DNAA Zahid: Pembangkang sebenarnya tak mahu dengar

DNAA Zahid: Pembangkang sebenarnya tak mahu dengar

Oleh Hishamuddin Aun

Sidang terbaru Dewan Rakyat kali ini sudah pun kecoh dari hari pertama lagi 11 Sept Lalu. Ia berkisar kepada usul untuk membahaskan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkait Yayasan Akalbudi yang ditolak.



Dengan usul itu tidak diterima untuk keutamaan diberi kepada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) bangkit membuat bantahan. Speaker Johari Abdul menjelaskan akan memberi ruang kepada wakil Machang itu kemudian.

“Kita nak dengar benda penting, saya akan bagi peluang lepas perdana menteri berucap,” kata Johari. Seterusnya Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membangkitkan dakwaan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan bagi pihak Johari, yang dinafikan speaker Dewan Rakyat itu.

Gara-gara itu, kekecohan berlaku. Ketika itu juga Wan Ahmad Fayhsal bangkit memaklumkan usul itu telah ditolak. Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin kemudian mempersoalkan bagaimana ia boleh dibahaskan jika sudah ditolak.

Apabila Johari membalas bahawa beliau mempunyai hak untuk tidak memberi sebarang ruang kepada Wan Ahmad Fayhsal kerana usul itu telah ditolak, ia sekadar memuncakkan lagi rasa tidak puas hati mereka terhadap speaker berkenaan. Itu sesuatu yang tidak boleh mereka nafikan sebenarnya.



Kemuncaknya dapat disaksikan petang semalam apabila wakil Perikatan Nasional (PN) keluar beramai-ramai meninggalkan sidang Dewan Rakyat. Ini berlaku selepas Anwar ketika sedang menjelaskan DNAA Zahid — seperti yang berhari-hari dituntut pembangkang – menyaksikan Radzi Jidin (PN-Putrajaya) ketawa mendengar penjelasannya.

Jelas Anwar, isu mengenai apa yang dibincangkan antara beliau dengan peguam negara sebelum ini, Idrus Harun, dibangkitkan oleh Hamzah. Apabila Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk menghentikan prosiding mahkamah membabitkan Zahid, sambungnya, beliau ada bertanya kepada Idrus, yang mengakui memberikan arahan berkenaan.

“Saya bukan berbincang mengenai keputusannya (menghentikan prosiding), saya tanya alasan, minta penjelasan dan tanya adakah beliau boleh mempertahankan keputusan itu,” tambahnya.

Ketika itu Radzi ketawa mendengar kata-kata Anwar, yang dibentak perdana menteri: “You boleh gelak…you boleh gelak, Putrajaya, kerana you buat perkara itu. Semasa pentadbiran (PN) you buat perkara itu.”



Bingkas berdiri, Radzi mendesak Anwar menarik balik kata-kata berkenaan. Kata Radzi lagi, kenyataan dibuat Anwar itu berniat jahat kerana menuduh beliau (Radzi) terbabit dalam salah laku. Sekali lagi keadaan kecoh lebih 20 minit dengan Ahli Parlimen kedua-dua blok saling bertegang leher, sama ada mendesak Anwar menarik balik kenyataannya itu atau mempertahankan perdana menteri.

Walaupun Anwar sudah membuat penjelasan terhadap kenyataannya itu seperti diarahkan speaker, keadaan terus tidak terkawal. Radzi berkeras bahawa penjelasan Anwar itu tidak sama dengan tuduhan asalnya sebelum itu yang didakwanya berniat jahat di samping menuntut perdana menteri menarik balik kata-kata awalnya itu.

Disusuli amaran pertama Johari kepada Radzi bahawa Anwar sudah pun membuat penjelasan dan diterima oleh speaker berkenaan, namun ia tetap tidak diendahkan oleh wakil Putrajaya itu yang melanjutkan bantahannya.

Ini mendorong Johari mengarahkan Radzi supaya keluar dari Dewan, yang segera dicelah oleh Hamzah yang bangun untuk menawarkan penjelasan bahawa rakannya itu sekadar menuntut untuk mempertahankan maruahnya daripada tuduhan perdana menteri.



Namun, ketika Anwar menyambung penjelasannya dengan menyebut beberapa kes DNAA masa lalu ketika bawah pentadbiran PN di sebalik prima facie yang berjaya diwujudkan, Hamzah mendahului Ahli Parlimen PN keluar dari Dewan sebagai menunjukkan solidariti kepada Radzi.

Tinggallah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) dan Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang masih mahu bertanyakan soalan kepada perdana menteri serta ahli-ahli di blok kerajaan perpaduan serta barisan menteri dan timbalan menteri.

Sebahagian yang menonton mungkin melihat kejadian keluar beramai-ramai itu sebagai pernyataan tidak puas hati terhadap Johari yang harus dirasakan mereka bersekongkol dengan Anwar, seperti didakwa mereka pada hari pertama persidangan Isnin lalu lagi.

Namun, sebahagian yang lain pula harus melihat ia satu lagi “drama” ciptaan pembangkang yang menunjukkan mereka sebenarnya tidak pun berminat untuk mendengar apa juga penjelasan Anwar – seperti mana yang mereka sendiri tuntut – kerana mereka sudah boleh mengagak isi kandungannya.



Sebaliknya, apa yang mereka mahukan ialah untuk terus melanjutkan persepsi bahawa keputusan DNAA ke atas Zahid selepas prima facie diwujudkan dan perbicaraan yang berlanjutan lebih empat tahun, adalah gara-gara campur tangan eksekutif dan bukan didasarkan kepada keputusan peguam negara.

Ini jelas kerana dalam kekecohan semalam, mereka bukannya tiada pilihan jika mereka benar-benar mahu mendengar penjelasan perdana menteri dari mula hingga selesai. Tidak, mereka jelas tidak berminat kepada perkara itu.

Johari, yang ketika empat hari perbahasan Kajian Separuh Penggal RMK12 tidak pun menyekat wakil pembangkang daripada turut menyelitkan hujah membabitkan kes DNAA Zahid, turut memberi laluan kepada Radzi untuk mengemukakan usul kepada speaker jika masih tidak berpuas hati.

Itu keputusannya sebagai speaker yang beberapa kali mengangkat sambil menunjukkan buku peraturan mesyuarat Dewan Rakyat sebagai rujukannya di samping hanya mengambil tindakan tegas apabila keputusannya tidak diendah, malah dicabar.



Blok pembangkang boleh saja terus berada dalam Dewan untuk mendengar penjelasan lanjut perdana menteri tapi nampaknya mereka lebih memilih untuk menjadikan modal “maruah” Radzi sebagai alasan untuk keluar daripada memberi pertimbangan kepada maruah Zahid sama.

Syabas kepada Radzi, bekas menteri kanan pentadbiran terdahulu, kerana telah memainkan peranannya dalam “drama” itu dengan baik. Kalau pun bukan beliau, harus ada wakil pembangkang lain yang akan menimbulkan kekecohan untuk mereka beroleh alasan meninggalkan Dewan.

“Apa yang saya katakan itu benar, Putrajaya (Radzi) tahu (apa yang berlaku), dia adalah sebahagian daripada pentadbiran lama dan AG ‘lama’ (Idrus),” sambung Anwar. “Sebab itu dia (Radzi) tidak tahan mendengar penjelasan saya. Ini kerana mereka sudah biasa dengan sistem itu dan mereka fikir saya juga melakukan perkara yang sama.”

Kita biarkan jika blok pembangkang berasakan mereka sudah menang dalam menimbulkan kekecohan semalam, sama seperti perhimpunan “Selamatkan Malaysia” Sabtu lalu yang sebenarnya gagal dengan kehadiran tidak seberapa. FMT

DNAA Zahid: Pembangkang sebenarnya tak mahu dengar

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Arak memang dihidangkan – Syasya Dolla

Pengacara popular tak bayar gaji staff?

Ustaz Wadi tegur usahawan kosmetik maki suami (Video)

Cerdik ke bodoh? Seharian beratur beli makanan viral

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker