DNAA Zahid, nak ikut persepsi atau fakta kes?

DNAA Zahid, nak ikut persepsi atau fakta kes?

Oleh Dr Hirwan Jasbir Jaafar

Pelbagai pandangan diberikan ekoran keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Collin Lawrence Sequerah, membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Antaranya, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, yang meminta Peguam Negara memberikan penjelasan terbuka mengenai faktor mendorong keputusan itu supaya keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli turut mengeluarkan kenyataan sama supaya hujah atau alasan mendorong kepada keputusan terbabit dapat memberikan pencerahan kepada semua pihak, sekali gus mengangkat integriti institusi undang-undang negara, terutama Jabatan Peguam Negara (AGC) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Begitu juga Transparency International Malaysia (TI-M) mendesak AGC membuat kenyataan penuh dan jujur terhadap keputusan pihak pendakwa kerana kononnya alasan diberikan di mahkamah terlalu teknikal.

Penjelasan ini sebenarnya sudah tidak perlu kerana alasan pihak pendakwaan sudah diberi secara terperinci dan terbuka, sekali gus diterima hakim dan dilaporkan meluas oleh media massa.

Antara intipati terpenting, Ahmad Zahid sudah mengemukakan enam surat representasi kepada AGC membangkitkan isu dan bukti baharu sudah semestinya memerlukan SPRM menyiasatnya.

Malah, SPRM sendiri secara rasmi memaklumkan kepada AGC bahawa adalah penting untuk siasatan lanjut lebih terperinci, mendalam dan menyeluruh dibuat terhadap kes ini.

Surat representasi turut menyentuh siasatan terhadapnya dikatakan dibuat secara terburu-buru, cuai, pramatang dan tidak lengkap menyebabkan reputasi serta nama baik AGC selaku pihak pendakwaan dan SPRM (badan penyiasat) tercemar dan dilihat melalui kaca mata umum seolah-olah kedua-dua institusi undang-undang berkenaan diperalatkan pihak tertentu.

Pihak pendakwaan juga menyatakan Jemaah Menteri melalui kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, dalam mesyuaratnya pada 11 Januari 2023 bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti secara menyeluruh Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Ujar Azalina, selepas meneliti syor dicadangkan Pasukan Petugas Khas dalam laporannya, Kabinet bersetuju antara lain cadangan penubuhan RCI. Tambah beliau, kerajaan memandang serius dakwaan membabitkan pelanggaran tanggungjawab profesional suatu jawatan tertinggi kerana ketelusan dan akauntabiliti adalah asas kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan dan institusi kerajaan.

Mangsa pendakwaan terpilih

Dalam surat representasi itu, Ahmad Zahid membangkitkan dakwaan serius bahawa beliau mangsa pendakwaan terpilih daripada kerajaan sebelum ini. Pihak pendakwaan berpendapat amat penting untuk disiasat selaras tujuan RCI terbabit.

Selain itu, baru-baru ini juga tular dokumen didakwa memo dalaman AGC bertarikh 10 September 2019 ditujukan kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas, yang menyatakan 12 ahli kumpulan penyiasat sebulat suara bersetuju enam pertuduhan jenayah pecah amanah (BCT) membabitkan wang sejumlah RM6.6 bilion dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah adalah ‘non-starters’ kerana tidak memenuhi prasyarat minimum pertuduhan berkenaan apa lagi untuk mendapatkan kes prima facie.

Turut tular, dokumen didakwa memo dalaman AGC bertarikh 17 Oktober 2018 yang menyatakan penulisnya dikatakan mencadangkan tiada apa-apa pertuduhan dibuat ke atas Ahmad Zahid kerana keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan kesalahan itu.

Pihak pendakwaan menyebut AGC sedang menyiasat kandungan memo berkenaan kerana turut menyentuh secara langsung isu dibangkitkan Ahmad Zahid melalui representasi dikemukakan.

Oleh itu, untuk tidak menafikan hak Ahmad Zahid dan lebih penting lagi, supaya tiada salah laku di sisi undang-undang (no miscarriage of justice), pihak pendakwaan percaya pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri perlu diberhentikan buat masa ini sehingga siasatan lebih menyeluruh dan lengkap selesai.

Hakikatnya, pemberhentian pertuduhan secara DNAA terhadap Ahmad Zahid bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan kos, terutama pada pihak mahkamah, malah ia juga lebih adil kepada semua pihak yang sebarang pertuduhan ingin dikemukakan, hendaklah dibuat hanya hingga siasatan lanjut SPRM selesai. Lebih penting lagi, selepas RCI sudah selesai bersidang dan mencapai keputusan.

Justeru, amat tidak adil kepada mahkamah untuk menangguhkan perbicaraan kes ini ke tarikh tidak boleh dipastikan, iaitu hingga tarikh RCI mencapai keputusan yang mungkin berlanjutan berbulan-bulan atau bertahun-tahun kerana jika penangguhan demi penangguhan dibiarkan berlaku, mahkamah akan turut terpalit dengan persepsi negatif dan dikecam pihak tidak bertanggungjawab.

Tidak berbangkit isu pembaziran masa jika pihak pendakwaan membuka kembali kes ini seperti dibangkitkan sesetengah pihak. Seksyen 254a Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan perbicaraan baharu tidak perlu dimulakan dalam perbicaraan tertuduh diberikan suatu pelepasan, kemudiannya dipertuduh semula atas kesalahan sama.

Seksyen ini jelas menyebut jika saksi dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan sebelum pelepasan itu diberikan, perbicaraan itu hendaklah dikembalikan ke kedudukan asal dan hendaklah diteruskan seolah-olah tiada pelepasan diberikan kepada tertuduh.

Berdasarkan semua ini, maka tepatlah keputusan hakim bahawa alasan dikemukakan pihak pendakwaan dalam membuat permohonan DNAA adalah kukuh (cogent).

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

DNAA Zahid, nak ikut persepsi atau fakta kes?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dr. Malar naik angin ejen pelancongan cakap tak serupa bikin

Teruk sangat jalan raya kami, Tuanku (Video)

Zul Ariffin kecewakan peminat kerana melawat Al Ula

Najib to Mahathir: “Give it a rest Atok!”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker