Isu Azam Baki jejas imej SPRM

ISU dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang memiliki jumlah saham melampau terus hangat diperkatakan.

Sehingga hari ini, walaupun pelbagai pihak telah membuat desakan agar Azammelepaskan jawatan atau direhatkan sementaramenunggu hasil siasatan, namun beliau tetap tidak berganjak, sebaliknya mendakwa ada pihak tertentu mempunyai agenda tersendiri.

Dalam isu itu, Lidah Pengarang Sin Chew Daily berpendapat, pihak kerajaan harus menyelesaikannya dengan cepat agar rakyat diberikan jawapan jelas kerana Azam bukanlah pegawai biasa, sebaliknya ketua dalam badan pencegahan rasuah di Malaysia.



“Walaupun Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang memberitahu pihak LPPR berpuas hati penjelasan Azam yang dibuat pada 5 Januari lalu, tetapi ia tetap gagal meredakan keadaan.

“Ia timbul kerana kesemua enam ahli panel dalam LPPR menegaskan kenyataan Abu Zahar itu adalah pendapat peribadi beliau.

“Inilah persoalan demi persoalan yang masyarakat hendak tahu. Apakah telah berlaku sebenarnya?” tulis akhbar itu.

Persoalan tersebut mungkin hanya boleh dijawab Azam sendiri. Seperti yang dikatakan beliau, sampai masa dan ketikanya, masyarakat akan mengetahui kebenaran daripada apa yang berlaku ketika ini.



Menurut Sin Chew Daily, selain Abu Zahar, terdapat sebilangan kecil ahli politik turut menyambut baik pendirian Azam.

“Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu kenyataan terbuka berupa penafian oleh Azamterhadap tuduhan pemilikan saham itu diharap dapat menghentikan tindakan beberapa pihak tertentu, bertujuan menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat, sekali gus untuk menggugat kestabilan negara di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Begitu juga tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM menyatakan pendirian menyokong Azam. Mereka ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali (Pencegahan) dan Datuk Junipah Wandi (Pengurusan dan Profesionalisme).

“Mereka berpendirian bahawa tohmahan dan serangan yang dibuat pihak-pihak tertentu adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM. Mereka turut menggesa semua pihak menghentikan kemelut itu dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus serta saksama.



“Bagaimanapun, kenyataan dibuat tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu tidak mampu menyelesaikan masalah. Rakyat ingin melihat apakah langkah perlu diambil kerajaan untuk menyiasat dan menyelesaikan masalah ini mengikut undang-undang,” tulis akhbar tersebut.

Jelas akhbar itu lagi, isu berkenaan telah membabitkan imej dan integriti SPRM sendiri. Selain itu, ia turut memberi cabaran kepada kerajaan – apakah ada usaha dan hasrat secara bersungguh-sungguh melakukan reformasi ke atas agensi pencegahan rasuah itu.

“Tidak dinafikan, sejak sekian lama, imej SPRM pada pandangan masyarakat umum bukanlah berada di tahap memuaskan. Isu pegawai SPRM yang dituduh di mahkamah kerana menyeleweng wang berjumlah USD6.94 juta (RM29 juta) yang dirampas agensi berkenaan dan terkini isu pemilikan saham Azam tentunya akan terus menghakis keyakinan rakyat terhadap kewibawaan SPRM.

“Justeru, seperti dikatakan Azam bahawa beliau sendiri akan menunjukkan kebenarannya suatu hari nanti pada masa dan ketika yang sesuai, siasatan lanjut seharusnya dilakukan segera demi membersihkan nama beliau dan SPRM.



“Sekiranya isu ini dapat diselesaikan, rakyat tentu akan menghargai kecekapan kerajaan kerana tidak membiarkan SPRM terpalit dengan sebarang isu penyelewengan,” ulas akhbar itu lagi.

Isu Azam Baki jejas imej SPRM


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




Rupa-rupanya Kamal Adli

Resepi Crab Rangoon Viral Gila



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker