Kedai popia basah popular diarah tutup, banyak najis tikus

Oleh – Syeikh Baran

Kedai popia basah popular diarah tutup, banyak najis tikus

Sebuah kedai popia basah popular di negeri ini diarahkan ditutup serta-merta selepas peniaga dikesan meletakkan bahan makanan di sebelah tong sampah dan lantai yang kotor dengan najis tikus.



Arahan penutupan selama 14 hari itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka yang membuat serbuan pemeriksaan, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, hasil pemeriksaan bahan-bahan mentah bagi membuat popia basah itu terdedah dengan pelbagai pencemaran termasuk najis tikus.

“Pasukan penguat kuasa juga mendapati tauhu basah diletakkan di atas lantai dan tempat membungkus popia berselerak dengan bahan yang boleh menyebabkan pencemaran kepada makanan.

“Terdapat juga bahan mentah lain diletakkan disebelah tong sampah dan lantai yang kotor dengan najis tikus,” katanya selepas Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Rokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di Bukit Baru, di sini, malam tadi.

Tambahnya, sebanyak lima notis berjumlah RM1,600 turut dikeluarkan JKN negeri kepada pengusaha berkenaan.



“Premis berkenaan antara 24 kedai menjual makanan di daerah Melaka Tengah yang diperiksa, namun hanya tiga yang diarahkan tutup bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dibuat dalam tempoh diberikan.

“Dua lagi yang diarahkan tutup adalah gerai jualan sarapan pagi. Kesemua tiga-tiga premis ini diarahkan tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 sehingga 21 Oktober,” ujarnya.

Terdahulu, pada operasi malam tadi sebanyak 56 notis dibawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dikeluarkan dengan nilai tawaran kompaun RM16,200.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker