Datuk Sulaiman Abdullah peguam legenda di mahkamah sivil dan syariah

Pemergian Datuk Sulaiman Abdullah adalah satu kehilangan besar kepada evolusi perundangan sivil mahupun syariah dan kebanyakan pengamal undang-undang menyifatkan peguam tersohor itu sebagai seorang cendekiawan serta lantang bersuara.

Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, yang menzahirkan kesedihan atas pemergian Sulaiman berkata, Allahyarham banyak memberi sumbangan dalam bidang perundangan dan juga kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) atas kapasiti beliau sebagai penasihat berkaitan isu berkepentingan awam serta berprofil tinggi.

“Pemergian Allahyarham adalah suatu kehilangan besar kepada bidang perundangan dan negara. Sesungguhnya jasa dan bakti Allahyarham amatlah dihargai dan akan sentiasa dikenang oleh warga AGC.



“Kali pertama saya mengenali Allahyarham adalah semasa saya menuntut di Universiti Malaya di mana isteri beliau iaitu Profesor Datuk Dr Mehrun Siraj adalah pensyarah yang mengajar saya subjek undang-undang keluarga,” katanya.

Ahli keluarga dan kenalan terdekat menunaikan solat jenazah untuk peguam terkemuka Allahyarham Datuk Sulaiman Abdullah di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer pada Selasa. Foto: Bernama
Ahli keluarga dan kenalan terdekat menunaikan solat jenazah untuk peguam terkemuka Allahyarham Datuk Sulaiman Abdullah di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer pada Selasa. Foto: Bernama

 

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi pula menyifatkan Sulaiman sebagai seorang peguam terkenal serta dihormati oleh barisan hakim selain memiliki pengetahuan amat mendalam dalam undang-undang sivil dan syariah.

“Allahyarham rakan yang sangat karib dan pemergiannya suatu kehilangan besar dalam profesion perundangan,” katanya.



Bagi Nizam Bashir, Allahyarham adalah peguam yang begitu dikenali dengan dedikasi beliau terhadap kes-kes membabitkan kepentingan awam dan berprofil tinggi antaranya krisis Perlembagaan Perak.

Peguam itu berkata, Sulaiman banyak memperjuang kes membabitkan isu perundangan awam yang berhubung kait dengan Islam seperti kes Lina Joy, kalimah Allah dan bin Abdullah serta acap kali dilantik mewakili Majlis Agama Islam di peringkat Persekutuan dan Negeri untuk tujuan tersebut.

“Allahyarham masih meluangkan masa dalam aktiviti membabitkan Majlis Peguam dan dilantik sebagai Presiden Majlis Peguam sebanyak dua kali.

“Pemergiannya suatu kehilangan yang besar dalam kalangan peguam sivil dan peguam syariah.



“Hidup beliau sememangnya tercatat sebagai antara peguam sivil dan syariah yang kita takkan lupakan,” katanya.

Datuk Seri K Kumaraendran pula penyifatkan peguam veteran berusia 77 tahun itu sebagai seorang yang begitu budiman dan intelektual tulen kerana Sulaiman baik hati serta pemurah dengan semua orang tanpa mengira latar belakang atau keturunan meskipun beliau adalah seorang Muslim yang warak.

“Allahyarham Sulaiman adalah sahabat baik saya. Saya sering merujuk kepada beliau dalam beberapa isu syariah dan beliau sentiasa sudi membantu.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian beliau,” kata peguam itu.



Senada dengan yang lain, peguam Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, pemergian Sulaiman adalah satu kehilangan besar kepada Badan Kehakiman Malaysia dan juga diri beliau secara peribadi.

“Saya tidak begitu mengenali beliau sehinggalah Allahyarham bersetuju menjadi peguam utama saya dalam satu kes berkepentingan awam yang saya kalah di Mahkamah Tinggi dan beliau bersetuju menjadi peguam di peringkat Mahkamah Rayuan, peringkat mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan dan rayuan selepas itu.

“Kami melakukannya secara pro bono atau secara percuma di semua peringkat… kes itu telah dilaporkan meskipun kami tidak berjaya.

“Ia adalah ulang tahun perkahwinan saya namun saya telah dikejutkan dengan berita yang amat menyedihkan ini,” katanya sambil menambah beliau merancang untuk menziarahi Sulaiman semasa cuti Krismas hujung minggu ini namun hasrat itu tidak kesampaian.



Seorang lagi peguam iaitu Salim Bashir pula berkata, kematian Sulaiman amat merugikan profesion perundangan kerana Allahyarham adalah pejuang kebenaran selain seorang yang budiman, luar biasa dan berprinsip.

“Saya mendapat penghormatan untuk berkhidmat bersama-sama beliau dalam Majlis Peguam di mana beliau sering menjadi rujukan bagi mendapatkan bimbingan dan Allahyarham sentiasa membicarakan perihal Disiplin serta Etiket Majlis Peguam.

“Allahyarham Sulaiman komited terhadap kedaulatan undang-undang dan telah memberikan sumbangan yang begitu besar kepada profesion perundangan dan kita patut mengikut teladannya,” kata beliau.

Peguam Christopher Leong pula berkata, Sulaiman sebagai pendukung Majlis Peguam adalah sumber kebijaksanaan dan intelek institusi itu.



“Saya juga telah mendapat penghormatan untuk sama-sama menabur bakti dengan beliau dalam Majlis Peguam dan bersahabat baik dengan Allahyarham.

“Majlis Peguam kini kehilangan sebutir permata tanpa kehadiran beliau. Beliau akan sentiasa dirindui,” katanya.

Bagi Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Sulaiman adalah peguam yang unggul dalam segala hal dan beliau juga adalah seorang yang sopan, baik hati dan terhormat.

“Allahyarham adalah contoh yang unggul kepada kebanyakan ahli Majlis Peguam dari segi kualiti kejujuran, integriti dan keadilan. Kehilangan beliau akan dirasai oleh begitu ramai orang,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk NSivananthan secara ringkas menyifatkan Allahyarham Sulaiman sebagai seorang individu yang begitu mementingkan kebebasan dan tidak mudah akur kepada mana-mana pihak.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader pula berkata, Allahyarham adalah seorang legenda perundangan yang telah banyak menyumbang dalam perkembangan undang-undang sivil dan syariah di Malaysia.

“(Pemergian beliau adalah satu) Kehilangan besar yang sukar dicari ganti.

“Saya dan Allahyarham telah mengendalikan banyak kes bersama dan saya banyak belajar daripada beliau.

“Moga rohnya dicucuri rahmat dan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya.

Sulaiman, yang merupakan Presiden Majlis Peguam dari 2000 hingga 2001, meninggal dunia semalam pada usia 77 tahun. – Bernama

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Sherie Merlis hangat bercinta dengan rakan artis?

Sudahlah Amy – Amir Ukays

Atilia kini bergelar pensyarah

Anak saya merintih 40 minit depan mata saya

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker