Vaksin selamat untuk wanita hamil, tak menyebabkan keguguran atau kecacatan

Vaksin selamat untuk wanita hamil, tak menyebabkan keguguran atau kecacatan. Wanita hamil tidak perlu bimbang dengan risiko suntikan vaksin COVID-19 kerana ia selamat dan tidak menyebabkan keguguran atau kecacatan.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Murizah Mohd Zain berkata, mengikut laporan terbaharu daripada Kolej Diraja Obstetrik dan Ginekologi (RCOG), vaksin boleh diberikan kepada semua trimester kehamilan.

Untuk rekod, vaksin disarankan untuk diberi kepada ibu hamil antara 14 hingga 33 minggu. 



Namun, mengikut garis panduan terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut selari dengan laporan RCOG yang mana menyatakan vaksinasi selepas minggu ke-33 kehamilan tidak bertentangan sepenuhnya dan boleh dibuat berdasarkan kes dengan penilaian manfaat dan risiko terhadap individu.

“Ibu hamil tidak perlu risau, vaksin tidak akan meningkatkan risiko keguguran atau kecacatan. Kalau kita tengok latar belakang risiko, seorang ibu hamil tidak ambil vaksin, kemungkinan dia untuk gugur adalah 15 peratus. Sementara ibu yang ambil vaksin, kemungkinan dia tetap sama. 

“Data-data ini meyakinkan kita bahawa vaksin tidak memberi komplikasi. Jadi, kita tidak ragu ragu lagi untuk memberikan vaksin COVID-19. 

“Tambahan pula jika dilihat dari segi struktur, vaksin ini bukanlah vaksin hidup. Salah satunya daripada teknologi Messenger Asid Ribonukleik atau mRNA seperti yang terkandung dalam vaksin Pfizer. Ia tidak akan ditransmisikan daripada uri kepada bayi itu. Jadi keseluruhanya ia adalah selamat,” katanya dalam program Agenda Pertiwi, malam ini.



Mengikut garis panduan KKM, vaksin yang diberikan untuk ibu hamil adalah daripada syarikat Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca. 

“Keutamaan kita adalah vaksin Pfizer, tetapi seandainya tiada vaksin Pfizer, boleh berikan apa sahaja vaksin COVID-19 yang diluluskan KKM kepada wanita hamil

“Harus diingat, tujuan utama vaksinasi adalah untuk melindungi ibu hamil daripada menerima jangkitan yang teruk. 

“Suami tak perlu risau vaksin beri kemudaratan sama ada kepada isteri atau anak dalam kandungan. Vaksin ini kita beri untuk mencegah komplikasi lebih teruk. Perlindungan kepada ibu daripada jangkitan COVID-19 adalah prioriti sekarang,” katanya.



Sementara itu, beliau berkata, peningkatan kes COVID-19 membabitkan ibu hamil ketika ini berkait rapat dengan varian Delta. 

Katanya, pada bulan Mac hanya seramai 200 ibu dijangkiti, namun ia meningkat kepada kira-kira 890 kes pada Jun dan Julai menjadikan jumlahnya empat kali ganda lebih tinggi berbanding varian tahun lalu. 

Kajian daripada United Kingdom (UK) mendapati ibu hamil yang dijangkiti COVID-19, mendapat komplikasi lebih teruk, termasuk sistem ketahanan badan, jangkitan paru-paru dan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU). Secara tidak langsung ia beri kesan kepada bayi.

“Jika ibu hamil dapat jangkitan teruk, salah satu rawatan adalah kelahiran lebih awal demi menyelamatkan ibu.



“Ketika kehamilan baru 26 atau 28 minggu, ibu itu pula telah sampai ke kategori 4 hingga 5 COVID-19, maka kita terpaksa buat keputusan sukar melahirkan bayi awal walaupun bayi berada dalam keadaan tidak matang. 

“Jika kandungan berusia 24-26 minggu, maka chance of survival menjadi sangat rendah. Mudaratnya adalah kepada kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan itu,” katanya. 

Semalam, KKM memaklumkan terdapat peningkatan mendadak dalam kes kematian dan jangkitan teruk melibatkan wanita hamil yang positif COVID-19.

Peningkatan itu di tengah-tengah kadar pendaftaran vaksinasi yang rendah di kalangan golongan itu.



KKM memaklumkan, hanya seramai 146,759 wanita hamil telah mendaftar untuk vaksinasi setakat 8 Ogos – dianggarkan 40 peratus daripada seluruh wanita hamil di Malaysia.

Daripada yang telah berdaftar, seramai 83,251 orang (57 peratus) telah menerima satu dos, manakala 20 peratus telah menerima dua dos.

Vaksin selamat untuk wanita hamil, tak menyebabkan keguguran atau kecacatan


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


PKR kata MB Kedah zalim biar pengkritik ditahan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker