Olimpik Paris: Lin Dan ‘bisik’ khabar buruk buat Lee Zii Jia
Jika ramalan legenda badminton China, Lin Dan menjadi kenyataan, rakan senegaranya yang juga pemain nombor satu dunia, Shi Yuqi ada kelebihan untuk mengatasi Lee Zii Jia yang menyaksikan kedua-dua pemain dijangka bertemu di separuh akhir Sukan Olimpik Paris.
Juara Olimpik dua kali itu (Beijing 2008 dan London 2012) memasang impian untuk menyaksikan pertembungan final membabitkan Yu Qi dengan bintang Denmark yang juga juara bertahan, Viktor Axelsen
Bagaimanapun, Lin Dan meramalkan Yu Qi yang ketika ini berada pada tahap prestasi terbaiknya akan memenangi pingat emas di Porte de la Chapelle Arena di Paris pada 5 Ogos ini.
Lin Dan, 40, yakin Yu Qi akan memanfaatkan sepenuhnya penampilan keduanya di pentas Olimpik kali ini selepas tersingkir di suku akhir di Tokyo, tiga tahun lalu.
Dengan Yu Qi akan menjangkau usia 32 tahun menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028, ia adalah penting untuk dia melakar kejayaan di Paris.
Yu Qi tampil dengan misi untuk mengembalikan semula dominasi China dalam acara perseorangan lelaki dengan dia berpeluang untuk menjadi pemain China keempat yang meraih emas Olimpik selepas Ji Xinpeng (Sydney 2000), Lin Dan dan Chen Long (Rio 2016).
Musim ini, Yu Qi menampilkan prestasi menakjubkan apabila merekodkan empat gelaran dalam kejohanan Super 750 dan ke atas dengan menjuarai Terbuka India, Terbuka Perancis, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.
Kejayaan itu menyaksikan dia berjaya merampas kedudukan Axelsen selaku pemain nombor satu dunia.
“Fokus utama Yu Qi adalah untuk menghasilkan keputusan cemerlang di Olimpik tahun ini,” kata Lin Dan kepada media China baru-baru ini.
“Dia tidak mahu memikirkan mengenai temasya seterusnya sebaliknya dia komited sepenuhnya kepada peluang yang ada ketika ini.
“Prestasinya tahun ini membuktikan dia mempunyai keupayaan untuk memenangi emas. Kejayaan dilakar tahun ini meningkatkan lagi tahap keyakinannya, jika tidak sukar untuk dia memenangi emas.”
Meskipun diletakkan sebagai pilihan tetapi Yu Qi berdepan laluan mencabar dalam usahanya untuk memenangi emas.
Zii Jia sendiri menghadirkan ancaman hebat kepada dirinya selain pemain nombor empat dunia dari Denmark, Anders Antonsen, juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn, dan bintang Indonesia, Anthony Sinisika Ginting.
Yu Qi dijangka tidak berdepan masalah untuk menjuarai Kumpulan A yang turut dibarisi pemain Itali, Giovanni Toti dan Soren Opti dari Suriname.
Sebagai antara dua pemain pilihan, kejayaan muncul juara bakal menyaksikan dia secara automatik menjamin tiket ke suku akhir.
Ujian sebenarnya hadir bermula dengan aksi suku akhir dengan dia dijangka menentang Kunlavut dan jika mara dia akan berdepan sama ada Zii Jia, Antonsen atau pemenang gangsa Olimpik Tokyo, Ginting.
Berdasarkan rekod pertemuan, Yu Qi memiliki kelebihan ke atas Zii Jia apabila dia menang lima daripada enam perlawanan sebelum ini.
Pertemuan terakhir menyaksikan Yu Qi mencatat kemenangan bergaya ke atas Zii Jia dengan keputusan 21-19, 21-5 di separuh akhir Piala Thomas, Mei lalu.
Satu-satu kemenangan direkodkan Zii Jia adalah pada Januari 2020 ketika suku akhir Masters Malaysia.
Bagaimanapun, kejayaan terbaru Zii Jia dengan menjuarai Terbuka Thailand dan Terbuka Australia membuktikan dia bukan lawan yang boleh dipandang mudah.
Lin Dan tidak sabar menantikan pertembungan akhir antara Yu Qi dan Axelsen.
Walaupun Axelsen mendahului 9-3 dalam rekod pertemuan mereka, Lin Dan percaya momentum kini berpihak kepada Yu Qi.
“Axelsen berada dalam situasi yang terdesak kerana dia ingin mempertahankan gelarannya, yang boleh menjadi agak sukar di pentas Olimpik.
“Dari segi mental, Yu Qi mungkin mempunyai kelebihan. Dia sangat jelas tentang apa yang dia mahu dan mempamerkan semua kebolehannya untuk beraksi pada tahap prestasi terbaiknya.
“Walaupun Axelsen adalah pilihan utama dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Yu Qi benar-benar telah menonjolkan dirinya tahun ini. Dia bertekad untuk tidak membiarkan pingat emas terlepas dari genggamannya,” kata Lin Dan.
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Sepatutnya gantung Wan Fayhsal setahun
- MCA bakal tinggalkan BN?
- Tak sempat sambut ulang tahun kahwin bulan depan
- Kes pukul OKU pekak, NGO gesa percepat pendakwaan
- Bunuh lalu bakar mayat, 3 sekawan didakwa
- Jailani terikat aku janji, kena bayar ganti rugi – Ab Rauf
- Anak umur 7 tahun jadi imam, Syatilla Melvin menangis ketika solat
- Intan Najuwa nak saman
- Apa akan jadi dengan Peja?
- Nabil tempah iklan ‘billboard’ minta cuti
- Tak perlu tunggu 24 jam untuk lapor orang hilang – KPN
- Angin berhembus ucapan terima kasih mangsa (Video)
- Jamal rugi RM2 juta
- Pan-gon perlu bayar lebih RM3 juta
- ADUN Rembia kena sedia bayar denda RM100 juta – Dr Akmal
Layari Laman Facebook MYKMU.NET