Kisah Mohd Aariz raih simpati, kini terima Proton Pesona untuk kegunaan ke harian

“Alhamdulillah, rezeki anak saya terus melimpah sehinggakan ada yang sanggup menghadiahkan kereta terpakai untuk kami, semalam, ” kata Mohd Azlan Ishak, 35.

Katanya, dia menerima hadiah kereta Proton Persona daripada seorang pengusaha kereta terpakai di Jalan Langgar yang bersimpati dengan nasib mereka selepas kisah dia dan isteri tular di media sosial kerana membawa anak mereka Mohd Aariz Zafran, 11 bulan yang memakai alat pernafasan menaiki motosikal ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Ahad lalu.

Menurut Mohd Azlan, pada mulanya dia dan isteri, Norhidayu Halim, 35, singgah di kedai kereta terpakai itu kelmarin untuk membeli kereta menggunakan hasil wang sumbangan yang diterima daripada orang ramai untuk kemudahan membawa Mohd Aariz ke hospital.

“Saya memang berkenan kereta Proton Persona hijau di kedai itu dan hanya membawa wang tunai RM3,000 untuk membeli kereta di situ.

“Apabila ditanya kepada pengusaha kedai kereta itu, dia tanya sama ada saya minat dengan Proton Persona itu. Saya kata memang minat dan saya terkejut apabila dia menghadiahkan kereta itu demi Mohd Aariz,” katanya.

Mohd Azlan berkata, segala proses dokumen kereta Proton Persona itu sudah diuruskan oleh kedai kereta terpakai itu.

“Saya juga berterima kepada seluruh rakyat Malaysia yang membantu menghulurkan sumbangan sehingga kini mencecah lebih RM100,000.

“Saya tak pernah minta pada sesiapa sebelum ini walaupun pernah ada RM12 dalam tangan hinggakan ada juga yang mengecam saya dan isteri namun saya tak ambil kisah sangat.

“Kalau tidak kerana ada yang tular gambar kami tiga beranak di media sosial baru-baru ini mungkin agak susah kami untuk menguruskan kehidupan memandangkan saya baru sembuh demam campak dan tidak dapat bekerja,” katanya.

Mohd Azlan yang juga pembantu pelantar ikan di Kuala Kedah berkata, rumahnya di Taman Kota Nelayan juga tidak putus dikunjungi orang ramai termasuk pempengaruh media sosial, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang datang membantu.

Katanya, ada yang datang menyalurkan sumbangan susu bayi dan lampin pakai buang untuk anaknya selain memberi sumbangan wang tunai untuk mereka.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu memberi sumbangan demi untuk anak saya, Mohd Aariz yang menghidap paru-paru kronik,” katanya.

 

Tiga sekeluarga menaiki motosikal dengan bayi dilihat dilengkapi alat bantuan pernafasan. - Foto tular
Tiga sekeluarga menaiki motosikal dengan bayi dilihat dilengkapi alat bantuan pernafasan. – Foto tular

 

Media sebelum ini melaporkan mengenai pasangan suami isteri yang tular di media sosial kerana membawa anak mereka menaiki motosikal memakai alat pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) ke hospital.

Kepayahan yang dilalui pasangan suami isteri itu mendapati perhatian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menerusi setiausaha politiknya, Ahmad Farhan Fauzi yang memohon orang ramai menyalurkan maklumat mengenai keluarga itu.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Penjenayah samun kedai runcit di Kampung Baru berjaya ditangkap polis

Arab Saudi makin gila, anjur fesyen pakaian renang

Saya bodoh, Mahathir pilih Ku Li – Musa Hitam

Sebab kubur suspek serang Balai Polis Ulu Tiram diasingkan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker