Wanita didakwa kunjungi kafe di Shah Alam bukan Zalina Azman

Wanita didakwa kunjungi kafe di Shah Alam bukan Zalina Azman

Polis mengesahkan wanita yang didakwa seperti bekas personaliti TV3, Zalina Shaharah Azman, 58, yang dikatakan mengunjungi sebuah kafe di Shah Alam ternyata bukan individu sama.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan itu dibuat susulan laporan yang dibuat oleh seorang pengguna Twitter yang mendakwa berjumpa wanita menyerupai Zalina dalam keadaan sugul dan ketakutkan.

Beliau berkata, sejak hebahan kehilangan Zalina dibuat, pihaknya menerima beberapa laporan daripada orang awam yang juga mendakwa ternampak wanita mirip bekas personaliti televisyen itu.

“Kami dah pergi tengok tetapi bukan dia (Zalina), kami ada terima maklumat memang banyak…dua ke tiga maklumat diterima.

“Sebahagian ada yang mendakwa jumpa di hotel, lokasi sekitar Shah Alam seperti Seksyen 3, Seksyen 9 dan Seksyen 24 tetapi bila kita kenal pasti dia hanya gelandangan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Terdahulu, media melaporkan bekas pengacara program Money Matters atau lebih dikenali Zalina Azman dilaporkan hilang sejak November lalu.

Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Daerah Shah Alam sebelum ini, pihaknya menerima laporan daripada keluarga Zalina berhubung kehilangannya pada 29 Nov tahun lalu.

Dalam laporan itu, pengadu (anak Zalina) cuba mencari dan menghubungi ibunya sejak 24 Nov bagi memaklumkan datuk (bapa Zalina) dimasukkan ke hospital namun gagal.

Pada 29 Nov, anaknya pergi ke rumah Zalina di Seksyen 3 dan mendapati, kereta ibunya berada di tepi rumah dan melihat keadaan rumah tidak tersusun dengan kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, kunci kereta serta wang tunai RM600.

Sehubungan itu, selepas pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan Zalina menemui jalan buntu, polis membuat hebahan berkaitan kehilangan mangsa kepada umum bagi membantu siasatan kes terbabit.

Gambar Zalina dan maklumat berkaitan iaitu berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan kurus dengan ketinggian 158 sentimeter dimaklumkan menerusi hebahan itu.

Menerusi hebahan itu juga, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh memaklumkan kepada Pegawai Penyiasat Sabturia Lorong atau Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam di talian 03-5519 4622. FMT

Wanita didakwa kunjungi kafe di Shah Alam bukan Zalina Azman


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tukang Rumah Solat Tengah Panas, Pasangan Bukan Islam Terus Belikan Kanopi

Resepi Durian Yang Wajib Cuba

Parcel Apa Yang Bergetar Tu? (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker