Sindiket kontena terbang RM3.5 bilion ditumpaskan

Sindiket ‘kontena terbang’ RM3.5 bilion ditumpaskan

Risikan 3 agensi berjaya membongkar sindiket lari cukai terbesar di Pelabuhan Klang, Selangor membabitkan kerugian cukai RM3.5 bilion kepada negara.

Kejayaan itu adalah hasil gabungan operasi Pasukan Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).



Sumber SPRM berkata, dalam operasi khas di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur baru-baru ini, pasukan khas diketuai SPRM berjaya menahan sebanyak 19 lori kontena yang disyaki membawa barangan lari cukai.

“Ia membabitkan pelbagai jenis barangan yang diseludup keluar tanpa melalui pemeriksaan,” katanya.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati sindiket ini memiliki lebih 10 syarikat ‘forwarding’ yang digunakan bagi menyeludup barang-barang import dengan membuat pengisytiharan cukai palsu.

“Hasil risikan dijalankan sejak lebih tiga bulan lalu mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan pelbagai syarikat forwarding yang didaftarkan atas nama-nama individu yang tidak tahu menahu mengenai urusan import serta eksport berkenaan.



“Ianya bertujuan bagi mengaburi mata pihak berkuasa selain bagi membolehkan ahli-ahli sindiket ini terlepas dari sebarang tindakan dengan alasan tidak mempunyai tiada kaitan dengan syarikat-syarikat berkenaan,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, sindiket ini dipercayai didalangi seorang lelaki warga asing yang beribu pejabat di luar negara dan sudah beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu.

“Dianggarkan sindiket ini menguruskan lebih kurang 3,000 kontena sebulan. Hasil ketirisan cukai bagi tempoh 10 tahun beroperasi dianggarkan sebanyak RM3.5 billion berdasarkan cukai minimum RM7,000 bagi setiap kontena.

“Bagi mengelak dikenakan cukai, sindiket ini membuat pengisytiharan palsu menggunakan borang Kastam 9 (untuk tujuan pecah kecil pukal) dengan mengisytihar barangan tidak bercukai seperti ‘wheel chair’ dan barangan perubatan,” katanya.



Menurutnya, hasil risikan juga mendedahkan, ‘kontena terbang’ ini akan memasuki Gudang Berlesen Awam (GBA) Pelabuhan Utara hanya untuk tempoh 10 hingga 15 minit sahaja bagi mengaburi mata pihak berkuasa sedangkan kontena berkenaan tidak melalui proses pemeriksaan kastam dan seterusnya akan terus keluar dari pelabuhan untuk diedarkan ke seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan SPRM sudah mengemukakan permohonan reman terhadap dua individu di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi semalam.

“Mahkamah membenarkan tahanan reman selama 4 hari mulai hari ini hingga 8 Jun 2024.

Menurut Azam, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh termasuk mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pengubahan Wang Haram, Akta Kastam 1967 dan Akta di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri.



“SPRM amat mengalu-alukan kerjasama daripada Ketua Pengarah JKDM atas kerjasama yang diberikan serta berharap ketua-ketua jabatan mengambil langkah seumpama ini untuk mengekang isu-isu rasuah dan ketirisan di agensi masing-masing.

“Kami (SPRM) sudah mengenal pasti identiti semua pihak termasuk dalang utama yang dipercayai berada di luar negara, pemilik syarikat, ejen-ejen forwarding serta pegawai-pegawai kastam yang bersekongkol dengan sindiket ini. Mereka akan ditahan dalam masa terdekat.

“SPRM juga akan memohon bantuan agensi negara luar bagi membantu mendapatkan maklumat mengenai akaun-akaun milik dalang utama ini supaya tindakan yang bersesuaian dapat diambil,” katanya. HM

Sindiket ‘kontena terbang’ RM3.5 bilion ditumpaskan



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Penduduk Kampung Sri Makmur sahut cabaran MB Selangor



Mari kita lihat siapa yang kena

Biadab dan kurang ajar, video pemandu e-hailing burukkan Islam depan pelancong tersebar [VIDEO]

‘Drama’ kian terungkai

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker