Bot karam: Lima lagi mayat ditemukan
Bot karam: Lima lagi mayat ditemukan

LANGKAWI: Jumlah korban tragedi bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang karam berhampiran sempadan maritim Malaysia–Thailand meningkat kepada 12 orang selepas lima lagi mayat ditemukan, hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, berkata semua mayat ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (CARILAMAT) pada waktu berasingan antara jam 12.47 tengah hari hingga 3.31 petang.
“Mayat pertama seorang kanak-kanak lelaki ditemukan kira-kira dua batu nautika barat daya Tanjung Belua pada jam 12.47 tengah hari.
“Beberapa minit kemudian, aset milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bot FCB 1331 menemukan pula mayat seorang lelaki dewasa terapung di laut, diikuti mayat ketiga seorang wanita dewasa ditemui di barat laut Pulau Rebak Besar,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Romli berkata, pada 3.31 petang, aset KD LEDANG milik TLDM menemukan satu lagi mayat wanita, manakala Bot PSC 20 Pasukan Polis Marin (PPM) menjumpai mayat lelaki terapung sebelum dibawa ke jeti Harbour Park untuk tindakan lanjut.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- PAS Lupa Diri Atau PPBM Tak Sedar Diri
- Sekali Lagi Ahmad Terrirudin Terlepas
- Jangan Sampai Keadilan Untuk Zara Qairina Menjadi Pencetus Kemarahan Rakyat Seperti Di Indonesia
“Dengan penemuan itu menjadikan keseluruhan lima mayat ditemukan sepanjang operasi hari ini. Kesemua yang ditemui terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
“Penemuan itu hasil peluasan sektor pencarian kepada 255.66 batu nautika persegi membabitkan pelbagai aset laut dan udara,” katanya.
Beliau berkata, selain Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), operasi turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).
“Agensi lain, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Operasi SAR hari ini ditangguhkan pada jam 7.30 malam disebabkan cuaca gelap dan laut bergelora, dan akan disambung semula awal pagi esok,” jelasnya.
Media pagi tadi melaporkan pihak berkuasa Thailand turut melaporkan penemuan enam mayat di kawasan perairan mereka, menjadikan jumlah keseluruhan korban tragedi itu kini mencecah 18 orang.
Bot karam: Lima lagi mayat ditemukan
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Kembalikan Sepenuhnya Kuasa Mendidik Kepada Cikgu Sekolah
- Misi Global Sumud Flotilla Gagal?
- Mampukah Anwar Membawa Malaysia Keluar Dari Masalah Kemelut Fiskal
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.