Hamidin, langkah-langkah yang janggal

Hamidin, langkah-langkah yang janggal

Oleh Nur Hadi Mohamad

Alkisah maka tersebutlah di sebuah negara ada seorang presiden persatuan bola sepak yang nasibnya tidak ubah seperti hikayat cerita rakyat iaitu Lebai Malang.

Pak Lebai orang yang baik, berbudi pekerti mulia, kuat ibadahnya dan tulus ikhlas hatinya. Akan tetapi pada suatu hari imannya diuji sikap tamak haloba yang memakan diri.

Setelah menerima tiga jemputan berbeza – menziarahi orang mati, kenduri berkhatan dan kenduri maulid – pada hari yang sama, Pak Lebai memutuskan untuk hadir semua majlis itu kerana memikirkan habuan yang bakal diterima.

Namun akhirnya Pak Lebai lewat hadir di semua upacara. Dalam perjalanan pulang, satu demi satu kejadian malang menimpa dan akhirnya Pak Lebai sampai ke rumah dengan bertelanjang bulat.

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Di negara ini, Hamidin Mohd Amin bukanlah calang-calang nama. Dia telah mencipta sejarah dengan muncul sebagai ‘orang bukan kenamaan’ pertama yang berjaya menduduki kerusi presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Taraf membumi Hamidin ini pernah disingkap oleh tokoh penyair tanah air, Allahyarham Pyanhabib, yang mengimbau kenangannya menyaksikan gelagat ‘budak Gombak’ itu melalak, menyorak dan memekik ketika menonton perlawanan bola sepak di Stadium Merdeka puluhan tahun lalu.

Malu di seberang tambak

“Daripada seorang geng memekik, mengebu di ‘tangga kambing’ Stadium Merdeka pada zaman Pestabola Merdeka dan Piala Malaysia, antara orang kuat kelab penyokong bola sepak Selangor, sama-sama kutuk FAM, namun akhirnya dia menjadi tonggak utama FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) dan FAM hingga melangkau ke Fifa (Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa),” coret Pyanhabib dalam satu hantaran Facebook tidak lama dulu.

Pyanhabib menzahirkan ucapan tahniahnya setelah Hamidin dipilih sebagai Ahli Majlis Fifa pada tahun lalu. Ia adalah satu mesej tulus ikhlas daripada seorang insan yang sentiasa membumi di sepanjang hayatnya.

Hamidin sebenarnya orang yang bagus dan berkaliber. Cuma barangkali beliau tersalah langkah dan akhirnya ‘hanyut’ dek kesilapan percaturan.

Sedikit sebanyak seperti ada unsur kisah Pak Lebai tadi.

Dia pernah berada pada titik paling rendah selaku orang nombor satu FAM pada penghujung 2021.

Ketika itu skuad Harimau Malaya diaibkan di seberang tambak apabila sekadar memberi saingan dalam peringkat kumpulan saja di pentas Piala AFF.

Setelah teruk dikecam, Hamidin bangkit daripada kegagalan. Keputusan membawa masuk jurulatih kelahiran Korea Selatan, Kim Pan-gon bersama barisan kejurulatihan baru mengubah segalanya.

Proses reinkarnasi (kelahiran semula) dalam bola sepak Malaysia berjalan lancar. Rakyat Malaysia dibuai dengan kejayaan skuad Harimau Malaya layak secara merit ke kejohanan Piala Asia.

Pada Mac 2023, Hamidin secara rasmi dilantik pula sebagai chef de mission kontinjen negara ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengumuman itu tentulah janggal bagi sebahagian orang. Mengapa presiden persatuan sukan kita yang tidak layak ke temasya di Paris itu yang dipilih menjadi ketua kontinjen?

Mungkin Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, terpesona dengan kredibiliti Hamidin selepas beberapa kali berlaku pertemuan dan perbincangan di antara mereka.

Namun demikian, alasan paling kukuh tentu disebabkan kedudukannya selaku Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Jadi Hamidin yakin dia mampu memikul tanggungjawab itu.

Nampaknya Hamidin tidak menjadikan kisah Lebai Malang sebagai pengajaran. Ataupun mungkin dia terlupa pada cerita rakyat yang popular itu.

Kisah Lebai Malang mengajar kita bahawa bukan semua tawaran yang mesti kita terima.

Jualan tiket kekal sendu

Bagaimana pula dengan pelantikan Ketua Pengarah Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, sebagai penyelaras projek Road to Gold?

Tentunya itu menjadi langkah paling sumbang buat Hamidin.

Hamidin dan Stuart sejak awal sewajarnya tahu keutamaan mereka ialah kelangsungan skuad negara dan liga bola sepak Malaysia yang memerlukan tumpuan yang amat tinggi.

Akibatnya skuad bola sepak negara gagal lolos ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Berdasarkan ‘analisis’ beberapa pihak, penjadualan Liga Malaysia (Liga-M) yang carcamarba menjadi salah satu punca.

Ia disusuli pula dengan masalah gaji tertunggak oleh kelab-kelab yang bertanding dalam saingan Liga Super Malaysia sehingga mendapat perhatian Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Kemudian, arena bola sepak tanah air dikejutkan pula dengan berita perletakan jawatan Pan-gon yang – tidak lama selepas itu – diumumkan sebagai pengendali baru kelab terkemuka Korea Selatan, Ulsan Hyundai.

Ekoran daripada itu, kumpulan penyokong tegar Ultras Malaya mengumumkan tindakan mereka memboikot saingan Pestabola Merdeka yang dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 8 Sept ini.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, pada mulanya percaya tindakan tersebut tidak akan memberi kesan besar. Dia dengan yakin menjangkakan sambutan peminat akan terus meriah.

Namun beberapa hari sebelum saingan bermula, jualan tiket Pestabola Merdeka ternyata sendu. Itu adalah mesej yang jelas daripada para peminat bahawa bola sepak Malaysia harus kembali ke landasan yang betul.

Tamat temasya Olimpik di Paris, sasaran untuk membawa pulang pingat emas pertama negara juga lebur meskipun jutaan ringgit telah dilabur.

Jika Hamidin berdiri di hadapan cermin, selaku ketua misi dia sepatutnya nampak dirinya telah gagal.

Pada suatu hari Hamidin secara tiba-tiba curhat di depan media dengan pelbagai rasa tidak puas hati. Dia turut melabel Pan-gon sebagai seperti orang gila talak.

Tetapi pemerhati melihat sebaliknya.

Mengapa orang yang telah ‘diceraikan’ secara baik dengan persetujuan bersama kemudian diburuk-burukkan sebegitu rupa?

Jadi diri yang sebenar

Secara tidak sedar – dan dengan apologi – Hamidin sebenarnya seperti tikus membaiki labu. Dia hanya merosakkan reputasinya lagi dan lagi.

Peminat bola sepak negara amat menghormati Pan-gon yang telah berjasa meletakkan skuad kebangsaan ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Dan dia melakukannya dalam tempoh yang agak singkat.

Apabila Pan-gon memilih untuk mengembangkan karier kejurulatihannya ke tahap yang lebih baik, semua pihak seharusnya berbesar hati dan bergembira.

Hal itu kerana Malaysia telah menjadi batu loncatan untuk Pan-gon terbang lebih tinggi.

Kemarahan peminat bukanlah semata-mata disebabkan peletakan jawatan Pan-gon, tetapi mereka melihat bola sepak Malaysia ini semakin lama semakin hilang hala tuju.

Ia dilihat sudah tergelincir dari landasannya.

Mungkin selepas menerima kecaman dari segenap sudut, Hamidin semakin terdesak dan langkahnya kian janggal. Keadaan itu tentulah tidak diingini oleh sesiapa, khususnya Hamidin.

Sudah tentu dia tidak mahu menjadi Lebai Malang – nasib yang buruk dapat, malu pun dapat.

Hamidin tidak perlu ‘merajuk’ dan melepaskan jawatannya. Dia masih ada masa untuk kembali komited dengan tugasnya sebagai Presiden FAM sepenuh masa.

Belek semula satu demi satu helaian dokumen Peta Hala Tuju F:30 yang dia sendiri lancarkan enam tahun lalu.

Hamidin perlu kembalikan kepercayaan peminat dengan menjadi dirinya yang sebenar. Mk

NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.

Hamidin, langkah-langkah yang janggal

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

‘Tegur dengan baik, mereka ada darah keturunan rasul’

Zarina Anjoulie berani mati betul

Kecil macam siput sedut pun gatal nak jolok

Bayi ditemui peluk jasad ibu selama tiga hari

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker