Bank Bakat Wanita Perlu Jadi Platform Lahir Calon Berpotensi
Bank Bakat Wanita Perlu Jadi Platform Lahir Calon Berpotensi

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Siti Aminah Aching berpandangan cadangan mewujudkan Bank Bakat Wanita UMNO Malaysia perlu direalisasikan sebagai pangkalan data kepimpinan wanita yang tersusun.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata langkah berkenaan penting bagi mengenal pasti bakat serta potensi kepimpinan wanita UMNO berdasarkan pengalaman dan kepakaran.
“Sebab itu cadangan mewujudkan Bank Bakat Wanita UMNO Malaysia sangat penting. Bank Bakat ini jangan sekadar menjadi senarai nama. Ia mesti menjadi pangkalan data kepimpinan wanita UMNO yang mengenal pasti pengalaman, kepakaran, rekod perkhidmatan, kepimpinan akar umbi, profesionalisme, integriti dan penerimaan masyarakat.
“Kita kenal pasti siapa yang mempunyai kepakaran ekonomi, pendidikan, undang-undang, korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), teknologi, masyarakat dan pengurusan,” katanya.
Siti Aminah berkata demikian ketika berucap mewakili Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Dewan Merdeka, di sini, hari ini.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Muhasabah, Lupakan Kekurangan Dan Kembali Bersatu – Ahmad Zahid
- UMNO Mesti Berdikari, Bangunkan Kekuatan Dengan Strategi Sendiri
- UMNO Terbuka Bekerjasama Demi Perjuangan Bangsa Dan Agama
Katanya lagi, bakat yang dikenal pasti itu seterusnya perlu dibangunkan melalui latihan dan pendedahan secara berterusan bagi mempersiapkan mereka untuk memikul tanggungjawab lebih besar dalam parti dan negara.

Menurut beliau melalui Bank Bakat Wanita, UMNO perlu mengenal pasti dan membangunkan calon wanita berpotensi lebih awal, tanpa menunggu sehingga pilihan raya semakin hampir sebelum menentukan calon yang sesuai.
“Bakat ini kita bina berikan latihan, pendedahan. Latih mereka dalam pengucapan awam, komunikasi politik, media, dasar awam, organisasi dan pengurusan krisis. Jangan kita mencari calon apabila pilihan raya sudah dekat.
“Kita mesti membina calon sebelum pilihan raya. Daripada hanya mempunyai jentera wanita yang kuat, kita mesti mempunyai barisan pemimpin wanita yang kuat.
“Daripada hanya menjadi penggerak kempen, wanita mesti berada di meja membuat keputusan. Dan daripada hanya bercakap tentang masa depan wanita, kita mesti melahirkan wanita yang menentukan masa depan negara,” ujar beliau. – UMNO Online
Bank Bakat Wanita Perlu Jadi Platform Lahir Calon Berpotensi
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Kelab UMNO Luar Negara Bakal Diformalisasikan Di Bawah Perlembagaan UMNO
- Puteri UMNO Terus Perkasakan Jentera, Bimbing Wanita Muda
- Pemuda UMNO Sedia Perkukuh Jentera, Perjuang Kepentingan Rakyat Hadapi PRU-16
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.