Satu keluarga doktor gigi

Satu keluarga doktor gigi

Peribahasa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi tepat bagi menggambarkan kisah Dr Nor Azlina Mohd Amin yang mempunyai legasi apabila dua daripada empat anaknya iaitu Dr Nor Aina Syazwani Shaharuddin dan Dr Sarah Batrisya mengikut jejak langkahnya menjadi doktor gigi.

Bukan setakat itu, menantunya, Dr Arif Munawwar Maznorbalia, 27, yang juga suami kepada anak sulungnya, Dr Nor Aina Syazwani, 28, juga seorang doktor gigi dan kini bekerja di kliniknya.



Tidak ketinggalan, anak ketiganya, Dr Muhammad Haziq, 24, baru menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian Universiti Malaya (UM) dan bakal bergelar doktor gigi manakala yang bongsu, Muhammad Hazim Iman, 17, juga merancang menyambung pengajian dalam bidang pergigian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bercerita lanjut, Dr Nor Azlina, 54, berkata, sudah tiga dekad beliau menceburi bidang pergigian dan bermula dengan tujuh tahun di sektor kerajaan sebelum membuka klinik sendiri pada 2000.

Katanya, minat itu tercetus kerana kecenderungannya dalam kerja tangan dan kemahiran.

Bagaimanapun, Dr Nor Azlina berkata, beliau tidak pernah mempengaruhi, jauh sekali memaksa anaknya sebaliknya sekadar beri dorongan selepas melihat minat kesemua anaknya dalam bidang pergigian.



“Selain Sains, saya suka seni seperti lukisan malah masa raya gemar anyam ketupat.

“Sebab itu, saya suka kerja tangan macam tampalan dan rawatan gigi kerana bagi saya, ia juga satu seni.

“Mungkin sebab itu, Allah anugerahkan anak yang ada minat sama dan suami (Shaharuddin Ali, 59) gembira kerana tahu apa dilakukan itu kerja yang baik.

“Cuma, saya hanya beri semangat kepada anak untuk buat kerja bermanfaat dan sebagai doktor gigi, kita bukan hanya dapat pendapatan selesa, tetapi kerjaya ini boleh dapat pahala,” katanya ketika di Klinik Pergigian Azlina iaitu klinik miliknya dekat Pusat Perniagaan Medan Idaman, Setapak, di sini, semalam.



Menurutnya, beliau selalu berpesan kepada anaknya untuk serius jika benar-benar mahu menceburi bidang pergigian.

“Saya tak ada pembantu rumah jadi saya dan suami uruskan malah pernah bawa anak ke klinik waktu mereka kecil dulu.

“Mungkin daripada situ, timbul minat dalam diri mereka cuma saya pesan, kalau nak ambil alih (klinik) kena belajar, tak boleh main-main serta sanggup lalui perubahan zaman.

“Kalau boleh jadi lebih baik daripada saya dan selain lihat pesakit berpuas hati, seronok juga apabila ada anak rakan juga anak saudara juga jadi doktor gigi macam saya,” katanya yang mempunyai dua cawangan klinik gigi setakat ini.



Sementara itu, Dr Nor Aina Syazwani, 28, berkata, beliau menjadi doktor gigi kerana minat dan mahu mengikut jejak langkah ibunya.

Anak sulung daripada empat beradik itu juga menganggap ibunya sebagai mentornya dalam bidang pergigian sejak dulu hingga kini.

“Daripada kecil, seingat saya sejak umur empat tahun lagi saya sudah ikut emak ke klinik.

“Mungkin sebab itu juga, datangnya minat malah waktu sekolah lagi setiap kali cikgu tanya nak cita-cita saya akan cakap nak jadi doktor gigi.



“Emak juga individu yang saya akan rujuk untuk tanya pendapat jika berdepan kes tertentu waktu bekerja.

“Cuma, saya sebenarnya tak letak pun sasaran berkahwin dengan doktor gigi tapi sudah jodoh, namun andai kata ada zuriat, saya tak halang jika dia (anak) pun berminat jadi doktor,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian dari Universiti Alexandra, Mesir.

Adiknya, Dr Muhammad Haziq turut bersyukur kerana dilahirkan dalam keluarga ‘doktor gigi’ dan tidak pernah menghalangnya untuk menceburi bidang sama.

Menurutnya, ibu mahupun kakaknya banyak memberi tunjuk ajar dan dia menganggap ia sebagai satu kelebihan buatnya kerana dapat ‘berguru’ dengan mereka.



“Selepas tamat pengajian asasi, saya ada senarai pendekkan beberapa jurusan pengajian, ada perubatan dan minat juga fizik namun akhirnya pilih pergigian juga.

“Setakat ini, tak ada individu terdekat yang pandang negatif atau anggap pilihan saya membosankan tapi kebanyakannya kagum kerana saya datang daripada keluarga doktor gigi.

“Kelebihan saya pula adalah apabila dapat belajar ilmu yang mungkin tak diajar pensyarah dalam daripada emak dan kakak.

“Jadi saya memang bersyukur kerana dapat banyak peluang cuma merancang untuk timba pengalaman bekerja di klinik gigi kerajaan dulu sebelum masuk ke sektor swasta,” katanya. HM

Satu keluarga doktor gigi

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Sherie Merlis hangat bercinta dengan rakan artis?

Sudahlah Amy – Amir Ukays

Atilia kini bergelar pensyarah

Anak saya merintih 40 minit depan mata saya

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker