2 anggota PBS cedera, patah kaki dalam operasi padam kebakaran 3 premis
2 anggota PBS cedera, patah kaki dalam operasi padam kebakaran 3 premis

GEORGETOWN: Dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) cedera, termasuk seorang patah kaki, ketika melakukan operasi memadam kebakaran tiga premis di Jalan Patani, di sini, semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Endi Sherimi Mohd Azmi, berkata dua anggota PBS terbabit adalah daripada pasukan Sungai Puyu dan Kampung Pisang.
Katanya, kedua-dua anggota berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan berhubung insiden kebakaran itu pada jam 3.07 petang.
Susulan itu, katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak serta beberapa PBS membabitkan sejumlah 25 anggota bergegas ke lokasi.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
Beliau berkata, insiden itu membabitkan dua kilang cecair pelarut serta logam dan sebuah premis pengelola perkahwinan.
“Pada awalnya, pasukan berdepan kesukaran kerana beberapa pili bomba berhampiran mengalami tekanan air rendah.
“Namun, ia dapat diatasi dengan menggunakan jentera lori tangki berkapasiti 10,000 liter dari BBP Jalan Perak.
“Selain itu, pasukan juga mendapat sokongan beberapa jentera tangki air PBS dan tangki air bangunan berhampiran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Endi Sherimi berkata, pasukan mengambil masa sekitar 65 minit untuk mengawal api daripada terus merebak.
“Kebakaran itu mengakibatkan 80 peratus kemusnahan, namun tiada membabitkan mangsa,” katanya.
2 anggota PBS cedera, patah kaki dalam operasi padam kebakaran 3 premis
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET