Hans, Shahrol sedia dicalonkan

#PRU15

Hans, Shahrol sedia dicalonkan

Demam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) makin dirasakan sebaik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa Isnin lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seperti yang pernah dilihat pada PRU lalu, selebriti dengan ideologi politik masing-masing, tidak ketinggalan menonjolkan diri menjadi suara rakyat berbekalkan bakat dan pengaruh mereka sebagai calon kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertaruhkan.



Selain pelakon dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 48, yang dilapor menyerahkan kepada pucuk pimpinan Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan sama ada dirinya layak bertanding pada PRU-15, dua lagi penggiat seni iaitu Datuk Hans Isaac dan Shahrol Shiro terbuka untuk menjadi calon parti masing-masing pada PRU-15.

Hans yang juga pelakon dan pengarah terkenal mengakui bersedia dan bersikap terbuka untuk bertanding di mana-mana kerusi pada PRU-15.

Mengakui jiwanya lebih dekat dengan Ampang, namun Hans yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Februari tahun lalu, menyerahkan soal kerusi itu kepada pucuk pimpinan parti.

“Terpulang kepada pucuk pimpinan dan masyarakat Ampang. Saya hanya ikut arahan sahaja. Siapa tidak mahu tanggungjawab itu? Kami masuk dalam politik ini pun adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat. Kalau tanggungjawab itu diberi, saya rasa tiada isu untuk saya galas amanah yang diberi.



“Sudah tiga tahun saya buat kerja secara sendirian di Ampang ini. Ampang memang dekat dengan jiwa… Ini kampung saya. Apapun, kena tunggu hingga penamaan calon.

“Jika nama saya dicalonkan tetapi bukan di Ampang, saya terima keputusan itu,” katanya.

Hans memegang pendirian perlu bersedia untuk ditugaskan di mana sahaja.

“Rakyat yang seharusnya diberi keutamaan, bukannya kepentingan diri sendiri,” katanya.



Tambah bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ini, jika bukan rezekinya untuk bertanding pada PRU-15, beliau berharap calon terpilih dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Kita hanya mahukan individu berintegriti di Ampang. Buat kerja semata-mata untuk rakyat kerana itulah yang menjadi keutamaan PKR.

“Tidak kisahlah sama ada calon itu nanti lelaki atau wanita. Apa yang penting, dia sangat komited kepada tanggungjawab yang diamanahkan,” kata bintang filem J Revolusi ini.

Hans atau nama sebenar, Gerald Hans Isaac, 51, mendakwa keputusan kerajaan untuk membubarkan Parlimen menjelang musim banjir yang dijangka tiba tidak lama lagi, sebagai tidak prihatin dengan rakyat.



“Pandangan saya sama seperti rakyat lain iaitu PRU-15 tidak sepatutnya diadakan pada musim banjir kerana ia menyusahkan rakyat.

“Isu banjir ini bukan sahaja membabitkan kawasan luar bandar, sebaliknya bandar. Kenapa perlu letak beban pada bahu rakyat yang dalam sedang dalam kesusahan.

“Bukanlah hendak kata kami tidak bersedia menghadapi PRU-15, cuma masanya tidak kena. Perlukah tergesa-gesa bubarkan Parlimen dan adakan PRU?

“Buat PRU untuk kepentingan rakyat atau hendak selamatkan individu tertentu?” dakwa Hans lagi.



Julai lalu, Hans yang bertanding dalam pemilihan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ampang tewas dalam kiraan semula kepada pesaingnya yang juga penyanyi rap, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad.

Bagaimanapun, pada Kongres Nasional PKR 2022, Hans dipilih menduduki 20 jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang baharu melalui proses undian.

Sementara itu, empat tahun berada di gelanggang politik bukanlah lesen buat pelawak dan bekas penyampai radio, Shahrol untuk membolehkannya bertanding pada PRU-15.

Biarpun dikenali dan sering terbabit dalam kerja kebajikan anjuran Pemuda UMNO Kluang, Shahrol atau nama sebenar, Shahrol Azizie Azmi, 38, mengakui memerlukan banyak masa untuk menimba pengalaman sebelum meluaskan karier politiknya ke peringkat lebih tinggi.



“Bertanding di PRU-15 ini tahapnya berbeza dengan Pilihan Raya Negeri (PRN). Kita tahu keupayaan kita hari ini di mana.

“Sejujurnya, saya sendiri masih dalam peringkat pembelajaran. Sebelum beralih ke fasa yang lebih tinggi, biarlah kita bertatih dari bawah.

“Justeru, biarlah persediaan itu dilakukan secara berperingkat dan dimulakan di peringkat daerah sebelum memegang tampuk kepimpinan yang lebih tinggi,” katanya.

Mengakui bukan mudah bergelar pemimpin, pelakon Ustaz Mu Tunggu Aku Datang dan Satu Malam Kubur Berasap 2 ini bagaimanapun tidak menolak jika ada permintaan untuknya bertanding dalam mana-mana kerusi pada PRU-15.

“Untuk menjadi pemimpin, bukan sahaja memerlukan kecerdasan emosi (EQ) tetapi minda (IQ).

“Jika dua perkara ini seiring dan cukup haul serta sifatnya, ditambah ada ruang yang disediakan, barulah saya bersedia untuk ke arah sana (bertanding).

“Namun, jika pucuk pimpinan berhasrat calonkan saya kerana yakin saya mampu berkhidmat untuk rakyat, saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

Februari lalu, timbul desas-desus konon Shahrol bakal bertanding pada PRN Johor, namun ternyata ia hanyalah khabar angin. BH

Hans, Shahrol sedia dicalonkan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


100 anggota polis sujud mohon maaf

Neelofa akhirnya tunjuk wajah Bilal

PU Azman didakwa lakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker