Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Selasa sejajar dengan pasaran serantau berikutan pelabur terus menilai semula parameter risiko mereka berikutan insiden pada hujung minggu di Arab Saudi dan menjelang keputusan oleh Rizab Persekutuan AS mengenai kadar faedahnya esok.

Ketegangan di Timur Tengah meningkat selepas serangan dron ke atas dua kemudahan minyak utama di Arab Saudi.

Pada 9 pagi, ringgit susut kepada 4.1710/1750 berbanding dolar US daripada 4.1630/1660 pada Jumaat.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena Hari Malaysia.



Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Asia Pasifik Jeffrey Halley berkata, pasaran akan menumpukan kepada berita utama mengenai minyak dan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan selama dua hari yang bermula hari ini.

“Susulan ekonomi global yang perlahan dijejaskan oleh perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, jawatankuasa penetapan kadar Fed itu kini perlu bersaing dengan kemungkinan ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah dan kesan daripada kemungkinan tembakan dilepaskan di Selat Hormuz,” katanya.

Di peringkat tempatan, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 3.00 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) minggu lepas, menyatakan ekonomi global berkembang pada kadar yang lebih sederhana dengan pertumbuhan perlahan dalam kebanyakan negara-negara maju utama dan pesat membangun.

Mesyuarat MPC yang akhir bagi tahun ini akan diadakan pada 5 Nov dengan ramai ahli ekonomi yakin bank pusat akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah.



Sementara itu, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain. Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8549/8590 daripada 3.8550/8581 pada Jumaat lepas dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0310/0350 daripada 3.0318/0345.

Unit tempatan meningkat berbanding pound British kepada 5.1800/1866 daripada 5.1829/1883 dan mengukuh kepada 4.5919/5967 daripada 4.6205/6255 berbanding euro. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker