Kakitangan, pesakit di hospital Klang dijangkiti Covid-19

Sejak dua minggu lalu, beberapa kakitangan hospital dan pesakit dari Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (Htar) di Klang Selangor, telah disahkan positif Covid-19.

Perkara itu menimbulkan kebimbangan penularan wabak Covid-19 di hospital terbabit.

Malaysiakini difahamkan pesakit yang ditahan kerana masalah kesihatan tidak berkaitan dengan Covid-19 diuji negatif.

Namun gejala Covid-19 muncul selepas itu dan mereka kemudian menjadi positif.



Menurut beberapa sumber, pesakit dan kakitangan hospital yang disahkan positif telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh bagi rawatan lanjut.

Malaysiakini juga difahamkan terdapat wakil kementerian kesihatan Malaysia (KKM) menghadiri taklimat berhubung kemungkinan berlaku penularan di hospital itu hari ini.

Ketika dihubungi, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr Sha’ari Ngadiman mengesahkan program taklimat tersebut.

“Saya ambil maklum ada kes (melibatkan jururawat dan pesakit terkena Covid-19) di sana.



“Sebab itu, orang kementerian tengah ke sana dan dapatkan penjelasan lanjut dengan pihak hospital Htar. Jadi saya tak boleh nak beri komen lanjut,” katanya.

Sebelum ini, sumber hospital mendedahkan kepada Malaysiakini, terdapat lebih 40 kakitangan Htar -termasuk doktor, jururawat dan pembantu perubatan- serta 50 pesakit positif Covid-19 sejak tiga minggu lalu.

Jelas sumber, perkara itu turut berlaku di beberapa hospital awam di Selangor.

Bagaimanapun, masih tidak jelas adakah jangkitan itu berlaku di hospital atau pesakit sudah terkesan dengan wabak tersebut sebelum ke hospital terbabit.



Hospital berdekatan Htar seperti Hospital Shah Alam, Hospital Tanjung Karang dan Hospital Banting belum lagi mengalami penularan sama seperti di Htar, jelas sumber.

Sumber turut mendakwa, penularan dalam Htar berlaku disebabkan oleh keadaan wad yang sesak.

Htar mempunyai 1,094 katil dan menerima pesakit paling ramai antara semua hospital awam di Selangor, tidak termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan dana bagi menaik taraf wad dan fasiliti perubatan di Htar.



Ini bukan kali pertama Htar mengalami penularan Covid-19.

Pada Mac lalu, dilaporkan terdapat beberapa jangkitan di Htar sehingga menyebabkan hospital terbabit mengehadkan waktu lawatan dan tidak membenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun kecuali pesakit masuk.

Langkah pencegahan itu juga dilaksanakan oleh semua hospital awam bagi membendung penularan Covid-19.

Klang kini merupakan daerah paling banyak kes Covid-19 susulan kebanyakan kluster dalam kilang di kawasan perindustrian.



Malah, kes tersebut bukan hanya membabitkan pekerja kilang namun kini merebak ke penduduk setempat di kawasan berdekatan.

Kerajaan Selangor melakukan ujian saringan Covid-19 secara percuma buat penduduk berdekatan kawasan kilang di Jalan Teratai, Meru.

Kluster Teratai, yang kebanyakan terdiri dari pekerja kilang syarikat pembuatan sarung tangan Top Glove merekodkan sebanyak 5,000 kes.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan jangkitan di kalangan kakitangan Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu Sabah, Hospital Sentosa di Kuching Sarawak dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian Kelantan.



Kelmarin, terdapat seorang jururawat di HUSM meninggal dunia selepas dijangkiti wabak Covid-19. Mk

Covid-19: Jururawat HUSM meninggal dunia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker