Muat naik video Biden diikat kaki dan tangan, Trump dikritik

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dikritik selepas muat naik video di platform Truth Social, yang memaparkan imej Presiden AS, Joe Biden, diikat kaki dan tangannya, seolah-olah diculik.

Video itu menunjukkan dua trak pikap yang dipandu di lebuh raya, masing-masing memaparkan pelekat dan bendera pro-Trump.

Pada pintu belakang kedua-dua trak itu terdapat pelekat memaparkan imej Biden dengan kaki diikat dan tangannya diikat di belakang.

Pasukan kempen pemilihan semula Biden berkata imej itu boleh membawa kepada keganasan dalam kalangan penyokong.

Jurucakap Biden, Michael Tyler berkata, imej dipaparkan Trump itu adalah ‘sampah’ yang seseorang muat naik jika mahukan pertumpahan darah atau meminta kumpulan penyokongnya, Proud Boys, supaya bersiap sedia.

“Trump kerap menghasut keganasan politik menggunakan kumpulan penyokongnya yang berhaluan kanan, seperti yang berlaku pada 6 Januari 2021 apabila mereka menyerbu bangunan Capitol.

“Cuba tanya pegawai polis Capitol yang diserang ketika melindungi demokrasi kita pada 6 Januari lalu,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu dinafikan jurucakap Trump, Steven Cheung, yang menuduh anggota Demokrat dan golongan kurang waras bukan saja menghasut keganasan terhadap Trump dan keluarga, sebaliknya memperalatkan sistem keadilan bagi menentang Trump.

Perkhidmatan Rahsia AS, yang bertanggungjawab terhadap keselamatan Presiden AS, enggan mengulas sama ada ia akan memulakan siasatan berhubung isu itu.

Trump mempunyai sejarah panjang menggunakan bahasa berunsur provokatif dan agresif serta memaparkan imej ganas.

Awal bulan ini, Trump memberi amaran sektor automotif AS akan ‘bermandikan darah’ jika Biden menang pada pemilihan Presiden AS pada November ini manakala pada Disember lalu, beliau menuduh pendatang ‘meracuni darah’ rakyat AS.

November lalu, beliau menyelar pesaing politiknya, berikrar untuk ‘memansuhkan komunis, Marxis, fasis dan samseng haluan kiri yang hidup seperti makhluk perosak di AS.

Biden memberi maklum balas dengan berkata Trump menggunakan ‘bahasa yang hanya digunakan oleh Nazi Jerman manakala Trump menyifatkan Biden 81, yang empat tahun lebih muda daripadanya, sebagai ‘tidak cergas dengan deria yang semakin merosot’. – AFP

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Shidee yang ditahan polis

Safee Sali mengaku kahwin lain

Hans Isaac tak malukah – PN

Lantikan penjawat awam baharu setara sistem pencen

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker