Kerajaan boleh hilang kuasa tanpa usul undi percaya

Kerajaan boleh hilang kuasa tanpa usul undi percaya

WUJUD pelbagai ‘langkah’ untuk menumbangkan kerajaan selepas lebih setahun Kerajaan Perpaduan berdiri. Pembangkang dilihat tidak putus-putus hendak menumbangkan kerajaan dibentuk pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Terbaru, pembangkang mendakwa memiliki akuan bersumpah (SD) mencukupi untuk menumbangkan kerajaan. Ia menimbulkan polemik baharu dalam arena politik negara. Sejauh mana penggunaan SD boleh menumbangkan kerajaan. Ikuti soal jawab pengamal undang-undang, Datuk Shamsuddin Nawawi dan penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub.



Soalan (S): Adakah gerakan Langkah Dubai melanggar mana-mana peruntukan undang-undang?

Jawapan (J): Sekarang ini, mereka menyamakan Langkah Dubai itu dengan usaha untuk menggulingkan kerajaan. Seolah-olah itu satu perbuatan untuk menggulingkan kerajaan. Kalau menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan memang tak boleh, tak dibenarkan dalam undang-undang tetapi sekarang kalau mahu menukar kerajaan secara demokrasi dan mengikut segala lunas undang-undang, tidak bertentangan dengan undang-undang. Itu memang dibenarkan dan haknya dijamin dalam Perlembagaan.

S: Laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap pihak didakwa mencetuskan gerakan ini.

J: Mereka menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 124(b) dan 124(c) Kanun Keseksaan. Kanun Keseksaan ini sebenarnya ada definisinya iaitu tindakan itu mestilah bertentangan dengan demokrasi Parlimen, dengan merujuk pula kepada Seksyen 130 Kanun Keseksaan.



Seksyen ini jelas menyebutkan, kalau ada perbuatan menentang demokrasi, dia mestilah secara keganasan atau dalam bahasa mudahnya mengangkat senjata. Kita boleh lihat peruntukan itu dalam seksyen itu. Mereka menganggap tindakan itu melanggar Seksyen 124(b) dan 124(c) Kanun Keseksaan, seolah-olah sudah melakukan kesalahan melanggar demokrasi berparlimen, yang definisi sebenarnya tidak memenuhi maksud dalam Seksyen 130 itu.

S: Jadi, usaha menggulingkan kerajaan ini tidak boleh dianggap bertentangan undang-undang?

J: Sekiranya berlaku satu perbuatan parti atau Ahli Parlimen tidak lagi menyokong Perdana Menteri dan kemudian hilang sokongan majoriti, itu bukan satu perbuatan dianggap melanggar undang-undang.

Masalah di sini apabila mereka menggunakan ayat tertentu seperti mahu menggulingkan kerajaan, itu ayat nampaknya kelihatan agak negatif. Bahkan, naratif dibawa juga seolah-olah ia menjurus kepada satu bentuk keganasan.



Pada hemat saya tidak ada elemen keganasan di situ, sebaliknya ia adalah hak diberi Parlimen kepada semua wakil rakyatnya. Wakil rakyat atau Ahli Parlimen boleh sentiasa menukar sokongan. Contohnya sokongan Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini kepada kerajaan atau Perdana Menteri, masih dibenarkan.

S: Perdana Menteri cabar pembangkang kemuka usul undi tidak percaya di Parlimen?

J: Sebenarnya tak perlu bawa usul di Parlimen sebab itu kaedah lama, yang mana selepas merujuk kepada kemelut politik kerajaan Perak pada 2009.

Kemelut di Perak ketika itu, sudah putuskan yang mana menzahirkan kehilangan sokongan majoriti boleh berlaku di luar dewan. Tidak semestinya di dalam dewan menerusi usul undi percaya atau tidak percaya.



Sebelum kes Perak, kes duluan memang merujuk keputusan di dalam dewan. Iaitu merujuk kes Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, sekitar tahun 1960-an. Itu duluannya, tapi duluan sekarang adalah kes kemelut politik di Perak pada 2009, diputuskan Sultan Perak ketika itu.

Baginda arif dengan undang-undang. Kes kemelut Perak itu kemudian dirujuk ke Mahkamah Persekutuan oleh pihak tidak berpuas hati dan mahkamah kemudian putuskan perkara sama dengan keputusan dibuat Sultan Perak, iaitu penzahiran hilang sokongan itu boleh juga dibuat di luar dewan.

Isu di Perak pada waktu ia hanya bermula pada satu sidang media dibuat empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR dan DAP. Mereka mengumumkan keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).

S: Akuan Bersumpah (SD) tak terpakai dalam usaha untuk menukar mana-mana Perdana Menteri?



J: Katalah benar seperti dakwaan pihak tertentu mereka sudah ada 120 SD dan sudah pun dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong. Menjadi amalan terdahulu, sebagai Agong, baginda mesti membuat keputusan. Itu peruntukan dalam Perlembagaan iaitu di bawah Perkara 43(4) berkaitan kaedah memilih seorang Perdana Menteri.

Dalam peruntukan itu, disebut perkataan ‘…pada hemat baginda…’. Maka di sini, tuanku akan menentukan sama ada SD itu sah atau sebaliknya. Tuanku boleh menyiasat termasuk keperluan untuk memanggil setiap seorang wakil rakyat menandatangani SD berkenaan. Dia tak panggil ketua parti, yang ini kemudian. Sebab di bawah Perkara 43(4), dia merujuk kepada sokongan seseorang ahli Dewan Rakyat bukan ketua parti.

S: Amalan tebuk atap ini secara langsung menunjukkan undang-undang lompat parti tidak memiliki taring?

J: Perlu difahami undang-undang bertukar parti ini tidak ada kena mengena dengan parti. Dia berkaitan dengan Ahli Parlimen bertukar parti. Dalam bahasa mudahnya, bukan parti punya kuasa sebenarnya. Malah perkataan ‘en bloc’ sering digunakan juga sebenarnya tidak wujud dalam undang-undang ini. Jika mengambil kira en bloc, tindakan lima Ahli Parlimen BERSATU menyokong kerajaan tidak bertindak secara en bloc, tapi tidak ada tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka.



Apa yang disebut undang-undang lompat parti ini, sebenarnya ia bukannya satu akta, tapi hanya pindaan kepada Perlembagaan. Jika akta ini, dia serupa seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 1954, Akta Polis 1967, tapi yang ini hanyalah satu pindaan kepada peruntukan Perlembagaan.

Cuma pindaan ini dibuat menerusi Rang Undang-Undang (RUU) di Parlimen dan apabila RUU ini diluluskan, ia juga menjadi akta, tapi hanya dirujuk sebagai Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663). Dia tidak merujuk secara khusus kepada akta lompat parti, tapi hanya pindaan kepada peruntukan Perlembagaan.

Jadi, jika ada pihak melihat undang-undang ini ada kelompangan atau kelemahannya, untuk dipinda sekali lagi perlembagaan ini, memerlukan dua pertiga sokongan Ahli Parlimen. Ia berbeza jika mahu meminda akta, ia cukup hanya dengan majoriti mudah.

S: Ahli Parlimen juga tertakluk dengan aku janji parti politik mengenakan denda jika mereka keluar parti.

J: Anggapan ini sebenarnya banyak merujuk kepada kes dihadapi bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin. Sebab dalam kes ini, Mahkamah Tinggi putuskan memerintahkan Zuraida supaya membayar RM10 juta atas tindakan beliau keluar PKR sebelum ini. Ini sebenarnya kes baru diputuskan di Mahkamah Tinggi. Masih ada proses rayuan dan prosiding di peringkat mahkamah lebih tinggi. Tapi, untuk melihat kes duluan serupa, sudah ada satu kes diputuskan Mahkamah Persekutuan iaitu kes bekas menteri dari Sarawak, Tan Sri Ong Kee Hui melawan Sinyium Anak Mutit.

Kes ini berkenaan perjanjian potongan gaji wakil rakyat. Mahkamah Persekutuan pada masa itu memutuskan, apa juga perjanjian seumpama itu yang dibuat di peringkat dalaman parti mereka, bertentangan dengan dasar awam. Maka, perjanjian dalaman parti itu diputuskan sebagai terbatal. Keputusan kes mahkamah ketika itu, menunjukkan tidak boleh adanya perjanjian seperti itu.

Pinda semula akta lompat parti henti propaganda tumbangkan kerajaan

Soalan (S): Usaha berterusan pembangkang mahu menumbangkan kerajaan didasari kelompangan undang-undang lompat parti?

Jawapan (J): Memang jelas terdapat beberapa kelemahan dan kelompangan atau ‘laquna’ dilihat sebagai ‘exit clause’ yang boleh dimanipulasi mana-mana Ahli Parlimen atau parti politik lawan mempunyai kepentingan. Jangan terkejut dengan kelemahan dan kelompangan ini kerana yang meminda dan bersetuju meluluskan pindaan ini adalah Ahli Parlimen yang juga orang politik. Sudah semestinya mereka menyedari selok-belok jalan keluar daripada sekatan yang mereka sendiri wujudkan sekiranya dalam kesempitan atau mencari peluang lebih baik.

Terdapat tiga kelemahan dan kelompangan jelas iaitu klausa menyatakan Ahli Parlimen melanggar kehendak parti akan kehilangan kerusi mereka secara automatik, tidak dimasukkan dalam pindaan akta ini. Maka mana-mana ahli Dewan Rakyat adalah bebas menyatakan sokongan kepada parti politik selain diwakilinya kerana tidak dianggap bertukar parti.

Namun parti yang menyedari ‘senjata makan tuan’ ini dari awal lagi bertindak meminda perlembagaan mereka dengan mewujudkan sekatan tersendiri, misalnya kontrak dan perjanjian berbentuk sumpah tidak bertentangan dengan undang-undang negara.

Tetapi kita dikejutkan apabila lima Ahli Parlimen BERSATU, mengalih sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini adalah kelemahan kepemimpinan parti terlalu mempercayai wakil rakyat mereka dan tidak meminda perlembagaan parti bagi mengekang keadaan ini berlaku.

Kedua, pemansuhan Peruntukan 48(6) Perlembagaan ketika proses pindaan iaitu Ahli Dewan Rakyat yang gugur keanggotaan tidak perlu menunggu tempoh lima tahun untuk bertanding semula juga dilihat menggalak ke arah usaha menumbangkan kerajaan.

Peruntukkan ini perlu dipertimbang untuk dimasukkan semula bagi menyukarkan lagi anasir licik individu, penyandang atau parti politik masih mencari ruang dalam Perlembagaan selepas pilihan raya untuk menukar kerajaan.

Mereka boleh saja meletak jawatan dan kemudian bertanding semula atas tiket parti politik baharu pada bila-bila masa sahaja, sekali gus memperlihatkan betapa mudahnya pilihan raya dipermainkan wakil rakyat berkepentingan.

Ketiga, Perkara 49A(2)(c) juga ruang boleh digunakan mana-mana Ahli Parlimen dengan sengaja mewujudkan suasana sehingga membawa kepada pemecatannya sebagai ahli parti tetapi tidak menyebabkan kerusinya dikosongkan.

Sekiranya terdapat Ahli Parlimen bergaduh dengan pemimpin, tidak lagi berminat untuk meneruskan perjuangan parti atau mendapat tawaran politik lebih baik, mereka akan mencari jalan untuk dipecat kerana menyedari kerusi tidak dikosongkan.

Tindakan segera memperbaiki kelemahan dan kelompangan ini perlu dilakukan segera dan ketepikan strategi politik terselindung bagi menghentikan usaha menumbangkan kerajaan berterusan.

S: Tindakan lima Ahli Parlimen BERSATU menyokong Perdana Menteri sebelum ini jadi dorongan kerajaan dibentuk selepas PRU15 masih boleh digugat?

J: Saya berpandangan sedemikian kerana lima Ahli Parlimen sudah semestinya dijadikan ‘tikus makmal politik’ oleh wakil rakyat lain dan parti politik untuk menguji sejauh mana tindakan itu mendatangkan kebaikan ataupun boleh mengancam status mereka sebagai Ahli Parlimen.

Tindakan mengalih sokongan itu adalah pembuka laluan kepada Ahli Parlimen lain untuk bertindak dan merencana langkah politik pada masa depan tetapi dengan cara selamat. Tindakan lima Ahli Parlimen terbabit juga mewujudkan duluan (precedent) kepada Ahli Parlimen lain untuk menguji akta lompat parti melalui pindaan Perlembagaan ini dan menilai seluas manakah kuasa Speaker Dewan Rakyat berperanan mengisytiharkan terdapatnya kekosongan ataupun sebaliknya.

Inilah kelicikan Ahli Parlimen yang sentiasa mencari peluang bagi memastikan matlamat dan kepentingan mereka tercapai menerusi celahan ruang dibenarkan undang-undang.

S: Wujud keperluan mendesak untuk pinda semula undang-undang lompat parti untuk tangani isu ini?

J: Saya amat bersetuju undang-undang lompat parti ini perlu disemak dan dipinda semula dengan kadar segera untuk tangani isu menumbangkan kerajaan semasa yang mentadbir negara.

Justeru sebarang kelemahan dan kelompangan yang boleh memberi ruang manipulasi oleh pemain politik perlu ditutup serapatnya malah boleh mewujudkan keadaan politik yang stabil serta kerajaan memerintah tidak perlu bimbang dijatuhkan mana-mana pihak sehingga tamat tempoh penggal sebagai wakil rakyat.

S: Perdana Menteri cabar pembangkang kemuka usul undi percaya di Parlimen.

J: Pada 19 Disember 2022, Dewan Rakyat meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus mempamerkan keabsahan kerajaan pimpinan beliau dan tidak perlu diragui mana-mana pihak.

Ini bukan kali pertama usul undi percaya dikemukakan di Dewan Rakyat, tetapi pernah dilakukan dua kali sebelum ini oleh kepimpinan terdahulu dengan kali pertama pada 27 Januari 1976 ketika pentadbiran Tun Hussein Onn dan pada 3 November 2003 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri kelima.

Justeru selepas Anwar mendapat undi percaya itu, tiada keperluan untuk mengulangi semula beberapa kali usul sama untuk memuaskan hati segelintir pihak meskipun undang-undang tidak menghalangnya.

Adalah lebih baik masa yang ada digunakan untuk mengemukakan usul lebih memanfaatkan rakyat berbanding mengulangi tindakan mengemukakan usul percaya dan kita perlu memberi ruang kepada mana-mana parti menjadi kerajaan untuk melengkapkan tempoh perkhidmatan mereka secukupnya.

Ahli Parlimen perlu menghentikan ‘politik kosmetik’ dalam Dewan Rakyat semata-mata untuk memperlihatkan mereka membuat kerja tetapi fokus mereka ialah bagaimana untuk memanfaatkan platform Parlimen untuk memperjuangkan kehidupan rakyat.

S: Ada keperluan untuk undang-undang digubal bagi menghalang dan menyekat pula Ahli Parlimen daripada beralih sokongan kepada blok pembangkang atau kerajaan?

J: Bagi saya tidak perlu undang-undang baharu untuk menghalang atau menyekat Ahli Parlimen mengalih sokongan tetapi pindaan kepada peruntukkan sedia ada perlu disegerakan.

Parti politik boleh mengambil iktibar daripada tindakan lima Ahli Parlimen BERSATU dengan meminda segera perlembagaan parti dengan memasukkan sekatan dan kawalan terhadap wakil rakyat mereka. Kedua-duanya memerlukan keazaman politik yang tinggi dengan mengenepikan muslihat politik masing-masing dan semata-mata mahu memastikan rakyat tidak terganggu dengan situasi politik tidak menentu.

S: Amalan mengalih sokongan sama ada kepada blok kerajaan atau pembangkang sangat menggugat kestabilan politik negara, apakah perlu kerajaan yang memimpin pasca PRU15 membuat Perjanjian Persefahaman (CSA) seperti dilakukan ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob?

J: Saya bersetuju CSA boleh dijadikan sebagai salah satu alternatif untuk mengawal pergerakan politik boleh menggugat kestabilan negara seperti dilakukan pada zaman pentadbiran Ismail Sabri sebelum ini. Namun CSA yang hendak dimeterai mestilah memberi kesan perundangan kepada kedua-dua pihak dan bukan perjanjian mempunyai muslihat dan agenda jahat yang tidak menguntungkan rakyat.

Namun, kerajaan hari ini tidak perlu memeterai CSA dengan mana-mana parti politik pembangkang kerana jumlah kerusi Kerajaan Perpaduan melepasi bilangan majoriti mudah. BH

Kerajaan boleh hilang kuasa tanpa usul undi percaya

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Saya senasib dengan Tyzo – Linda Onn

Isu Tyzo, DJ Lin akan dedahkan Jumaat ini

Makin lawa Mawar Rashid lepas menjanda

Ganti DJ 2 minggu tanpa gaji, alasan nak ‘test’ (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker