Badan Peguam Malaysia cabar keputusan Peguam Negara ‘lepaskan’ Zahid ditetapkan 27 Jun

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 27 Jun depan untuk keputusan berhubung permohonan semakan kehakiman difailkan Badan Peguam Malaysia bagi mencabar keputusan Peguam Negara menghentikan prosiding terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Amarjeet Singh juga menetapkan tarikh sama bagi keputusan berhubung permohonan Badan Peguam Malaysia untuk merujuk tiga persoalan perlembagaan mengenai perkara sama kepada Mahkamah Persekutuan bagi penentuan.

Badan Peguam Malaysia dalam permohonan yang difailkan pada 2 Disember tahun lalu, menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid sebagai responden.



Ia memohon perintah certiorari bagi menarik balik serta membatalkan keputusan Peguam Negara pada 4 September tahun lalu di mana Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), dan satu perisytiharan bahawa keputusan berkenaan adalah tidak sah serta dibuat melampaui bidang kuasa yang diberikan kepada Peguam Negara.

Pada 4 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, selepas pihak pendakwaan memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara mahu menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid itu.

Terdahulu, Peguam Datuk S Ambiga yang mewakili Badan Peguam Malaysia, berhujah pihaknya mempunyai lokus untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman itu.

“Ini bukan berkaitan Badan Peguam ‘menyibuk’ atau campur tangan dalam urusan peribadi orang lain.



“Ia berkaitan dengan pertuduhan terhadap seseorang yang sebelum ini memegang jawatan awam (sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri hingga 2018), dan pertuduhan terhadapnya dibatalkan apabila mereka dilantik semula ke jawatan awam (sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2022),” katanya.

Ambiga juga berkata, keputusan untuk memohon DNAA responden kedua (Ahmad Zahid), adalah tidak sah dan bertentangan dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

Menurut peguam itu, pada 24 Januari 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid telah dibuktikan dan memerintah beliau untuk membela diri atas 47 pertuduhan terhadapnya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili Peguam Negara, berkata Badan Peguam gagal membuktikan keputusan Peguam Negara adalah salah dari segi undang-undang.



Katanya, Peguam Negara bertindak berdasarkan budi bicara pendakwaan mengikut Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan beliau boleh memulakan, mengendalikan atau menghentikan sebarang prosiding bagi sesuatu kes.

Peguam mewakili Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, pula berhujah permohonan Badan Peguam itu sudah tidak relevan berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membenarkan perintah DNAA.

“Pemohon (Badan Peguam) tidak mempunyai lokus standi untuk memfailkan permohonan ini. Secara ringkasnya, pemohon hanya merupakan ‘busybody’ dan tidak terjejas secara negatif oleh keputusan (Peguam Negara) untuk memohon DNAA.

“Pemohon juga jelas gagal membuktikan, antara lain, locus standinya dalam memfailkan permohonan. Oleh itu, permohonan ini patut ditolak oleh mahkamah ini,” katanya. – BERNAMA



Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Jantan takdak teloq – Puteri Sarah



Sakit apendiks, kaki pula yang kena potong

Bella tenang disamping Syed Saddiq



Peniaga tembikai agih buah kepada pengguna jalan raya [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker