanya, tersalah kira, tersalah susun dan tidak
pun boleh dilaksanakan.

42. Tetapi, kita tidak pelik. Sebab kita memang sudah faham.
Sudah menjadi amalan Pakatan Harapan, ‘umum
dahulu, fikir kemudian’.

Tan Sri Speaker,
Belanjawan 2020
43. Saya membuat amaran ini bukan suka-suka. Ini kerana,
Belanjawan 2020 sepatutnya menjadi Belanjawan paling
penting. Terdapat sekurang-kurangnya 4 pemberat yang
unik yang menjadikan belanjawan kali ini extra important
atau super critical, dengan izin, berbanding dengan tahuntahun sebelumnya.

44. Pertama, ini adalah belanjawan untuk Wawasan 2020.

45. Tahun yang sepatutnya menyaksikan Malaysia mencapai
status negara maju dengan acuan kita sendiri. Maka,
untuk satu tahun yang hebat, belanjawannya juga mesti
hebat. Ia mesti menawarkan kelainan dan kesegaran yang
selayaknya. Bukan sekadar meneruskan titik sentuhan
yang lalu dengan peningkatan dan penambahan jumlah
dana semata-mata.

46. Kedua, Belanjawan 2020 ini dibentangkan selepas
pelancaran rasmi Wawasan Kemakmuran Bersama
2030 (WKB2030).

47. Memandangkan Wawasan Kemakmuran Bersama
dibentangkan sebagai pelan besar Kerajaan, atau lanjutan
kepada Wawasan 2020 yang nampaknya gagal dicapai,
maka belanjawan ini mesti memberikan jalan awal yang
jelas serta strategi-strategi penting bagaimana matlamat
dalam WKB2030 akan dapat dicapai. Khususnya dalam
menguruskan kesenjangan masyarakat, yang merupakan
inti pati utama WKB2030 sendiri.

48. Malangnya, Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan
sedikit pun tidak mengambil kira tentang WKB2030 yang
dijuarai oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Seolah-olah
Menteri Kewangan cuba mensabotaj atau tidak mahu
terlibat dalam menjayakan WKB2030 ini.

49. Tetapi, saya boleh faham mengapa Menteri Kewangan
mengabaikan WKB2030 dalam Belanjawan kali ini.
Sebab, WKB2030 itu sendiri sebenarnya memang
bermasalah dan mempunyai beberapa keanehan yang
sangat mengelirukan.

50. Misalnya, pertama, pengiraan peratusan pertumbuhan
ekonomi yang diperlukan untuk mencapai sasaran KDNK
di dalam WKB2030 adalah tidak tepat. Kerana, kadar
pertumbuhan yang kita perlukan sebenarnya adalah
7.36% dan bukannya 4.7% seperti yang dibentangkan
oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi,

51. Malah, jawapan menteri bahawa perbezaan tersebut
kononnya kerana mengambil kira faktor inflasi, adalah
tidak meyakinkan.

52. Kedua, di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama,
sasaran pendapatan minimum isi rumah B40 yang hendak
dicapai pada tahun 2030 adalah sebanyak RM5,800.
Barangkali Menteri Hal Ehwal Ekonomi tidak sedar,
sasaran ini menunjukkan kenaikan hanya 0.9 kali ganda
pendapatan isi rumah B40 berdasarkan kaji selidik yang
terkini yang dijalankan pada tahun 2016 iaitu RM3000.

53. Ini bermakna, dari tahun 2016 sebagai titik rujukan
sehingga tahun 2030, iaitu 14 tahun, sasaran kenaikan
pendapatan minimum isi rumah B40 oleh Pakatan
Harapan di bawah WKB2030 tidak sampai pun 1 kali
ganda!

54. Saya ingat mereka akan sasarkanlah sekurang-kurangnya
kenaikan 1 kali ganda, sekali gus menjadikan pendapatan
isi rumah sebanyak RM6000.

55. Walhal, tanpa WKB pun kerajaan BN untuk tempoh yang
hampir sama iaitu dari tahun 1999 sehingga 2016 (iaitu 17
tahun) dapat memberi kenaikan pendapatan minimum
sebanyak 2.4 kali ganda. Untuk tempoh 2009 hingga
2016 sahaja, angka pendapatan B40 ini boleh naik 1.1 kali
ganda.

56. Jadi, bersandarkan wawasan tinggi melangit bahawa
KDNK yang dirumuskan mencecah RM3.4 trilion hasil dari
kenaikan inflasi sebanyak RM890 bilion, adalah agak pelik
jika pendapatan minimum B40 disasarkan naik hanya
kurang 1 kali ganda!

57. Pada masa yang sama, peratusan sumbangan pampasan
pekerja kepada KDNK atau compensation of employees
(CE) untuk wawasan ini disasarkan pula naik sehingga
48% berbanding 35.7% yang dicatat pada tahun 2018.

58. Persoalannya sekarang, jika kenaikan isi rumah B40
disasarkan naik hanya 0.9 kali ganda, maka bagaimana
untuk kita mencapai sasaran 48% CE ini?

59. Jawapan mudahnya adalah, penggunaan angka mutlak
peningkatan pendapatan isi rumah B40 kepada RM5800
di bawah WKB2030 sebenarnya hanyalah bertujuan untuk
mengabui mata rakyat. Sedangkan mekanisme dan
sasarannya adalah tidak praktikal, tidak tepat dan tidak
pun menggambarkan satu perkongsian kemakmuran
bersama.

Tan Sri Speaker,
60. Saya teruskan dengan Pemberat Ketiga yang
menjadikan Belanjawan 2020 sebagai super critical
adalah kerana ia tahun terakhir RMK-11.

61. Berasaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan
Malaysia Ke-11, Kerajaan telah merancang supaya projek
pembangunan sosioekonomi berimpak tinggi akan
diteruskan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

62. Terutamanya dalam merapatkan jurang pembangunan
yang masih wujud antara negeri . Untuk itu penekanan
yang lebih besar akan diberikan kepada negeri yang
kurang membangun, terutamanya Sabah, Sarawak,
Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, bagi
memastikan pertumbuhan wilayah yang lebih seimbang.

63. Malangnya, sekalipun Belanjawan 2020 ini adalah
belanjawan terakhir RMK-11, ruang dan peluang ini
tidak sedikit pun digunakan untuk memberi
penekanan kepada pembangunan wilayah secara
seimbang.

64. Berbanding Sarawak dan Sabah yang mendapat pelbagai
peruntukan, Perlis yang menerima peruntukan besar
untuk Chuping, dan Kedah, peruntukan pembangunan
Beras Pulut di Langkawi, dan kompleks Bukit Kayu Hitam,
malah negeri Menteri Kewangan, Pulau Pinang sendiri
turut menerima RM100 juta bagi pembinaan kereta kabel
sedangkan Pulau Pinang adalah negeri berpendapatan
tinggi, malangnya Negeri Kelantan dan Terengganu
nampaknya terus diabaikan tanpa sebarang projek
berimpak tinggi!

65. Di manakah peruntukan untuk projek berimpak tinggi bagi
Kelantan dan Terengganu seperti yang ditegaskan oleh
Pakatan Harapan sendiri dalam Kajian Separuh Penggal
RMK-11?

66. Memandangkan Belanjawan 2020 mendiskriminasi
Kelantan dan Terengganu, saya tuntut agar inilah
masanya untuk memberikan royalti minyak sebanyak
20% kepada kedua-dua negeri tersebut!

Tan Sri Speaker,
67. Pemberat keempat yang menjadikan Belanjawan 2020
sebagai kritikal adalah kerana tahun hadapan adalah
tahun yang sukar dari segi cabaran ekonomi sama ada
secara mikro mahupun makro.

68. Indeks “global economic policy uncertainty” yang
dirumuskan oleh OECD dan diguna pakai oleh IMF,
menunjukkan kebarangkalian akan berlaku kegawatan
pada tahun depan adalah tinggi.

69. Malah, pada Julai lepas, pakar ekonomi organisasi
tersebut dalam persidangan persiapan pelan Rancangan
Malaysia ke-12 yang dikendalikan Kementerian Hal Ehwal
Ekonomi telah memaklumkan perkara yang sama.

70. Jadi, Menteri Hal Ehwal Ekonomi pasti peka akan perkara
ini. Namun, barangkali maklumat penting ini tidak
dikongsikan dengan Menteri Kewangan. Kerana, seperti
yang saya katakan tadi, kedua-dua mereka seolah-olah
bersaing dan mempunyai agenda masing-masing yang
berlainan.

71. Pada masa yang sama, Laporan “Trade and Development
2019” oleh PBB yang baru sahaja dilancarkan turut
menyatakan bahawa kebarangkalian kegawatan ekonomi
global tahun hadapan adalah satu risiko yang amat nyata.

72. Yang merisaukan kita sekarang, keupayaan negara untuk
berhadapan dengan semua itu adalah sangat rendah dan
membimbangkan. Ketidakupayaan ini disebabkan oleh
beberapa aspek.

73. Antaranya, ruang untuk tindakan polisi yang efektif
bagi negara pada masa terdekat ini semakin mengecil.

74. Sungguhpun defisit fiskal negara yang diunjurkan pada
3.2% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)
masih pada tahap yang tidak kritikal, struktur pendapatan
hasil semasa kerajaan persekutuan pada ketika ini adalah
membimbangkan.

75. Struktur cukai yang masih kelam kabut, ketiadaan dividen
khas dari PETRONAS, kehilangan dividen dari aset-aset
kerajaan yang telah terjual, cukai pendapatan petroleum
yang mengecil serta pungutan cukai SST yang sub-par
iaitu hanya mencapai RM28.2 bilion atau sekadar 64%
dari pungutan GST yang direkodkan tiga tahun
sebelumnya, dan hasil kerajaan persekutuan diunjurkan
yang menguncup sebanyak 7.1% bagi tahun 2020.

76. Kesemua ini menggambarkan yang pendapatan kita
adalah tidak menentu dan ruang polisi fiskal kita sangat
merisaukan.

77. Pada masa yang sama, hutang kerajaan persekutuan
dijangkakan terus meningkat sebanyak RM58 bilion
menjadi RM799.1 bilion bagi tahun 2019 setelah naik
sebanyak RM54 bilion pada tahun 2018.

78. Ini bermakna kerajaan PH telah menambah hutang
sebanyak RM112.3 bilion dalam masa setahun
setengah sahaja pemerintahan mereka. Secara
puratanya, Pakatan Harapan telah menambah hutang
sebanyak RM74.9 bilion setahun.

79. Dan kalau kita ikut kaedah pengiraan hutang oleh Menteri
Kewangan, memandangkan sebelum ini hutang negara
dikatakan sebanyak RM1 trilion, ini bermakna hutang
negara sekarang adalah sebanyak RM1.1123 trilion, iaitu
peningkatan sebanyak RM112.3 bilion yang ditambah
oleh PH sendiri dalam tempoh setahun setengah ini.

80. Sebagai perbandingan, hutang kerajaan persekutuan
hanya bertambah sebanyak RM38.4 bilion pada tahun
2017.
81. Nisbah hutang kerajaan kepada KDNK pula meningkat
daripada 48.7% pada suku pertama 2018 sebelum PH
mengambil alih kerajaan, kepada 52.7% pada September
2019 selepas mereka memerintah.

82. Selain itu, ekonomi negara berhadapan risiko
pertumbuhan sangat perlahan; nilai mata wang ringgit
berada pada tahan paling lemah, bukan sahaja
berbanding mata wang utama dunia tetapi juga mata wang
serantau; dan indeks saham terus menurun mencecah
paras terendah dalam masa 4 tahun dan pelbagai lagi
kegagalan yang jelas.

83. Pada masa yang sama Rizab Antarabangsa negara
sebenarnya semakin mengecil, iaitu daripada USD107.8
bilion pada akhir suku pertama 2018 kepada USD103
bilion pada suku ketiga 2019.

84. Yang ajaibnya, semasa pembentangan Jumaat lepas,
Menteri Kewangan menyifatkan rizab antarabangsa
negara kita kekal teguh. Adakah maksud YB Menteri
Kewangan, ketika berlakunya penguncupan rizab
antarabangsa, ia masih layak dikatakan sebagai kekal
kukuh?

85. Lebih penting, semua kelemahan dan kerapuhan yang
saya ceritakan ini, tidak juga bertambah baik sekalipun
setelah kerajaan menjual pelbagai aset strategik negara di
bawah GLC.

86. Contohnya, IHH Healthcare Bhd dari Khazanah Nasional
kepada Mitsui & Co., ORC daripada M+S kepada
beberapa firma Hong Kong dan Singapura serta Hotel
Andaz di Singapura.

87. Sehingga kini, saya difahamkan jumlah penjualan asetaset negara dianggarkan sudah mencecah hampir RM41
bilion, yang kebanyakannya adalah aset Khazanah
Nasional Berhad yang selama ini mendatangkan pulangan
yang tinggi kepada kerajaan.

88. Dan semua ini YB Speaker, terjual dalam masa kurang
setahun!

89. Pembangkang akui bahawa jual beli aset ini bukan
perkara yang pelik dan salah. Tetapi ia haruslah dipimpin
oleh pertimbangan komersial yang baik dan strategik.

90. Saya juga akui bahawa adalah wajar jika kita menjual dan
melepaskan aset-aset yang bermasalah. Persoalannya,
apakah rasional menjual aset-aset yang tidak bermasalah
dan sedang memberikan pulangan?

91. Misalnya, pelepasan IHH. Ia bukan sahaja memberikan
kita pulangan, malah melepaskan pegangan dalam
hospital bertaraf dunia seperti Prince Court Medical
Centre, sudah pastilah bertentangan dengan aspirasi
menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan
kesihatan yang disebutkan sendiri dalam Belanjawan
2020 ini.

92. Pada saya, semua ini sebenarnya tidak ubah seperti satu
karnival mega sale oleh Pakatan Harapan. Jual dan terus
jual. Kerana, sehingga ke saat ini, Kerajaan tidak pun
membentangkan bagaimanakah hasil penjualan aset-aset
strategik ini akan digunakan untuk membayar hutang
negara.

93. Jika ia bertujuan untuk mengambil peluang keuntungan
dan merancang pelaburan semula, saya tuntut Menteri
Hal Ehwal Ekonomi untuk membentang pelan sedemikian
dengan jelas dan terperinci selepas ini.
Tan Sri Speaker,

94. Baru-baru ini, Indeks Persaingan Dunia menunjukkan
bahawa kedudukan Malaysia yang berada pada tangga
ke-27 terus merosot apabila kita jatuh lagi anak tangga
berbanding tahun sebelumnya.

95. Sedangkan mengikut Laporan Prestasi Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sasaran
Pakatan Harapan adalah untuk kita berada pada tangga
ke-20 pada tahun ini dan tahun hadapan.

96. Justeru, saya ingin bangkitkan adalah, tatkala kita sudah
tergelincir 7 anak tangga dari sasaran, yang juga
merupakan kedudukan terburuk dalam sejarah negara,
mengapakah Belanjawan 2020 tidak memperincikan
inisiatif khusus yang jelas bagi meningkatkan tahap
kebolehsaingan negara?

97. Yang ada hanyalah kenyataan bahawa beberapa langkah
dan prosedur tertentu dalam melakukan perniagaan akan
dikurangkan, selain penambahbaikan pelabuhan Kelang.

98. Sedangkan kebolehsaingan negara sangat bergantung
kepada pelbagai aspek. Termasuklah dasar dan pendirian
kerajaan yang mesti bersifat profesional dan tidak boleh
bercanggah-canggah.

Tan Sri Speaker,
99. Keempat-empat pemberat unik yang saya nyatakan
sebentar tadi menjadikan belanjawan 2020 sebagai super
critical dan extra important, dengan izin.

100. Cuma, yang hairan dan peliknya, mengapa Menteri
Kewangan boleh menjadi begitu cuai sehinggakan
Belanjawan 2020 tidak langsung mengambil sebarang
jalan proaktif untuk memasukkan langkah-langkah
kontigensi atau mitigasi dalam berhadapan dengan
kemungkinan kegawatan ekonomi?

101. Atau mungkin Pakatan Harapan bercadang untuk
mengambil jalan pintas dengan menjarah sahaja
pemberian dividen istimewa daripada PETRONAS sekali
lagi, seperti yang dilakukan pada tahun ini?

Belanjawan 2020 – Inisiatif
Tan Sri Speaker,
102. Pembangkang percaya, banyak pengumuman dan inisiatif
yang diumumkan tidak lebih dari sekadar menanam
tebu di pinggir bibir, indah khabar dari rupa!

103. Lebih penting, kita boleh merumuskan yang Belanjawan
2020 ini adalah belanjawan kapitalis yang meminggirkan
luar bandar Malaysia. Yang kaya diutamakan, yang miskin
dan memerlukan, tidak begitu dipedulikan.

104. Misalnya, demi menjaga dan memelihara kapitalis dan
para pemodal besar, Belanjawan 2020 menawarkan
inisiatif yang sangat menarik. Misalnya:

a. Pelaburan baharu bagi taman tema antarabangsa
diberikan pengecualian cukai pendapatan sebanyak
100 peratus daripada pendapatan berkanun atau
Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ditolak
sehingga 70 peratus untuk lima tahun;

b. Dasar terbaharu yang merendahkan nilai ambang
kepada warga asing yang sangat memihak kepada
pemaju yang berorientasikan keuntungan.

c. Pakej galakan pelaburan istimewa bernilai sehingga
RM1 bilion setahun untuk tempoh 5 tahun iaitu
langkah strategik untuk menarik syarikat Fortune 500
dan global unicorns untuk mengukuhkan ekosistem
pembuatan dan perkhidmatan.

105. Yang menyedihkan, tidak pula ada sebarang dasar baharu
atau inisiatif khas secara besar-besaran untuk menambah
baik kehidupan dan kesejahteraan masyarakat luar
bandar dan mereka yang memerlukan.
Nelayan

106. Misalnya Bantuan Sara Hidup Nelayan, dikurangkan dari
RM300 semasa zaman BN kepada hanya RM250.

107. Sepatutnya, ketika zaman semakin mencabar dan hasil
berkurangan, bantuan ini ditambah, bukan dipotong!
108. Kita memerlukan dasar dan pelan yang khusus untuk
meningkatkan taraf hidup dan pendapatan golongan ini.

109. Terutamanya dalam jihad memerangi dominasi serta
spekulasi orang tengah seperti yang dimulakan oleh BN
dahulu.

110. Kita mesti faham sebarang cadangan berkaitan projek
akua dan laut serta bersesuaian dengan cara hidup
nelayan. Bukannya suruh nelayan menjadi petani
sampingan!

PADI
111. Selain itu, peruntukan Industri Padi dan Beras dipotong
daripada RM69.2 juta kepada RM66.1 juta. Ini sepatutnya
tidak berlaku!

112. Saya juga ingin mendapatkan penjelasan tentang
kelewatan penghantaran benih padi sah. Keadaan ini
menyebabkan petani berisiko terlepas kitaran penanaman
seperti yang ditetapkan sendiri dalam Rice Check atau
Manual Tanaman Padi oleh Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani.

113. Malah, agensi-agensi yang berkaitan dengan padi dan
industri beras dan pertanian juga dipotong peruntukanperuntukannya.

114. Misalnya:

a. Peruntukan Pertanian dipotong sebanyak RM4.1 juta
daripada RM194.1 juta kepada RM180 juta.

b. Peruntukan Institut Penyelidikan dan Kemajuan
Pertanian Malaysia (MARDI) dipotong RM3 juta
daripada RM215 juta kepada RM212 juta.

c. Peruntukan Industri Agromakanan dan
Keusahawanan Tani dipotong RM18 juta daripada
RM262 juta kepada RM244 juta.

d. Peruntukan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian
dan Pertanian Persekutuan (FAMA) dipotong
sebanyak RM11 juta daripada RM182 juta kepada
RM171 juta.

e. Peruntukan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)
dipotong sebanyak RM26 juta daripada RM190 juta
kepada RM164 juta.

115. Saya cadangkan kita memberi perhatian yang lebih besar
dalam hal ini. Misalnya dengan memberikan peruntukan
untuk membekalkan mesin-mesin besar dan teknologi
baharu, yang disalurkan menerusi institut peladang.

116. Pada masa yang sama, saya menuntut pelan khusus dari
kerajaan untuk berhadapan dengan dominasi kilangkilang besar.

117. Malah, secara kolektifnya, 2 kementerian penting yang
melibatkan golongan yang terdedah kepada tekanan
ekonomi iaitu Kementerian Luar Bandar dan Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani menerima peruntukan
yang lebih rendah pada tahun 2020 berbanding tahun
2018 iaitu masing-masing berkurangan sebanyak 11%
atau RM1 bilion dan 25% atau RM1.6 bilion.

118. Kesemua ini dengan jelas membuktikan betapa syarikatsyarikat besar dan golongan pemodal dianak-emaskan.
Manakala, mereka yang memerlukan, dianaktirikan.

FELDA -SAWIT
119. Untuk FELDA misalnya, saya sedar ada beberapa perkara
telah diumumkan kepada FELDA. Tetapi, ada beberapa
perkara besar yang digelapkan oleh Menteri Kewangan,
Menteri Industri Utama dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi
dalam hal ini.

120. Pertama, insentif skim tanaman semula sawit. Sebelum
ini, insentif ini diberikan dalam bentuk geran yang tidak
perlu dibayar semula, Kini, ia sudah ditukarkan menjadi
pinjaman yang wajib dibayar.

121. Maknanya, sekarang ini, para pekebun dan peneroka
bukan sahaja terhimpit dengan kejatuhan harga komoditi.
Malah. mereka terpaksa berhutang lebih banyak kerana
sudah tidak ada geran penanaman semula.

122. Impaknya, mereka akan terus menerus dibelenggu
hutang!

123. Kedua, dalam pembentangan Kertas Putih FELDA
sebelum ini, yang berhormat Menteri Hal Ehwal Ekonomi
ada menyebut implikasi kewangan sebanyak RM6.2 bilion
kepada FELDA dalam bentuk geran, pinjaman dan
jaminan Kerajaan.

124. Jadi, berapakah pecahan-pecahan kepada setiap perkara
ini? Apakah statusnya dan mengapa perkara ini tidak ada
dalam Belanjawan 2020?

125. Ketiga, selepas berbelas-belas kali lawatan keluar negara,
Menteri Industri Utama masih belum membentangkan
apakah status hasil perbincangan kita dengan Kesatuan
Eropah (EU)?

126. Dan apakah dasar baharu atau langkah-langkah proaktif
dan inovatif yang akan diambil untuk berhadapan dengan
kejatuhan harga komoditi? Terutamanya untuk mencari
pasaran baharu sawit kita susulan boikot daripada India
dan usaha kerjasama untuk menyelaraskan harga dengan
Indonesia.

GETAH
127. Seterusnya, berhubung dengan getah, saya berterima
kasih kepada Kerajaan kerana meneruskan inisiatif saya
dahulu terutamanya pemberian bantuan khas musim
tengkujuh.

128. Namun, apakah pelan dan strategi jangka panjang untuk
kita berhadapan dengan harga getah yang terus jatuh dan
tidak stabil?
129. Lebih-lebih lagi apabila Peruntukan Lembaga Getah
Malaysia dipotong sepenuhnya daripada RM10 juta
kepada RM0!
130. Jadi bagaimanakah aktiviti R&D getah akan berjalan
dengan baik?

Tan Sri Speaker,
131. Saya akui, terdapat satu dua inisiatif yang baik yang telah
diumumkan oleh Kerajaan. Antaranya, pemerkasaan
ekosistem perbankan dan ekonomi Islam, peruntukan
kepada sistem penjagaan kesihatan dan perubatan
negara kita termasuklah vaksinasi pneumokokal untuk
kanak-kanak dalam program Imunisasi Kebangsaan
(NIP), pemfokusan yang besar kepada ekonomi digital di
pelbagai peringkat dan peruntukan yang besar kepada
sektor pendidikan.

132. Namun, sekalipun sektor pendidikan menerima
peruntukan terbesar, jika kita teliti ia sebenarnya sangat
tidak adil dan tidak berpadanan. Walaupun kerajaan cuba
untuk memerangkap kita dengan sentimen inklusif dan
kesamarataan.

133. Misalnya, 60 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina
mendapat RM15 juta. Apabila dihitung puratanya, 1
sekolah menengah persendirian Cina mendapat kira-kira
RM0.25 juta.

134. Jumlah ini sebenarnya adalah 6.5 kali ganda atau 555%
lebih tinggi daripada purata jumlah peruntukan yang
diterima oleh Sekolah Kebangsaan yang menerima hanya
RM38,172 untuk 1 sekolah.

135. Sekiranya dibandingkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
(SJKC) dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)
pula, 1 SJKT mendapat secara purata 2.5 kali ganda lebih
banyak berbanding 1 SJKC.

136. Dan sekiranya pengagihan peruntukan ini dihitung
berdasarkan bilangan kelas, 1 kelas Sekolah Kebangsaan
mendapat hanya sebanyak RM1,986 peruntukan naik
taraf. Sedangkan 1 kelas SJKC mendapat sebanyak
RM2,602 dan SJKT mendapat sebanyak RM11,299.

137. Justeru, Pembangkang menggesa dilakukan semakan
semula bagi peruntukan kepada semua jenis sekolah di
negara kita. Pembahagian peruntukan kewangan yang
lebih adil dan berpadanan haruslah berpandukan
bilangan sekolah dan jumlah pelajar. Bukannya
sekadar bersifat pukul rata.

138. Pada masa yang sama, saya harap 3 perkara berikut
akan dijawab oleh Menteri Pendidikan.

139. Pertama, memandangkan Belanjawan 2020 langsung
tidak menyentuh tentang institusi pengajian tinggi, berapa
peratuskah peruntukan kementerian pendidikan akan
disalurkan kepada pengajian tinggi? Dan adakah ia
mengambil kira keputusan untuk tiba-tiba
menggabungkan UNISZA dan UMT?

140. Kedua, Pembangkang sangat berharap yang sebelum
menurunkan peruntukan kepada sekolah-sekolah di
peringkat negari, Menteri Kewangan tidak akan sekali lagi
meletakkan syarat kepada Kerajaan Negeri untuk
melangsaikan hutang mereka kepada Kerajaan
Persekutuan terlebih dahulu seperti yang dikenakan ke
atas negeri Sarawak sebelum ini.

141. Ketiga, mengapa dalam Belanjawan ini langsung tidak
disentuh tentang PTPTN? Apakah sebenarnya pelan
Menteri Pendidikan berhubung perkara ini?

Tan Sri Speaker,
RM500 pada Graduan
142. Kelemahan serta kegagalan Belanjawan 2020 dapat dilihat
dalam beberapa inisiatif lagi.

143. Misalnya, pemberian RM300 kepada majikan dan gaji
tambahan sebanyak RM500 selama 2 tahun kepada
graduan yang sudah menganggur selama 12 bulan.

144. Terdapat 4 kepincangan utama dalam inisiatif ini.

145. Pertama, apakah tujuan pemberian insentif RM500 dan
RM300 tersebut? Adakah ia sebagai gaji tambahan atau
apa?

146. Yang pasti, saya tegaskan perkara ini tidak pun
memudahkan mana-mana graduan mendapat pekerjaan
dengan lebih cepat dan mudah. Bukankah lebih baik jika
peruntukan tersebut digunakan untuk tujuan pembinaan
kapasiti atau membantu mereka mendapatkan kerja?

147. Kedua, bagaimanakah kerajaan akan memastikan elaun
RM500 ini tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak
yang sengaja memastikan mereka tidak mendapat kerja
bagi tempoh 12 bulan?

148. Pada masa yang sama, bagaimana untuk memastikan
yang pihak majikan pula tidak dengan sengaja tidak
mengambil graduan yang belum menganggur selama 12
bulan?

149. Ini kerana, jika mereka mengambil hanya graduan yang
sudah menganggur selama 12 bulan, majikan akan
berpeluang mendapat RM300 bagi seorang pekerja selama
2 tahun. Jadi, akan berlaku kecenderungan majikan untuk
hanya mengambil graduan yang sudah menganggur
selama 12 bulan terlebih dahulu.

150. Ketiga, jika ditakdirkan selepas 12 bulan menganggur, dan
pada bulan ke-13 atau ke-14 graduan tersebut mendapat
pekerjaan dengan gaji RM4 hingga RM5 ribu sebulan,
adakah RM500 dan RM300 ini akan turut diberikan kepada
graduan dan majikan yang terlibat?

151. Dan keempat, apakah rasional pemberian gaji tambahan ini
sehingga 2 tahun selepas mendapat pekerjaan? Apakah
matlamat dan kepentingannya? Bukankah mereka sudah
pun mendapat pekerjaan?

152. Pembangkang percaya, inisiatif ini sangat bermasalah dan
tidak akan membantu menyelesaikan masalah
pengangguran graduan. Sekurang-kurangnya, tidak untuk
mereka yang belum menganggur selama 12 bulan.

153. Saya tuntut Menteri Sumber Manusia untuk menjelaskan
perkara ini.

154. Malah, inisiatif berhubung peningkatan gaji minimum
sebanyak RM1,200 juga dilihat tidak ikhlas kerana hanya
dihadkan bandar-bandar utama.

155. Perkara ini menuntut 3 penjelasan utama.
156. Pertama, apakah strategi Menteri Sumber Manusia untuk
menguruskan para majikan yang berdegil ini? Jika RM1100
sahaja pun, sudah 30% majikan berkeras dan tidak
mematuhinya seperti yang dilaporkan sendiri oleh YB
Menteri Sumber Manusia. Inikan pula RM1200. Makin
ramailah yang akan berdegil.

157. Kedua, apakah definisi bandar-bandar utama dalam inisiatif
ini? Adakah ibu-ibu negeri atau bagaimana?

158. Ketiga, apakah jaminan Kerajaan bahawa impak
pelaksanaan dasar ini tidak akan menyebabkan para
majikan lari meninggalkan bandar-bandar utama selepas
ini dan memilih untuk beroperasi di bandar-bandar lain
yang tidak disifatkan bandar utama demi menjimatkan kos.

Tan Sri Speaker,
159. Inisiatif bermasalah yang seterusnya, adalah berhubung
keputusan yang memihak dan bersifat pro pemaju
hartanah, iaitu pengurangan nilai ambang rumah
pangsapuri sebanyak 40% dari RM1 juta kepada RM600
ribu sahaja untuk direbut oleh warga asing.

160. Sekalipun semalam Menteri Kewangan telah melakukan
‘damage control’ melalui kenyataan akhbar semalam
dengan tiba-tiba menambah kriteria baharu bahawa
inisiatif ini hanyalah untuk hartanah yang masih tidak
terjual dalam tempoh Januari hingga Disember 2020
sahaja, masih terdapat 3 kepincangan utama dalam
inisiatif ini.

161. Pertama, ia sangat memihak dan bertujuan menjaga
keuntungan pemaju dengan memastikan segala lebihan
tawaran yang ada akan dilupuskan. Isunya, bagaimana
Kerajaan akan memastikan dasar pro pemaju dan pro
warga asing ini tidak akan menyebabkan persaingan yang
tidak wajar dengan rakyat tempatan kelak?

162. Bayangkan pembeli dari Singapura sudah pasti akan
berlumba-lumba mengaut segala hartanah yang ada
kerana kini mereka hanya memerlukan SGD200 ribu.
Sedangkan dengan jumlah tersebut, belum tentu mereka
akan mampu memberi rumah yang baik di Singapura.

163. Itu kira belum bercakap lagi tentang warga negara lain
seperti Australia, Amerika, Eropah mahupun China yang
pasti akan mengambil kesempatan ekoran kejatuhan
Ringgit Malaysia yang berterusan

164. Yang menariknya, jika dulu, bukan main lantang BN
dituduh dan dikecam teruk bila membenarkan warga asing
membeli hartanah bernilai RM1 juta ke atas di zon
antarabangsa seperti Forest City.

165. Saya masih ingat, YAB Langkawi sampai turun ke tepi
jalan untuk bergambar di papan tanda menuju ke Forest
City sambil berkempen menyatakan kerisauan bagaimana
kita kononnya Johor sedang menjual negara.

166. Sekarang bila Bagan ingin membawa masuk lebih ramai
warga asing untuk memberi hartanah, pada harga lebih
murah, tanda had unit bagi seorang dan syarat kawasan,
adakah Langkawi hanya mampu membisu?

167. Jika ini bukan menjilat ludah sendiri, saya tidak tahu
apakah ia.

168. Kedua, dengan melaksanakan dasar pro pemaju ini,
bagaimana kerajaan akan memastikan pemaju yang
dibela bersungguh-sungguh ini tidak akan membina lagi
rumah mampu milik, sebaliknya memberi fokus untuk
membina sahaja rumah bernilai RM600 ribu ke atas
sahaja pada tahun hadapan?

169. Ketiga, bagaimana pula untuk kita menghentikan tindakan
pemaju daripada menaikkan harga rumah sedia ada yang
lebih rendah dari RM600 ribu, misalnya RM450 ribu
hingga RM590 ribu menjadi RM600 ribu?

170. Sepatutnya pemaju akan turunkan harga apabila unit-unit
ini tidak terjual. Tetapi sekarang, harganya akan
dilambung lebih tinggi agar boleh dilepaskan kepada
warga asing.

171. Kita mesti faham, apabila ada unit yang tidak terjual
sepenuhnya, belum tentu pemaju itu akan rugi. Mereka
selalunya sudah membuat untung. Jadi, polisi ini
sebenarnya bukan mahu mengelakkan pemaju dari rugi.
Tetapi mahu memastikan pemaju dapat memaksimumkan
keuntungan sebanyak mungkin, dengan dibantu oleh
Kerajaan.

172. Jadi sekarang ini, siapa yang kerajaan hendak bela dan
lindungi? Pemaju yang mengejar keuntungan berganda
atau rakyat tempatan yang tidak pun mampu membeli
rumah?

173. Inilah Malaysia Baharu. Kita kini menggunakan
belanjawan negara untuk memberi manfaat kepada warga
asing. Ingatkan Kemakmuran Bersama itu adalah sesama
kita, rupanya kemakmuran yang dikongsikan dengan
warga asing!

Tan Sri Speaker,
174. Saya ingin cadangkan. Sekalipun kita ingin
mengurangkan lebihan rumah tidak terjual, kita boleh lihat
apa yang dilakukan oleh Kerajaan Hong Kong, yang
mengenakan cukai kepada hartanah yang tidak terjual
selepas 12 bulan siap atau tidak disewakan. Kadar cukai
yang dikenakan adalah 200% dari nilai cukai tahunan.

175. Ini adalah alternatif yang lebih baik untuk mengawal
lebihan hartanah tidak terjual sekali gus, memastikan
pemaju membina rumah mengikut keperluan dan
permintaan bukannya mengikut keuntungan dan
ketamakan!

176. Justeru, saya tuntut dan desak dengan sekeraskerasnya agar, nilai harga ambang hartanah kepada
warga asing dikekalkan kepada RM1 juta dan tidak
diturunkan kepada RM600 ribu seperti dalam
Belanjawan 2020. Janganlah kera di hutan disusukan,
anak bangsa di negara sendiri mati kelaparan.

Tan Sri Speaker,
177. Inisiatif yang bermasalah yang berikutnya adalah
pemberian subsidi minyak bersasar.

178. Pada tahun hadapan, sekali lagi Pakatan harapan cuba
untuk memperkenalkan subsidi petrol bersasar. Namun,
subsidi sebanyak kira-kira RM1.04 sehari ini tidak akan
membantu meringankan pun beban mereka yang
tersenarai sebagai penerima BSH.

179. Lebih teruk, inisiatif ini sebenarnya tidak memikirkan nasib
B40 yang tidak mempunyai kenderaan sendiri tetapi
menggunakan pengangkutan awam?

180. Bukankah mereka tidak berpeluang menerima manfaat
RM1 sehari subsidi bersasar petrol ini? Malangnya,
ekoran daripada inisiatif ini, tidak mustahil tiket bas atau
pengangkutan awam yang lain akan naik kerana harga
minyak sudah diapungkan.

181. Jika ini berlaku, maka golongan B40 yang tidak
mempunyai kenderaan sendiri ini ibarat jatuh ditimpa
tangga. Sudahlah tidak berpeluang menerima subsidi
minyak bersasar kerana tidak mempunyai kenderaan
sendiri. Terpaksa pula bergelut dengan tambang
pengangkutan awam yang akan naik.

182. Malah, tidak pelik, jika harga minyak diapungkan kelak,
harga barang juga akan naik disebabkan oleh kos
pengangkutan yang meningkat. Dan kos tambahan ini,
sudah pastilah akan dipindahkan ke bahu pengguna,
sekali lagi.

183. Justeru, saya tuntut jaminan dari Menteri Kewangan
bahawa inisiatif ini tidak akan menaikkan tambang
pengangkutan awam pada tahun hadapan!

Tan Sri Speaker,
184. Untuk inisiatif seterusnya saya ingin merujuk kepada
pengurangan yang tidak wajar kepada peruntukan
usahawan India.

185. Semasa zaman BN, kita telah memperuntukkan sebanyak
RM50 juta untuk tujuan pembangunan usahawan
masyarakat India melalui TEKUN Nasional yang memberi
manfaat kepada kira-kira 35 ribu orang usahawan India.

186. Namun, dalam Belanjawan 2020 oleh PH, hanya RM20
juta diperuntukkan bagi tujuan yang sama.

187. Apakah justifikasi pengurangan sebanyak RM30 juta
peruntukan kepada masyarakat India ini? Bukankah
sepatutnya jumlah tersebut ditambah dan ditingkatkan lagi
bagi memastikan komuniti usahawan di negara kita
diwakili dan disertai oleh pelbagai kaum dengan kadar
yang lebih seimbang.

188. Jadi saya mendesak agar peruntukan RM20 juta ini
dinaikkan kembali kepada RM50 juta, seperti yang
diberikan oleh BN dulu.

Tan Sri Speaker,
189. Inisiatif yang juga bermasalah adalah pemberian
diskaun 18% tol Lebuhraya PLUS.

190. Janji Pakatan Harapan adalah penghapusan terus tol.
Kalaupun janji kosong ini ingin dilakukan secara
berperingkat-peringkat, memandangkan kita sudah masuk
tahun kedua, sepatutnya diskaunnya adalah 40%
bukannya 18%.

191. Ini kerana, hanya dengan pemberian diskaun 20%
setahun barulah sasaran tol percuma akan tercapai dalam
penggal ini.

192. Jadi, saya minta pakar formula tol Pakatan Harapan, YB
Damansara untuk menjelaskan kenapa belum dihapuskan
tol sepenuhnya? Dan kalaupun hendak sekadar memberi
diskaun, mengapa 18% dan bukannya 40%?

Tan Sri Speaker,
193. Seterusnya, saya bangkitkan berkenaan dengan
pertambahan kadar cukai sebanyak 2% lagi kepada
mereka berpendapatan RM2 juta setahun.

194. Memandangkan inisiatif ini hanya melibatkan 2 ribu orang,
saya mencadangkan agar inisiatif ini dikembangkan juga
kepada individu yang mempunyai pendapatan bercukai
melebihi RM1 juta dan bukannya hanya pada pendapatan
bercukai RM2 juta setahun sahaja.

195. Ini kerana, mengikut definisi sekalipun, mereka yang
berpendapatan RM1 juta setahun ini sudah boleh dikira
sebagai high net worth individual.

Tan Sri Speaker,
196. Seterusnya saya ingin tegaskan bahawa sebenarnya
Belanjawan 2020 tidak menawarkan inisiatif khusus
secara langsung untuk golongan M40. Sebaliknya,
mereka disebut semata-mata untuk mengisi syarat atau
menumpang kesan inisiatif kepada kelompok lain.

197. Golongan M40 ini purata pendapatan mereka adalah dari
RM6,500 hingga RM16,000. Akan tetapi inisiatif-inisiatif
yang dikenal pasti dan dicadangkan untuk memastikan
golongan ini merasa hasil pertumbuhan ekonomi negara
adalah tidak masuk akal.

198. Jika kerajaan PH memang bersungguh untuk
meningkatkan taraf hidup atau meringankan bebanan sara
hidup golongan ini, carilah inisiatif-inisiatif yang lebih
bermakna dan boleh capai.

199. Ini tidak. Amat memeranjatkan apabila inisiatif
#MalaysiaKerja dikatakan turut mensasarkan golongan
M40. Bukankah golongan M40 ini memang sudah ada
punca pendapatan dan sebab itu mereka dikategorikan
dalam golongan M40?

200. Lebih memeranjatkan, 37% atau 130,00 pekerjaan yang
ditawarkan dalam masa lima tahun akan datang adalah
diandaikan dilakukan oleh pekerja asing. Adakah ini
bermaksud, pekerja asing pun ada yang tergolong dalam
M40 selama ini?

201. Jadi, saya ingin Kerajaan tunjukkan, bagaimanakah anda
mahu memastikan yang golongan M40 yang
berpendapatan RM6,500 hingga RM16,000 ini dapat
merasa nikmat pertumbuhan ekonomi dengan inisiatifinisiatif yang diperkenalkan?

Tan Sri Speaker,
202. Saya ingin merujuk kepada Kementerian Pertahanan.

203. Saya minta YB Menteri Pertahanan untuk menunjukkan
strategi dan pelan yang akan kita gunakan untuk
memastikan wujudnya peluang peralihan yang cerah
kepada kerjaya kedua kepada anggota tentera kita.

204. Ini kerana, kebanyakan anggota tentera kita adalah
golongan muda yang bersara awal di bawah umur 41
tahun.

205. Jadi, kementerian mesti mempunyai pelan dan strategi
yang konkrit dan berkesan untuk membantu penerokaan
kerjaya kedua kepada mereka.

206. Seterusnya berhubung dengan skim My Salam.

207. Sebelum ini ada dinyatakan bahawa, monopoli Great
Eastern selaku penyedia perkhidmatan akan dikurangkan
dengan melibatkan juga penyedia-penyedia insurans /
takaful yang lain. Perkara ini tidak dinyatakan oleh Menteri
Kewangan.

208. Adalah skim MySalam akan terus dilaksanakan melalui
kerjasama secara monopoli oleh Great Eastern atau akan
dibuka? Siapakah para penyedia perkhidmatan
takaful/insurans lain yang sudah dikenal pasti oleh
kerajaan?

209. Dan terakhir, saya ingin merujuk secara khusus kepada
negara Kedah. Saya sedar Kedah adalah negeri jelapang
padi. Jadi, tidak peliklah jika kita mahu merancakkan dan
meningkatkan penanaman beras pulut di sana dengan
peruntukan sehingga RM30 juta untuk 1200 petani.

210. Yang peliknya adalah, mengapa pemfokusan ini
dijalankan di Pulau Langkawi yang merupakan sebuah
Bandaraya Pelancongan? Dan bukannya di daerahdaerah lain yang memfokuskan kepada penanaman padi
seperti kota Setar dan Kubang Pasu?

211. Sepatutnya, sekalipun ingin disalurkan peruntukan
kepada Langkawi, aspek yang lebih baik adalah dengan
memperkasakan industri pelancongan pulau tersebut atau
sektor perikanannya. Misalnya, memberi peruntukan dana
bagi meneroka teknologi perikanan laut dalam. Bukan
tanam padi pulut di pulau tersebut.

Tan Sri Speaker,
Penambahbaikan Yang Perlu Dipertimbangkan.
212. Akhir sekali, memandangkan terlalu banyak kepincangan
dalam Belanjawan 2020, saya ingin memberikan
beberapa cadangan konstruktif dan saranan
penambahbaikan yang wajar dipertimbangkan oleh pihak
Kerajaan.

213. Pertama, saya sangat berharap Kerajaan akan
mempertimbangkan semula sandaran kepada harga
minyak mentah Brent pada kadar USD62 setong.

214. Sandaran pada kadar USD62 setong ini bukan sahaja
tidak cekap, malah bercanggah dengan pelbagai analisis
yang meramalkan kejatuhan harga minyak mentah Brent.

215. Menurut US Energy Information Administration (EIA) dan
juga kartel negara pengeluar minyak, OPEC, minyak
mentah Brent akan terus jatuh ke paras US$57 setong
pada suku kedua tahun hadapan dari harga sekarang iaitu
US$60 setong. Malah, sepanjang tahun ini, harga tertinggi
yang dicatatkan hanyalah USD60 setong.

216. Semakan semula ini penting bagi memastikan segala
inisiatif yang disebutkan dalam Belanjawan 2020 dapat
dilaksanakan.

217. Kedua, pembangkang percaya, untuk terus maju ke
hadapan, perbelanjaan kewangan kerajaan adalah aspek
kritikal yang penyusunannya harus dipimpin oleh
beberapa matlamat besar.

218. Biarpun Belanjawan 2020 memberikan fokus yang besar
kepada ekonomi digital, kita mesti turut menyediakan
asas-asas yang kuat kepada pertumbuhan sektor
Ekonomi Kalis Masa Depan atau future-proof economy,
yang tidak hanya terhad kepada ekonomi digital.

219. Untuk itu, pembangkang menyarankan kepada Kerajaan
untuk menubuhkan satu jawatankuasa atau pasukan khas
bagi meneliti perkara ini. Antara perkara yang mesti dilihat
secara teliti adalah, apakah bentuk-bentuk persediaan
yang negara harus lakukan untuk berhadapan dengan
cabaran dan ketidaktentuan ekonomi masa hadapan.

220. Ketiga, Belanjawan 2020 mesti memberi perhatian
kepada graduan dan pekerja yang berdaya saing dan
mampu berhadapan dengan kebangkitan IR4.0. Mereka
ini saya gelar sebagai Graduan atau Pekerja Kalis Robot.

221. Aspek ini sangat kritikal kerana, sekalipun kerajaan
bercadang mewujudkan kira-kira 350 ribu peluang
pekerjaan kepada anak muda dengan kos keseluruhan
kira-kira RM6.5 bilion, kita sebenarnya tidak mempunyai
persiapan strategik untuk memastikan pekerja atau anak
muda kita menjadi golongan tenaga kerja yang kalis robot.

222. Jika kita tidak memberikan perhatian kepada perkara ini,
dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang, mereka
semua akan digantikan dengan teknologi dan automasi.
Dan akhirnya kita akan kembali bercakap perihal
pengangguran dan penghasilan peluang pekerjaan
kepada anak muda.

223. Keempat, selain merujuk kepada jurang antara bandar
dan luar bandar iaitu urban-rural gap, dengan izin,
kerajaan sebenarnya perlu turut memberi perhatian yang
serius kepada jurang intra-bandar iaitu perbezaan dan
jurang yang besar dalam kalangan mereka yang tinggal di
bandar.

224. Justeru, Pembangkang mencadangkan agar disemak
semula definisi dan pengklasifikasian B40 yang kita
gunakan sekarang. Definisi B40 yang baharu harus turut
melihat faktor lain seperti lokaliti serta jumlah tanggungan
dan bukannya kepada jumlah isi rumah secara kasar
sahaja.

225. Kelima, dalam Teras Ke-3 Belanjawan 2020, Kerajaan
mensasarkan Masyarakat Yang Bersatu, Inklusif dan
Saksama.

226. Pembangkang akui akan kepentingan perkara tersebut.
Akan tetapi, pembangkang percaya, kita juga mesti
mengambil inisiatif untuk memastikan berlakunya
penyuburan rasa kecintaan yang tulen kepada negara.
Hanya dengan meramaikan anak bangsa yang benarbenar setia dan cintakan tanahair, negara ini akan maju
dan menjadi bertambah baik.

227. Namun, pada tahun hadapan, saya lihat tidak wujud
sebarang strategi berhubung perkara ini.

228. Malah, tiada peruntukan atau dana khas kepada PDRM
atau mana-mana pihak berkuasa bagi mendidik atau
memulihkan mana-mana pihak berisiko terutamanya ahli
politik yang disyaki terlibat dengan sebarang pertubuhan
pengganas dan ekstrem seperti LTTE. Sedangkan
ideologi yang ekstrem dan bersimpati dengan pergerakan
pengganas mesti diperangi sehabis-habisnya.

229. Maka, Pembangkang mencadangkan penubuhan Agensi
Pemulihan Ahli Politik atau dalam bahasa Inggerisnya
dengan izin, Deradicalization Agency for Politicians atau
ringkasnya DAP. Ini hanyalah sekadar contoh.

230. Yang keenam dan terakhir, bagi mengelakkan
berulangnya kegagalan pelaksanaan seperti yang berlaku
dalam Belanjawan 2019, Pembangkang mencadangkan
agar ditubuhkan satu Jawatankuasa Khas Pemantauan
Pelaksanaan Belanjawan Negara.

231. Jawatankuasa khas ini kita letakkan di bawah Parlimen
dan semua kementerian bertanggungjawab untuk
membuat laporan berkala agar semua pihak dapat
memantau bagaimana peruntukan belanjawan kita
digunakan.

Kesimpulan.
Tan Sri Speaker,
232. Sebagai kesimpulan, Pembangkang ingin menegaskan
kepincangan Belanjawan 2020 ini sebenarnya boleh
diringkaskan kepada 5 perkara.

233. Pertama, ia hanyalah penerusan rangkaian inisiatif yang
diusahakan oleh BN sebelum ini. Cuma, inisiatif-inisiatif
BN tersebut sekadar ditambah jumlah peruntukkannya.
Walau pun pada hakikatnya, banyak sekali peruntukan
pada zaman BN dikurangkan tanpa penjelasan sekalipun
keperluannya meningkat. Pendek kata, tiada idea baharu,
tiada lonjakan atau game changer baharu.

234. Kedua, Belanjawan 2020 adalah belanjawan yang
membuka lebih banyak ruang pemilikan hartanah oleh
warga asing. Ini adalah kumpulan fokus yang salah sama
sekali.

235. Ketiga, Belanjawan 2020 tidak menyediakan sebarang
pelan penting untuk berhadapan dengan kegawatan
ekonomi yang diramalkan berlaku tahun hadapan
mahupun meletakkan asas kepada WKB2030.

236. Keempat, Belanjawan 2020 sekali lagi mengulangi
kesilapan tahun ini dengan menyandarkan pendapatan
negara kepada hasil minyak yang tinggi, sedangkan
analisis profesional menunjukkan harga minyak mentah
akan semakin menurun pada tahun hadapan. Belanjawan
ini akan menjadi seperti Belanjawan 2019 yang gagal!

237. Kelima, Belanjawan 2020 adalah belanjawan pro
pemodal, pro gergasi korporat dan pro golongan pelobi.
Berdasarkan bentuk-bentuk dasar yang diubah, kita sudah
boleh melihat, kelompok pelobi manakah yang paling
berkuasa dan berpengaruh di negara kita.

238. Apa yang jelas, dalam pertembungan kepentingan
antara rakyat marhaen dan golongan pelobi serta
pemodal yang berwang, rakyat telah tewas!

239. Atas segala kelemahan dan kegagalan merancang
belanjawan yang baik ini, saya cadangkan, baik kita
bubarkan sahaja Parlimen.

240. Terima kasih.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker