Naik taraf pemegang lesen B2, pakar ingatkan kerajaan jangan abai keselamatan penunggang motor

Pakar keselamatan jalan raya menggesa agar fokus diberikan kepada keselamatan jalan raya dan pengajaran pemanduan yang lebih baik, berbanding meluluskan usul pemimpin kerajaan untuk menaik taraf pemegang lesen motosikal kelas B2 kepada kelas B penuh secara automatik.

Lesen B2 adalah untuk motosikal dengan kapasiti enjin bawah 250cc (lazim dipanggil “kapcai”) manakala lesen B membenarkan pemegangnya menunggang mana-mana motosikal termasuk yang melebihi 500cc (motosikal kuasa tinggi atau “superbike”).

Pakar keselamatan jalan raya Law Teik Hua daripada Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia tidak bersetuju dengan usul naik taraf itu, sebaliknya menggesa agar perubahan dilakukan pada kurikulum sekolah memandu.



Beliau berkata, pemegang kedua-dua lesen itu memerlukan kemahiran berbeza memandangkan ia melibatkan jenis motosikal yang berbeza.

“Cara mengendalikan motosikal kecil dan ‘superbike’ tidak sama. Perlu tahap kemahiran yang lebih tinggi untuk mengendalikan ‘superbike’,” katanya kepada FMT.

Usul menaik taraf lesen secara automatik, tanpa ujian tambahan, dibuat pada Ahad oleh Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, yang juga pemilik dan penunggang motosikal kuasa tinggi.

Beliau berkata, usul itu akan dikemukakan untuk disemak Kementerian Pengangkutan.



“Saya tidak fikir ujian memandu (diperlukan) kerana mereka pemandu (penunggang) yang berpengalaman, dan saya juga fikir mereka tidak memerlukan syarat-syarat ketat,” katanya ketika menghadiri sebuah acara motosikal kuasa tinggi.

Menurut Law, usul itu dibuat pada ketika statistik menunjukkan lebih 4,000 penunggang motosikal maut akibat kemalangan jalan raya setiap tahun.

Beliau menggesa kerajaan memasukkan modul atau ujian persepsi bahaya dalam kurikulum lesen memandu.

“Banyak negara telah menggunakannya selama beberapa tahun untuk mengekalkan rekod keselamatan jalan raya yang kukuh,” katanya.



Ujian persepsi bahaya ialah ujian berasaskan komputer yang memeriksa sejauh mana seseorang dapat mengesan bahaya semasa memandu di jalan raya dan cara bertindak balas dengan selamat.

Pakar pengangkutan Rosli Azad Khan berkata, kerajaan akan dilihat sebagai mengabaikan keselamatan jalan raya jika meneruskan usul itu.

Katanya, pemegang lesen motosikal kelas B2 tidak menjalani prosedur pembelajaran dan ujian yang sama seperti pemegang lesen kelas B.

“Bukan sesuatu yang terbaik dari segi keselamatan jalan raya apabila mereka tidak mematuhi proses pembelajaran dan ujian yang ditetapkan oleh Ordinan Pengangkutan Jalan,” katanya.



Beliau berkata, kerajaan juga akan kehilangan hasil apabila melaksanakan penaikan taraf lesen secara automatik. Kos untuk mendapatkan lesen motosikal B adalah antara RM1,100 dan RM1,500.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



GV10, gegar segala gegar

Jangan tayang suami kalau takut disondol – Che Ta



Saya bukan orang ketiga antara Nafiez dan Fify – Neera

Saya Anak Malaysia lagu wajib Hari Kebangsaan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker