Elak suntik payudara, kesannya memudaratkan

Elak suntik payudara, kesannya memudaratkan

Dilaporkan seorang wanita me­ninggal dunia selepas empat hari menjalani suntikan membesarkan payudara yang didakwa dilakukan oleh pakar kecantikan tidak bertauliah.

Mangsa berusia 29 tahun merupakan ibu kepada dua anak meninggal dunia pada pukul 7 pagi 3 Ogos lalu.



Menurut suaminya yang berusia 35 memaklumkan mangsa dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi yang didakwa berpunca daripada suntikan pembesaran payudara asid hyaluronik.

Susulan itu, didedahkan ada segelintir individu atau pusat estetik menawarkan prosedur membesarkan payudara menerusi suntikan filler.

Harga yang bermula RM999 sehingga RM2,999 itu ditawarkan bergantung kepada saiz ­payudara yang dimahukan. Persoalannya selamatkan prosedur ini digunakan?

Pakar Bedah Umum, Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn, Dr. Zulkifli Mohamad Zainuddin berkata, situasi yang melibatkan komplikasi daripada rawatan suntikan payudara sebenarnya semakin kerap dilihat bukan sahaja di hospital KPJ Bandar Dato’ Onn, malah di hospital-hospital swasta yang lain.



Katanya, trend itu membimbangkan kerana kebanyakkan pesakit datang disebabkan sakit yang berterusan pada bahagian payudara yang disuntik dan ada yang datang dengan keadaan le­bih teruk apabila ia bernanah.

“Dalam kebanyakkan kes yang dilihat sebelum ini, pesakit atau pelanggan tidak mengetahui latar belakang ahli yang terlibat.

“Mereka akan diberikan testimoni-testimoni klien terlebih dahulu tanpa membuat kajian terlebih dahulu berkenaan kela­yakkan ahli tersebut, bahan yang digunakan dan kesan daripada suntikan tersebut,” katanya.

Dr. Zulkifli berkata, kesan daripada suntikan-suntikan yang dibuat boleh dilihat dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang.



Katanya, kesan jangka masa pendek boleh dialami pengguna seperti sakit dan ketidakselesaan berterusan, perubahan pada warna kulit payu dara dan jangkitan kuman seterusnya pembentukan nanah pada bahagian yang disuntik.

“Alahan pada bahan suntikan, boleh meragut nyawa sekiranya lebih serius, malah jangkitan yang teruk boleh juga menyebabkan payu dara yang terlibat terpaksa dibuang,” katanya.

Beliau berkata, kesan jangka masa panjang pula melibatkan pesakit berkemungkinan di­serang kanser.

Katanya, ini kerana kesukaran dalam menjalani imbasan ultrasound dan mamogram menyebabkan kesukaran dalam mengesan ketumbuhan atau kanser.



Selain itu, implikasi lain adalah kehadiran bahan suntikan ke dalam payudara juga boleh menimbulkan tindak balas alahan yang teruk sekali gus mampu menjejaskan keseluruhan fungsi badan.

Malah, kos yang terpaksa ditanggung pesakit untuk rawatan selepas suntikan yang membawa mudarat juga adalah amat tinggi.

Dr. Zulkifli menasihatkan agar wanita-wanita di luar sana, menghargai dan menyayangi tubuh masing-masing.

“Sila dapatkan nasihat daripada pakar-pakar di hospital sekiranya anda ingin mendapatkan rawatan atau perkhidmatan payu dara.



“Lakukan sedikit kajian sebelum meneruskan rawatan dan adalah lebih baik melaburkan sedikit wang untuk mendapatkan rawatan yang betul dan selamat,”katanya.

Selain itu, katanya, sokongan dan penerimaan pasangan juga amat penting kerana ada kes-kes yang berlaku disebabkan permintaan daripada pasangan masing-masing.

Tegasnya, jangan mudah terpedaya dengan testimoni–testimoni yang ditunjukkan dan harga ditawarkan.

“Anda hanya meletakkan aset berharga anda pada risiko tidak sepatutnya dan mungkin mempertaruhkan nyawa anda dalam waktu yang sama,” katanya. K Online



Elak suntik payudara, kesannya memudaratkan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Jumpa kamu di alam lain Nad – Sharifah Sakinah

Aliff Syukri bengang pasal Ira dan Puteri Sarah

Berzina dengan ibu kandung

Saya tahu masalah Nad – Marsha Milan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker