Bicara warga Israel miliki peluru, dagang senjata diteruskan dalam bahasa Inggeris
Bicara warga Israel miliki peluru, dagang senjata diteruskan dalam bahasa Inggeris
![Bicara warga Israel miliki peluru, dagang senjata diteruskan dalam bahasa Inggeris](https://mykmu.net/wp-content/uploads/2025/02/HQ2409308835_2_1739511227.jpg)
KAJANG: Lelaki warga Israel, Avitan Shalom, yang didakwa atas dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api, akan dibicara di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang di sini dan perbicaraan diteruskan dalam bahasa Inggeris.
Ia selepas peguamnya, Jeffrey Ooi, memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Zaki Mohd Salleh, pihaknya mendapat arahan daripada tertuduh untuk perbicaraan diteruskan.
Ia susulan wujud pertikaian daripada pihak pembelaan berhubung jurubahasa Ibrani sebelum ini.
“Kami sudah berbincang dengan tertuduh, dia memaklumkan sekiranya tiada jurubahasa bertauliah dan boleh berkomunikasi dengannya, dia bersedia untuk perbicaraan dijalankan dalam bahasa Inggeris.
“Peguam tertuduh sebelum ini iaitu Datuk Naran Singh menarik diri daripada mewakilinya dan sekarang ini mengenai permohonan (permintaan untuk jurubahasa Ibrani) tetapi kami tidak dapat arahan terkini (daripada Naran),” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Zaki menetapkan semula tarikh perbicaraan 14 hari bermula Mac ini bagi mendengar kes itu di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang.
“Bicara di sini, semua di sini (Mahkamah Kompleks Penjara Kajang),” katanya.
Tarikh itu ditetapkan bermula 19 hingga 21 Mac, 13 hingga 16 Mei, 3 hingga 5 Jun dan 23 hingga 26 Jun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, mempersoalkan tindakan pembelaan yang beberapa kali memohon penangguhan kerana ketiadaan jurubahasa Ibrani namun pada hari ini bersedia dibicara dalam bahasa Inggeris.
“Naran sebelum ini memohon untuk kes ditangguhkan bagi menyelesaikan isu jurubahasa dan pendengaran bagi penangguhan ditetapkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Februari ini.
“Pihak pendakwaan ingin tahu sekiranya permohonan ini masih ingin diteruskan pembelaan,” katanya.
Mohd Zaki berkata, pihak-pihak perlu memaklumkan sebarang keputusan Mahkamah Tinggi kepada mahkamah yang mendengar perbicaraan.
“Isu mengenai jurubahasa sudah diangkat ke Mahkamah Tinggi, tunggu sehingga 28 Februari ini dan sebarang arahan akan diputuskan kemudian.
“Di Mahkamah Tinggi nanti pun kita tak tahu peguam mana yang akan muncul, sama ada Ooi (Jeffrey Ooi) atau peguam lain,” kata hakim itu.
Pada 13 Januari lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Norina Zainol Abidin yang sebelum ini mendengar kes itu, membenarkan perbicaraan kes ditangguhkan dan melapangkan tarikh perbicaraan ditetapkan berikutan pertikaian pembelaan mengenai jurubahasa Ibrani.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan, 39, didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lalu.
Bicara warga Israel miliki peluru, dagang senjata diteruskan dalam bahasa Inggeris
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Mungkinkah Najib Akan Menjadi Perdana Menteri Kali Kedua?
- Wajarkah UMNO Terus Membisu Dalam Isu Yang Berkaitan Rakyat?
- Bolehkah Gag Order Bisukan Ahli Parlimen?
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Ahmad Terrirudin Manjadi Mantan Peguam Negara Pertama Yang Bakal Di Heret Ke Mahkamah
You must be logged in to post a comment.