Papagomo diarah jawab saman Fahmi

Papagomo diarah jawab saman Fahmi

Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau ‘Papagomo’ hari ini diperintahkan Mahkamah Tinggi untuk memasukkan kehadiran atau menyatakan hasrat untuk menjawab saman yang dikemukakan terhadapnya oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Kes saman fitnah berkenaan yang difailkan oleh Fahmi pada 5 September lalu adalah berhubung dakwaan kononnya Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.



Dalam prosiding pengurusan kes saman itu hari ini yang dijalankan secara dalam talian, Timbalan Pendaftar Aisyaf Falina Abdullah memerintahkan Wan Muhammad Azri memasukkan kehadiran dalam tempoh 14 hari berakhir 5 Disember ini.

Menurut peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi, Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu memerintahkan supaya saman itu diserahkan melalui penyampaian ganti kerana ia tidak dapat diserahkan kepada Papagomo.

Beliau berkata, susulan itu saman terbabit diserahkan kepada defendan melalui pemakluman penyampaian ganti iaitu melalui akhbar berbahasa Inggeris pada hari ini.

Katanya mahkamah kemudian menetapkan pada 8 Disember ini bagi pihak plaintif memaklumkan sama ada defendan sudah memasukkan kehadiran atau sebaliknya.



Selain Papagomo, Fahmi selaku plaintif turut menyaman penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani dan pemilik akaun Facebook ‘N13 Kuang’, Mohd Fauzan Madzlan selaku defendan berhubung isu sama.

Melalui satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini, Fahmi berkata peguam beliau sudah cuba untuk menghubungi Papagomo sejak beberapa bulan lalu, berkait kenyataan berbaur fitnah terhadapnya sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.

Dalam pernyataan tuntutan, Fahmi berkata ketiga-tiga defendan menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Fahmi berkata, kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos lalu, dan di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lalu.



Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor sudah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.

Beliau turut mendakwa, kenyataan fitnah itu dibuat bertujuan memburukkan nama baiknya demi mendapatkan publisiti murahan atau mewujudkan sensasi dalam arena politik negara selain menjejaskan reputasinya sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet.

Katanya, pihaknya sudah menghantar surat tuntutan bagi ketiga-tiga individu itu menarik balik kenyataan fitnah berkenaan, membayar ganti rugi dan menyiarkan permohonan maaf, namun sehingga kini mereka gagal berbuat demikian.

Oleh itu, plaintif menuntut antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan, dan perintah injunksi bagi menghalang semua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu. BH



Papagomo diarah jawab saman Fahmi

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Batalkan konsert Coldplay? Tiket tak beli bolehlah



‘Tangan tak dapat angkat gelas, kaki lemah, muka herot’ – Esma Daniel

Rusdi Ramli, Sharon berpisah?



Nak maki sampai bila – Ali Puteh

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker