Bolehkah fenomena sirah Nabi dan Sahabat yang dinovelkan?

Bolehkah fenomena sirah Nabi dan Sahabat yang dinovelkan?

Imam at Tirmidzi dan at Thabrani meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas r.a., bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Cintailah Allah agar kalian memperoleh sebahagian nikmat-Nya, cintailah aku agar kalian memperoleh cinta Allah, dan cintailah keluargaku (ahlul baitku) agar kalian memperoleh cintaku.”



Berdasarkan kepada hadis di atas, Rasulullah s.a.w sangat menekankan akan cinta kepada Allah dapat diraih dengan menimbulkan bibit-bibit cinta kepadanya dan juga para sahabatnya. Namun, sebagai umat sekarang yang tidak mengenali wajah dan fizikal nabi, kita mempunyai pelbagai cara dan kaedah untuk melahirkan rasa cinta kepada Nabi.

Salah satunya ialah dengan membaca kisah-kisah sejarah tentang perjuangan dan akhlak nabi Baginda s.a.w supaya dengannya kita dapat melahirkan rasa bangga sebagai umatnya dan mengagumi akan keperibadiannya.

Dengan mengetahui kisah perjuangan dan kehidupan Rasulullah s.a.w, kita juga dapat meningkatkan rasa keimanan yang tinggi kepada Allah.

Bukti kekuasaan-Nya, Dia mengutus seorang manusia yang penuh dengan kebaikan, untuk mengubah masyarakat jahiliah menjadi masyarakat yang beriman kepada Allah dan juga menyebarkan agama Allah itu ke seluruh dunia hingga sampai kepada kita pada hari ini.



Justeru, atas dasar tanggungjawab, pelbagai pihak dan individu tampil menyumbang idea dalam bentuk penulisan bagi memudahkan masyarakat memahami sirah nabi s.a.w dan juga para sahabat. Tidak lupa juga ramai yang menovelkan kisah sejarah ini sehingga menjadi novel sejarah islamik dan usaha tersebut diterima oleh masyarakat.

Namun, bagi pihak yang mempunyai ilmu dalam bidang sejarah dan ketamadunan Islam, mereka sangat teliti dalam penyaluran maklumat berkaitan sejarah terdahulu, terutama jika ia berkaitan dengan sirah Nabi s.a.w dan juga khulafa’ ar-Rasyidin.

Oleh hal demikian, pelbagai isu mula timbul akibat daripada fakta sejarah yang dinovelkan oleh penulis tidak menepati kriteria yang sebenar dalam menulis tentang sejarah Islam. Lebih parah lagi, apabila seseorang penulis novel sejarah ini hanya mencedok fakta daripada sumber yang tidak sahih, sehingga ada fakta yang diceritakan itu salah daripada gambaran kejadian sebenar.

Dalam hal ini menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Azmul Fahimi Kamaruzaman yang bergiat aktif dalam meneliti fakta novel Islam dari syarikat penerbitan buku yang ada di pasaran mengakui, terdapat novel Islam di pasaran sebenarnya jelas salah fakta dan tidak terkecuali mereka yakni penulis menambah fakta tersebut untuk menyedapkan cerita.



Pihaknya yang mempunyai panel yang terdiri daripada beberapa pensyarah dan individu yang pakar dalam bidang sejarah dan tamadun Islam turut membuat aduan terhadap beberapa novel sejarah Islam yang jelas faktanya tidak benar.

Ujarnya lagi, hukum menovelkan kisah Rasulullah s.a.w dan para sahabat diharuskan selagi mana tidak melibatkan penyelewengan fakta. Begitu juga tidak sampai membuat penyelewengan tafsiran, hadis ataupun peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah Islam.

Misalnya peristiwa Perang Badar yang terikat dengan fakta-fakta sejarah yang tidak boleh dikesampingkan atau ditokok tambah sehingga mengakibatkan fakta sebenar ‘tertutup’ dek kerana untuk menyedapkan jalan cerita.

Soalnya, kenapa ramai yang memilih untuk menulis novel sehingga kisah sirah yang sinonim dengan fakta pun dijadikan novel?



Hakikatnya, penulis harus tahu membezakan antara penulisan ilmiah dan novel. Novel sifatnya adalah fiksyen iaitu karya sastera yang dicipta daripada imaginasi seorang penulis. Malah melalui novel juga, penulis dapat mencairkan fakta agar bahan bacaan yang disediakan itu lebih ringan berbanding buku ilmiah dan akademik.

Dua perkara yang sering dijadikan bahan untuk membuat novel ialah berkaitan tokoh dan juga peristiwa. Sebagai contoh, tokoh ialah melibatkan peribadi seseorang, termasuk Rasulullah s.a.w atau para sahabat seperti Umar al-Khattab, ataupun peristiwa iaitu novel Perang Uhud, Perjanjian Hudaibiyah dan sebagainya.

Bahkan, bukan di negara kita sahaja, sejarah di Mesir juga telah membuktikan bahawa novel sejarah Islam diterima oleh masyarakat. Seorang penulis, Najeb Kaelany mempunyai ilmu yang tinggi tentang sirah nabawiyah dan cerita para sahabat. Dia telah membuktikan bahawa tidak salah jika menovelkan kisah Rasulullah dan para sahabat.

Antara novel beliau yang ‘bestseller’ ialah ‘Umar Yadhar fi al-Quds’ (Umar Muncul di Yerussalem) dan novel “Qatilu Hamzah” (Pembunuh Hamzah).



Dr. Azmul Fahimi menjelaskan, setelah diteliti novel tersebut, terdapat beberapa fakta yang berat dicairkan dengan bentuk yang lebih santai.

Bahkan terkandung juga fakta yang diperoleh diterjemahkan dalam bentuk dialog, agar pembaca tidak merasa terbeban dengan kandungan ilmiah. Itu antara novel Islam yang boleh dijadikan rujukan, malah ulama dari Timur Tengah juga tidak mengkritik karya tersebut.

Jangan memandai-mandai

Namun begitu, apa yang berlaku di negara ini adalah sebaliknya. Usaha itu dipuji, namun tidak cukup dengan hanya bersandarkan bakat penulisan. Sebaliknya dua aspek penting dalam usaha menterjemahkan fakta ke dalam bentuk novel ialah penguasaan ilmu tentang sesuatu perkara yang hendak ditulis dan juga bakat penulisan.



Memang sukar untuk menemui seseorang yang mempunyai dua aspek ini berjalan seiring. Apa yang terjadi hari ini ialah, ada orang yang mempunyai ilmu tetapi tidak mampu menulis novel. Sebaliknya ada orang yang mempunyai bakat dalam bidang penulisan ringan seperti novel, tetapi tidak ada ilmu mengenainya sehingga mengakibatkan berlakunya keadaan memandai-mandai dalam menulis sesuatu fakta sekali gus mewujudkan penyelewengan maklumat.

Larangan penyelewengan fakta tentang kisah Rasulullah s.a.w dan Khulafa’ ar-Rasyidin ialah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmidzi,

“Hendaklah berpegang pada sunnahku dan sunnah para Khulafa’ ar-Rasyidin yang dipandu. Dan hendaklah kamu genggam sunnah itu seperti mana kamu menggenggam sesuatu dengan gigi geraham kamu”.

Amaran Nabi s.a.w melalui hadis itu jelas bahawa setiap dari sunnahnya adalah penting dan perlu benar. Begitu juga tentang sirah Khulafa’ ar-Rasyidin, penulisan cerita mengenainya perlulah kepada sumber yang tepat untuk dirujuk, bukan hanya mencedok dari internet dan mana-mana buku yang telah diterjemahkan dan tiada rujukan setepatnya kerana hari ini, terlalu banyak wujud kisah popular yang jelas tiada nas tepat untuk menyokongnya.

Malah, Dr. Azmul Fahimi turut mengingatkan amaran Nabi s.a.w yang jelas bersabda

“Jangan kamu berdusta ke atasku. Barangsiapa yang berdusta ke atasku maka dia masuk neraka”. (HR al-Bukhari).

Setiap bait kata yang ditulis dan disandarkan pada Nabi s.a.w perlu jelas akan sumbernya dan sahih faktanya, supaya tidak terdedah kepada azab neraka.

Justeru tegas Dr. Azmul Fahimi, jika perkara seperti ini berleluasa di negara kita, ia bakal melahirkan generasi yang tertipu oleh sejarah. Maka, sudah tiba masanya golongan profesional yang mempunyai ilmu dalam bidang sejarah berbincang dan bekerjasama dengan penulis berbakat dalam melahirkan karya yang bermutu.

Selain itu, sebagai cadangan, pihak berwajib perlu mensyaratkan kepada setiap industri percetakan agar mempunyai panel dalam bidang agama seperti fiqh, akidah, sirah nabawiyah dan sebagainya. Ianya bertujuan untuk memelihara fakta dan memantau setiap manuskrip yang dihasilkan sebelum dicetak dan diedar kepada masyarakat. Wallahu a’lam Utv

Bolehkah fenomena sirah Nabi dan Sahabat yang dinovelkan?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Baju Jasmine Suraya bikin kecoh di kalangan netizen (Video)

Ira Kazar Mengamuk, Selar Individu Batak ‘Likes’ Dan ‘Views’

Jakun dapat basikal – TMJ (Video)

Fathia Latiff cukuplah ‘cucuk’ muka

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker