Kenapa kempen kerajaan gagal dihentikan, soal Peja

Kenapa kempen kerajaan gagal dihentikan, soal Peja

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu “bimbang” kalangan yang menjatuhkan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, akan mempengaruhi keputusan yang dibuat penggantinya, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau mempersoalkan kenapa kempen “kerajaan gagal” yang digunakan untuk menjatuhkan Muhyiddin “terhenti,” meskipun sebilangan besar ahli Jemaah Menteri lantikan Ismail adalah ahli Kabinet Muhyiddin sebelum ini.

“Jadi yang baharu (dalam Kabinet Ismail) cuma dua orang, tapi tiba-tiba kita tak dengar (slogan) ‘kerajaan gagal.’ Jadi siapa yang buat kempen ‘kerajaan gagal’ ini. Pembangkang atau sesama kita?.

“Saya bimbang kalau-kalau ada dalam kalangan yang mahu menjatuhkan Muhyiddin akan cuba mempengaruhi Perdana Menteri (Ismail) dalam keputusan-keputusan beliau,” Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan, memberitahu Mingguan Malaysia.

Beliau berkata, hanya dia dan pemimpin PAS Idris Ahmad adalah muka baharu yang dalam Kabinet Ismail, manakala empat lagi pemimpin Umno yang turut dilantik oleh Ismail, bukan ahli Kabinet Muhyiddin, namun pernah menjadi menteri sebelum itu.

Selainnya adalah mereka yang menganggotai Kabinet Muhyiddin sebelum ini.

Mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh Ismail dan Pakatan Harapan, Faizal berkata perjanjian itu menimbulkan persoalan mengenai kewajaran pihak tertentu menjatuhkan Muhyiddin.

“Kalau kita sudah berjaya menjatuhkan seorang pemimpin daripada menjadi PM dan kita naikkan pemimpin lain, bermaksud kerajaan itu telah kuat dan stabil.

“Dengan Muhyiddin tempoh hari katalah hanya dapat 100 sokongan (Ahli Parlimen), sekarang dah ada 115 (tetapi) nampaknya kerajaan ini masih memerlukan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) atau apa yang disebut pembangkang sebagai MoU.

“Jadi buat apa kita mahu jatuhkan Muhyiddin kalau hasil akhirnya (outcome) sama? Yang penting dalam sesebuah kerajaan adalah hasil akhir dan sekarang ini hasil akhirnya sama. Maka saya tidak nampak di mana keuntungan dalam kesepakatan ini bagi perkara itu,” katanya.

Minggu lalu, Putrajaya dan tiga pemimpin utama PH memeterai MoU mengenai “kestabilan dan transformasi politik” yang merangkumi pembaharuan Parlimen dan transformasi kerajaan.

Perjanjian itu merangkumi beberapa pembaharuan sistem demokrasi negara yang dilihat mirip dengan apa ditawarkan oleh Muhyiddin kepada pembangkang dalam usaha untuk mengumpul sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Muhyiddin terpaksa meletak jawatan apabila PH menolak tawaran itu dan 15 Ahli Parlimen Umno tetap dengan keputusan tidak lagi menyokong beliau, sekali gus membuka laluan untuk Ismail dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.
FMT

Kenapa kempen kerajaan gagal dihentikan, soal Peja


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ular sawa belit kaki, lelaki selamba ajak berbual

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker