Sultan Selangor tegur label ‘Black Friday’ keputusan Mahkamah Persekutuan

Sultan Selangor tegur label ‘Black Friday’ keputusan Mahkamah Persekutuan

Sultan Selangor menegur kenyataan mengelirukan termasuk gelaran “Black Friday” oleh pemimpin tertentu terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Tanpa menamakan sesiapa, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah pelbagai pihak terutama ahli politik, pengamal undang-undang, akademik dan rakyat biasa telah membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes berkenaan.



Menurutnya, ada ulasan yang memberi penjelasan sebenar tentang kesan kepada keputusan kes itu.

“Namun demikian ada juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini.

“Malah ada yang telah menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai detik “Black Friday” kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini.

“Beta tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut,” katanya yang juga pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia sempena Mesyuarat MKI kali Ke-71 di Putrajaya.



Teks titahnya dikeluarkan Pejabat Sultan Selangor.

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan ketika mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan itu menyifatkannya sebagai sejarah hitam buat umat Islam dan negara.



“Kita amat sedih… ini ‘black Friday’. Jumaat yang hitam kepada undang-undang syariah Islam. Bila satu undang-undang jenayah syariah sesuatu negeri dibatalkan, bermakna undang-undang ini di 14 negeri lain dalam keadaan amat bahaya dan kritikal,” katanya.

Tengku Maimun dalam penghakimannya menegaskan petisyen itu tiada kena-mengena dengan isu kesucian agama Islam atau kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.

‘Cukup-cukuplah kita bersengketa’

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin bertitah menasihatkan agar umat Islam, terutama para ulama dan ilmuan, agar sentiasa memelihara adab ketika menyuarakan pandangan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam.



Baginda bertitah perbezaan pendapat perlu diraikan dan perbalahan terbuka dalam perkara yang boleh diselesaikan secara “musyawarah dan secara tertutup” perlu dielakkan.

“Rakyat terutama umat Islam sentiasa melihat dan memandang tinggi kepada para ilmuan islam dan para alim ulama dan sentiasa mengharapkan sesuatu ketetapan berkaitan sesuatu hukum itu dapat disepakati oleh semua,” titah baginda.

Menegaskan teguran itu tidak ditujukan kepada mana-mana pihak, Sultan Sharafuddin mengingatkan ahli politik agar tidak mempolitikkan setiap isu melibatkan Islam sehingga mencetuskan persengketaan.

“Umat Islam sedia maklum bahawa isu-isu agama sering dipolitikkan sejak beberapa dekad yang lalu malah semakin serius sejak kebelakangan ini. Akibatnya berlaku permusuhan, salah faham serta kekeliruan di kalangan umat Islam.



“Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama. Telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan umat Islam. Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan agama Islam akan menghormati umat Islam,” titah baginda lagi.

Sultan Selangor tegur label ‘Black Friday’ keputusan Mahkamah Persekutuan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Nasi ayam harga RM14 lauk ‘ciput’ buat pelanggan terkejut

Madu Marissa, Misya dan Aslam makan semeja, netizen pertikai kenapa kahwin dua

Enakmen Syariah Kelantan bukan Hudud bukan Qisas – Nik Elin

Tular gambar Nik Elin-Takiyuddin bersama, Awang Hashim sentap

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker