KJ tolak pelawaan Muhyiddin

 

PETALING JAYA: Bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin meminta diberi masa untuk mempertimbangkan tawaran oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas tawaran itu, Khairy berkata beliau tidak mahu membuat keputusan berkait pengembaliannya ke arena politik semata-mata kerana pilihan raya negeri di enam negeri tidak lama lagi.



“Saya harap bahawa mereka yang telah memberikan tawaran kepada saya dapat memberi saya sedikit masa lagi untuk memikirkan perkara ini. Terima kasih kepada Muhyiddin yang secara umum telah menzahirkan perkara ini,” katanya dalam rancangan audio siarnya, Keluar Sekejap.

Rabu lalu, Muhyiddin secara umum menawarkan jawatan dalam MPT Bersatu itu kerana percaya Khairy mampu memberi sumbangan kepada parti.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dan bekas menteri kesihatan, dipecat dari Umno pada Januari kerana didakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan parti.

Khairy berkata, beliau tidak mahu sebarang keputusannya dibuat berdasarkan emosi atau membalas dendam, malah menyifatkan keputusan untuk memilih parti politik bukanlah sesuatu yang boleh diambil dengan ringan.



“Saya tak nak buat keputusan itu diundang disebabkan emosi nak balas dendam, nak mengajar mana-mana pihak, dan takut mengecewakan rakan-rakan,” katanya.

Pada pilihan raya umum November 2022, Khairy menggambarkan dirinya sebagai “reformis Umno” dengan mendakwa parti itu telah hilang arah dan “mesti kembali ke pangkal jalan”.

Menurutnya, beliau mahu mengembalikan Umno menjadi wadah perjuangan yang boleh dibanggakan orang Melayu semula.

Beliau tewas dalam pertandingan kerusi Sungai Buloh, yang disifatkan sebagai kubu kuat Pakatan Harapan, kepada R Ramanan dari PKR dengan 2,693 undi.



 

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Anwar: The Untold Story jauh mengatasi Mahathir: The Journey

Telan pil Viagra nak ‘main lama’, warga emas temui ajal



Rafizi datang lagi kini dengan formula PADU

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker