Kutip RM3 bilion tapi parit tersumbat

Oleh Rohana Man

ISHAM JALIL menunjukkan jalan raya dinaiki air akibat longkang tersumbat dekat persimpangan Puncak Alam petang semalam.

SHAH ALAM – Masalah parit tersumbat dikenal pasti antara punca banjir kilat di beberapa kawasan di Shah Alam.

Ini diakui Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis semalam.

Dalam satu laporan berita sebuah akhbar tempatan, Norazam berkata, beberapa jalan dan taman perumahan dinaiki air susulan hujan lebat dan longkang tersumbat, antaranya Seksyen 17 ke Seksyen 24.



Prihatin dengan nasib penduduk yang terpaksa berdepan masalah banjir setiap kali hujan lebat, calon Barisan Nasional (BN) P108 Shah Alam, Hizatul Isham Abdul Jalil berkata, beliau sendiri buat tinjauan banjir dalam hujan renyai pada petang semalam, kira-kira pukul 5.10 petang.

Waktu tinjauan dilakukan adalah waktu puncak ketika orang ramai balik dari kerja dan Isham Jalil melihat sendiri kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan jalan raya yang dinaiki air.

Dalam satu video live Facebook, kelihatan beliau meredah banjir di sebatang jalan raya dan sekitarnya dekat persimpangan Puncak Alam.

“Saya sekarang berada dekat persimpangan Puncak Alam. Ini dalam kawasan Shah Alam.



“Memang saya sentiasa pantau keadaan banjir.

“Sebelum air naik, saya dah sampai. Macam banjir di Kebun Bunga, baru-baru ini.

‘Turun sahaja hujan, saya sudah bersedia untuk ke kawasan banjir. Air belum naik, saya dah sampai,” katanya.

Mengulas kesesakan lalu lintas akibat banjir dan kenderaan berpusu-pusu menggunakan jalan yang tidak dinaiki air, Isham Jalil berkata:



“Tengok ni, bila dah tak boleh lalu sini (sambil menunjukkan jalan yang dinaiki air), semua kenderaan lalu sana. Jadi, traffic jam pula di situ,” ujarnya.

Tinjauan beliau mendapati air naik di kawasan tersebut akibat longkang di tepi jalan tersumbat.

“Longkang-longkang ni, siapa punya tanggungjawab?.

“Tersumbat sampai banjir. PBT ke atau siapa? Yang saya tahu, persimpangan jalan ini bawah Shah Alam,” katanya kesal.



Beliau menegaskan masalah longkang tersumbat perlu diatasi segera kerana setiap kali banjir kilat, kesesakan lalu lintas yang teruk akan berlaku terutama waktu puncak iaitu ketika orang ramai pergi dan balik dari kerja, sehingga menyusahkan penduduk.

Isham Jalil turut mempersoalkan Kerajaan Negeri Selangor yang mengutip sehingga RM3 bilion cukai tetapi masalah air yang kerap terputus dan banjir tidak pernah selesai di Shah Alam.

“Kutip RM3 bilion, tapi masalah air tak selesai. Masalah banjir tak selesai. Lepas tu cakap benda yang besar-besar. Benda yang basic tak selesai.

“Ini berlaku sebab mereka (Pakatan Harapan, PH) menang banyak sangat, 52 daripada 56 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri). Menang majoriti puluh-puluh ribu undi.



“Bila menang, wakil rakyat (PH) tak buat kerja.

“Cuba sekali saya jadi wakil rakyat dan ahli Parlimen Shah Alam. Tengok macam mana, kita (BN) semak dan imbang kerajaan negeri.

“Kalau mereka tak buat kerja, kalau rakyat mengadu kepada wakil rakyat PH, pergi DUN, tak layan…pergi kerajaan negeri, tak layan…,pergi jumpa MB (Menteri Besar,) tak layan…,datang jumpa ahli Parlimen Shah Alam (BN).

“Insya-Allah, kalau BN menang dan perintah, kita akan semak dan imbang. Ini (banjir) sudah banyak kali berlaku. Bukan kali pertama, tapi berlaku tiap kali hujan lebat,”katanya.



Sempat juga Isham Jalil menyindir PH dengan berkata “Apa ler…, kutip 3 bilion, nak cakap benda-benda besar saja, masalah banjir pun tak boleh nak setle.

“Ini bukan banjir sebab apa, tapi memang sebab longkang tersumbat. Betul tak?”.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker