PH beringatlah kuasa rakyat!

PENAT rakyat melayani kerenah dan gelagat pemimpin yang asyik berpolitik memanjang.

Diakui tanpa isu-isu dan cabaran politik, kerajaan adalah hambar dan legap, tanpa keseronokan dan keghairahan untuk kebaikan. Tanpa kesediaan mengakui kesilapan, ia juga membawa padah kerana sebuah kerajaan itu secara demokratiknya bergantung kepada sentimen-sentimen dan sokongan rakyat.

Sesekali Tumpang akur juga dengan ingatan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang disebutkannya Jumaat lepas.

Kata Perdana Menteri, semua anggota parti Pakatan Harapan (PH) tidak boleh biarkan diri terganggu dan hilang fokus dengan perkara-perkara sampingan yang tidak ada nilai sama sekali dengan pembangunan dan hala tuju negara.



Jika berterusan bertelagah kerana berebut kuasa tanpa sedar, dek kerana berebut-rebut itulah PH akan hilang kuasa, kata Dr. Mahathir lagi.

Tumpang tidak mahu campur tangan sangat hal-hal PH ini. Apa pun kena beringatlah yang memberi kuasa kepada mereka adalah rakyat.

Lagi pula PH menangpun tempoh hari 9 Mei 2018 kata sebahagian penganalisis kerana sentimen rakyat, sama ada tulen berpendirian teguh, terpengaruh atau termakan hasut hendak jatuhkan individu tertentu. Ini sekali gus mengakibatkan parti yang menjadi tonggak lebih 10 parti komponen tumbang setelah enam dekad berkuasa.

Tapi cuma ada dengarkah parti tonggak itu ranap atau setidak-tidaknya cawangan parti itu dibubarkan dalam setahun dua bulan ini? Barangkali Tumpang terlepas pandang. Boleh sesiapa kemukakan tak satu dua cawangannya yang terbubar? Meskipun ada ketua bahagian dan ahli Parlimen melakukan pengkhianatan besar keluar melompat ke parti lawan, tidak ada pula kedengaran bahagian parti tutup.



Bahkan, lebih ramai pula menghadiri mesyuarat cawangan dan persidangan perwakilan bahagian setiap hujung minggu seolah-olah parti berkenaan, yakni UMNO masih berfungsi parti kerajaan.

Hairannya PKR, parti terbesar dalam PH yang memiliki 50 kerusi Parlimen masih mahu terus berlaga antara ‘dua singa di atas satu bukit’. Padahal, baru Mac lepas sahaja Dr. Mahathir meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi setahun menteri-menteri PH. Rating yang diberi hanya lima markah dari 10.

Dan walaupun PH memiliki seorang Perdana Menteri berwibawa yang berpengalaman luas,

bahkan tersenarai dalam kalangan 50 tokoh dunia paling berpengaruh 2019, namun jika visinya sukar ‘dibawa’ oleh sebahagian besar menteri yang masih lagi `bertatih’, akibatnya kelak kuasa rakyat akan kembali menghukum.



Apa lagi dalam sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk seperti Malaysia – yang kini banyak pula cabaran berkisar soal ras, kaum, agama dan belum lagi dengan turun naik momentum ekonominya.


Siapa makan cili, …

Tumpang sejak remaja hingga diizin-Nya mencecah umur separuh abad hari ini, gemar menghayati mesej dan kata-kata hikmah dari peribahasa atau pepatah Melayu lama.

Tak pasti ada tak anak muda sekarang menggunakan bahasa kiasan dalam kehidupan harian?



Tetapi dalam menyorot senario politik semasa tanah air hari ini, Tumpang perturunkanlah juga mesej penuh bermakna `siapa makan cili dia terasa pedasnya’ yang pernah diungkapkan oleh individu atau pemimpin tersohor berikut.

* Orang yang berani tidak akan membabi-buta melompat masuk ke dalam jurang, melainkan masuk dengan perlahan-lahan dengan mata yang terbuka setelah mengukur dalamnya.
Stahl P.J


* Seseorang yang melakukan kesalahan dan tidak membetulkannya telah melakukan satu kesalahan lagi.
Confucius


* Jika kejahatan dibalas kejahatan, maka itu adalah dendam. Jika kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa. Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim. Tapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji.
La Roche




*Hidup biar beradab, bukan hidup untuk biadab.
Al-Ghazali Bayruni


* Masa depan itu dibeli oleh masa sekarang.
Samuel Johnson


* Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah.
Lao Tze


* Nilai hidup harus diukur dengan garis yang lebih mulia, iaitu kerja dan bukannya usia.
Richard Brinsley Sheridan



* Anda mungkin ditipu jika terlalu mempercayai orang tetapi hidup anda akan terseksa jika tidak mempercayai orang.
Frank Crane


* Komunikasi adalah sesuatu yang mudah, susahnya ialah apabila kita tidak menyebutnya dengan perkataan yang mudah.
T.S Matthews


* Jikalau satu-satunya yang ada hanyalah tukul, maka semua masalah akan dilihat seperti paku.
Maslow


* Rakyat itu akar bangsa. Jika akarnya sihat, pokoknya pun sihat.
Beng Tju


* Jangan tanya apa yang dibuat oleh negara untukmu, tapi tanyalah apa-apa yang boleh kamu buat untuk negara.
Abraham Lincoln

Pelompat parti patah balik?

APA khabar Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) ? Apa cerita Datuk Dr. Latiff Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh (Sabak Bernam)?

Apa kisah empat, lima orang lagi bekas ahli parlimen UMNO yang lompat parti tempoh hari?

Tumpang pasti bukannya mudah untuk membiasakan diri duduk di rumah orang.

Apatah lagi bila kita dulunya berjawatan menteri atau ketua bahagian. Jawatan? Barangkali sebelum menyeberang, dijanjikan macam-macam. Kena tunggulah. Takkanlah secepat itu mahu dilantik, waima jawatan menteri. Andai ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’, maka kena tanyalah pucuk pimpinan bekas parti boleh diterima balik atau tidak. Tapi janganlah beri syarat dikembalikan jawatan dulu.

Zulkifli Jalil
Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker