Bayi 19 hari maut, kakak koma kereta dipandu ibu terbabas
Oleh – Syeikh Baran
Seorang bayi lelaki berusia 19 hari meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, manakala kakaknya berusia sembilan bulan koma selepas terbabit kemalangan di Kilometer 3.8 Jalan Kampung Batu-Inas, Rembau, dekat sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 7.50 pagi mengakibatkan bayi berkenaan, Muhammad Aryan Qhalish Muhammad Adzril yang juga penumpang hadapan, meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih tujuh jam akibat pendarahan di otak.
“Kakaknya, Putri Eshal, yang berada di tempat duduk belakang, kini masih koma akibat pendarahan otak dan sedang menerima rawatan di hospital sama,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya ketika kejadian, ibu mangsa berusia 39 tahun dalam perjalanan bersama lima anaknya termasuk tiga anak perempuan lain berusia 11 tahun dan pasangan kembar berusia 10 tahun dari arah Jalan Inas menghala Kampung Batu di Rembau.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Alza dipandu wanita itu terbabas ke bahu jalan sebelah kanan. Keadaan jalan di kawasan itu berselekoh dan mempunyai cerun,” katanya dalam kenyataan malam ini.
You must be logged in to post a comment.