Polis tumpas sindiket curi kenderaan selepas tembak mati tiga penjenayah

Polis tumpas sindiket curi kenderaan selepas tembak mati tiga penjenayah

Polis tumpas sindiket curi kenderaan selepas tembak mati tiga penjenayah
Mohd Shuhaily memeriksa senjata yang digunakan suspek pada sidang media kes berbalas tembakan dan tangkapan sindiket curi kenderaan pikap di IPK Kedah. – Foto NSTP/ WAN NABIL NASIR.

ALOR SETAR: Tiga penjenayah yang disyaki terbabit kegiatan curi kenderaan di empat negeri, akhirnya tumpas apabila ditembak mati polis dalam kejadian di sebuah inap desa dekat Taman Sejahtera, Sik, pada 1 Mei lalu.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, ketiga-tiga lelaki tempatan berusia 35, 36 dan 37 tahun itu berbalas tembak dengan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan dibantu JSJ Kontinjen Kedah dan Melaka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata serbuan dilakukan hasil daripada risikan pasukan khas Bahagian D4 JSJ Bukit Aman dan JSJ Melaka berhubung sindiket curi kenderaan pacuan empat roda yang aktif melakukan jenayah curi di Melaka, Selangor, Pahang dan Perak.

“Ketika serbuan, berlaku berbalas tembakan menyebabkan tiga lelaki terbabit meninggal dunia yang mana dua daripadanya didapati berada dalam bilik tidur utama yang bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke atas pasukan polis.

“Berikutan itu, pasukan polis yang mempertahankan diri dan ancaman nyawa bertindak membalas tembakan ke arah suspek menyebabkan dua suspek mengalami kecederaan parah.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Apakah Akan Ada Pertandingan Jawatan Timbalan Presiden PKR?


“Pada masa sama juga, seorang lagi suspek bertindak keluar dari bilik di bahagian belakang rumah sambil menyerang anggota polis menggunakan parang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, serangan itu menyebabkan seorang anggota polis cedera terkena libasan parang di bahagian jaket keselamatan membuatkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek menyebabkan dia cedera parah.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati suspek pertama berusia 36 tahun mempunyai 54 rekod jenayah dan dadah, manakala suspek kedua berusia 37 tahun mempunyai 51 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala suspek ketiga berusia 35 tahun mempunyai dua kes jenayah lampau serta lima kes dadah.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan digunakan mereka yang ditemui di inap desa itu mendapati jenis Honda CRV kelabu itu dilaporkan hilang di Petaling Jaya, Selangor pada 26 April lalu.

“Pemeriksaan dalam but belakang kereta itu terdapat 26 pasang nombor pendaftaran kenderaan palsu, tujuh kad touch and go, dua alat pembuka tayar serta pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk curi kenderaan,” katanya.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Tragedi Letupan Putra Heights: KUSEL Dan MBSJ Di Serbu Audit


Mohd Shuhaily berkata, semakan polis mendapati, sindiket ini melakukan sebanyak 73 kes kecurian kenderaan pacuan empat roda sejak 2023 yang mana sebanyak 18 kes direkodkan di Melaka bagi tahun ini, iaitu Januari hingga April.

Katanya, susulan kejadian itu, polis siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu cubaan membunuh serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) kerana melepaskan tembakan senjata api.

“Polis juga berjaya mendapatkan semula dua pikap Toyota Hilux yang dicuri dan diseludup ke sempadan melalui laluan tikus oleh sindiket ini.

“Hasil kerjasama dengan Unit Risikan Sempadan (URS) JSJ PDRM, Malaysian Polis Liasion Office (MPLO) dan Royal Thai Police (RTP) mendapati, kedua-dua kenderaan ini ditemui di daerah Sabayoo, Wilayah Songkla di Thailand, jam 3 petang pada 1 Mei,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, berikutan itu empat warga Thailand berusia 34 hingga 58 tahun yang berperanan sebagai penghantar kenderaan ke utara Thailand ditahan di negara jiran untuk membantu siasatan.

Polis tumpas sindiket curi kenderaan selepas tembak mati tiga penjenayah


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ayuh Malaysia, Kita Merajuk

 

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker