PBNP ‘syok sendiri’ gantung Sumareh

Keputusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang mengenakan penggantungan dua tahun daripada sebarang aktiviti bola sepak kepada bekas pemainnya, Mohamadou Sumareh disifatkan sebagai satu tindakan ‘syok sendiri.’

Ini kerana peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid menjelaskan PBNP sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sedemikian sekali gus menyaksikan penggantungan yang dikenakan ke atas Sumareh tidak boleh dikuatkuasakan.

Zhafri berkata, persatuan itu hanya boleh menggunakan Kod Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya isu membabitkan kes liga tempatan yang berada di bawah seliaan PBNP sahaja.

“Apa yang dilakukan oleh PBNP itu tidak betul dan ‘ultra vires’ di mana mereka membuat sesuatu di luar bidang kuasa PBNP. Hanya FAM yang boleh menggantung mana mana individu daripada terbabit dengan bola sepak di negara ini.

“Jawatankuasa Tatatertib PBNP hanya ada kuasa untuk menggantung pemain yang bermain dalam liga seliaan PBNP misalnya kalau ada pemain yang beraksi dalam Liga Bolasepak Pahang.

Sumareh tidak bermain di dalam Liga Pahang, jadi PBNP tidak boleh menjatuhkan hukuman itu.

“FAM pun tidak boleh menguatkuasakan penggantungan terbabit kerana Jawatankuasa Tatatertib PBNP tidak mempunyai sumber kuasa untuk menjatuhkan hukuman seperti yang dinyatakan.

“Untuk kes penggantungan, hanya badan induk kebangsaan iaitu FAM dan badan induk antarabangsa iaitu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sahaja ada kuasa,” katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib PBNP mengenakan penggantungan dua tahun kepada pemain naturalisasi pertama negara itu selepas didapati bersalah melanggar terma kontrak dengan persatuan itu.

Pada sesi pendengaran perbicaraan kes Sumareh yang dipengerusikan Rizal Chek Hashim, sebanyak empat pertuduhan dikenakan terhadap Sumareh seperti yang dilaporkan oleh PBNP dan skuad Liga Super Pahang kepada jawatankuasa berkenaan.

Justeru, Rizal mengesahkan jawatankuasa itu mengenakan hukuman dua tahun penggantungan daripada mengambil bahagian dalam aktiviti yang berkaitan dengan sukan bola sepak terhadap Sumareh bagi setiap pertuduhan namun semua hukuman dijalankan serentak. BH

Sumareh kena gantung 2 tahun

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker