Sasaran siasatan SPRM tahun ini

Azam Baki beri perincian

Sasaran siasatan SPRM tahun ini

Agihan dana awam, projek sakit dan terbengkalai, permit pekerja asing, judi, pemerdagangan manusia serta kartel, menjadi antara tumpuan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tahun ini.

Sasaran itu dimaklumkan Tan Sri Azam Baki ketika menyampaikan Amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 dan perhimpunan bulanan suruhanjaya berkenaan, sambil menambah pihaknya sudah merangka tiga strategi utama di bawah sektor operasi dan pencegahan agensi itu tahun ini.



Ia, katanya, membabitkan perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang dan rasuah berskala besar atau grand corruption.

Dalam sektor perolehan awam, beliau berkata, tumpuan SPRM untuk membanteras rasuah dan ketirisan dalam sistem perolehan kerajaan dan memastikan proses itu dilaksanakan mengikut undang-undang serta peraturan.

Antara lain, katanya, SPRM akan fokus kepada kegiatan monopoli projek atau kartel, projek awam yang terbengkalai atau ‘projek sakit’ yang membabitkan kerugian besar kepada kerajaan serta rasuah berskala besar yang berprofil tinggi dan berkepentingan awam.

Untuk rekod, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun lalu mengenal pasti 481 projek sakit dan 112 projek terbengkalai di seluruh negara.



Bulan lalu pula, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mendedahkan tujuh syarikat terbabit kegiatan tipu bida dalam empat tender pembekalan barangan dan perkhidmatan untuk Kementerian Pertahanan (MINDEF), yang dianggarkan bernilai RM20.8 juta.

“Bagi sektor penguatkuasaan pula, tumpuan SPRM kepada pembongkaran kes bersifat sindiket yang memberi kesan kepada sosioekonomi negara dan rakyat,” kata Azam dalam amanatnya semalam yang diedarkan melalui satu kenyataan kepada media, semalam.

Majlis semalam turut dihadiri tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya (Operasi), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali (Pencegahan) dan Datuk Junipah Wandi (Pengurusan dan Profesionalisme).

Azam berkata, SPRM akan memberi tumpuan kepada kegiatan berkait penyeludupan, perjudian, pemerdagangan manusia, permit kerja pekerja asing, permohonan kewarganegaraan, pelesenan dan percukaian.



Awal bulan ini, BH mendedahkan lebih 500,000 pekerja asing ‘menganggur’ atau tidak diupah mana-mana majikan, berada di Malaysia serta lebih 100 syarikat dipercayai didalangi warga Bangladesh dikesan beroperasi di negara ini untuk membawa masuk rakyat mereka dan mengakibatkan lambakan pekerja asing.

Terdahulu pada November lalu, BH turut mendedahkan hampir 2,000 rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia, terperangkap di negara jiran sejak setahun sebelumnya dan tidak mampu menyelamatkan diri.

“Selain itu, jenayah penipuan seperti Macau scam, judi dalam talian serta jenayah rasuah yang membabitkan anggota penguat kuasa menjaga pintu sempadan atau pintu masuk negara.

“SPRM juga akan menumpukan kes-kes yang menyebabkan berlaku ketirisan, kerugian kepada kerajaan dan rakyat, yang dilihat menjejaskan dasar kerajaan dalam melaksanakan agihan dana awam atau peruntukan khas kepada kumpulan sasar, kelompok atau kaum tertentu,” kata Azam.



Contoh dana awam dan peruntukan khas itu seperti dana Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Skim Keselamatan Sosial Pekerja bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Skim Bantuan Subsidi Baja, Skim Pinjaman TEKUN Nasional dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Fokus kepada perolehan hasil negara, katanya, berkait kutipan hasil kerajaan dan pengelakan cukai seperti cukai eksais, cukai perkhidmatan dan cukai jualan, cukai perniagaan serta duti import eksport, yang menyebabkan ketirisan serta kerugian kepada negara.

“Hasil itu sepatutnya diterima kerajaan untuk digunakan bagi pembangunan negara,” katanya.

Katanya, semua perancangan dan tindakan operasi siasatan perlu diperkemas dan diselarikan dengan perancangan serta tindakan di sektor pencegahan melalui penyiasatan tatakelola dan pendidikan masyarakat berimpak tinggi agar tindakan menjadi lebih berkesan dan menyeluruh.



Beliau menjelaskan, suruhanjaya itu akan kekal menggunakan strategi ‘serampang tiga mata’ dalam melaksanakan tanggungjawabnya, iaitu melalui pendekatan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan masyarakat selaras Seksyen 7 Akta SPRM 2009 (Akta 694).

“Strategi berpandukan Pelan Strategik SPRM 2021-2025 yang bersifat holistik dalam memacu negara ke arah bebas rasuah melalui pemerkasaan penguatkuasaan berkesan, pencegahan rasuah menyeluruh dan pembudayaan integriti bagi memastikan SPRM kekal efektif dan relevan,” katanya.

Azam juga meminta warga SPRM menerapkan semangat esprit de corp atau semangat bekerja dalam satu pasukan dan kebersamaan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. BH

Sasaran siasatan SPRM tahun ini



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Saya senasib dengan Tyzo – Linda Onn

Isu Tyzo, DJ Lin akan dedahkan Jumaat ini

Makin lawa Mawar Rashid lepas menjanda

Ganti DJ 2 minggu tanpa gaji, alasan nak ‘test’ (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker