Nahas Pesawat: ‘Tindakan cikgu pecut, potong kereta pemandu Grab selamatkan nyawa kami’

Tindakan pantas guru tadika memintas sebuah kenderaan di depannya, menyelamatkan dia dan muridnya daripada menjadi mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, kelmarin.

Masikah Ta’ibah Zakaria, 25, berkata dia bersama dua muridnya melalui Elmina selang beberapa saat sebelum pesawat berkenaan terhempas dan meletup.

“Seperti biasa, dari tadika di Denai Alam saya melalui kawasan itu ke Subang Bestari untuk menghantar dua beradik itu ke rumah.



“Sebenarnya, sebelum pesawat terhempas, saya sudah nampak sebelum jambatan Elmina yang pesawat nak ‘landing’, jadi saya tak fikir apapun hingga saya cemas apabila terdengar bunyi enjin pesawat sangat kuat dan berdekatan dengan kereta.

“Waktu itu saya hanya fikir nak selamatkan diri dan ada dua nyawa lagi di tempat duduk belakang. Jadi saya tekan pedal minyak dan beberapa saat selepas itu saya lihat melalui cermin sisi ada letupan di belakang kami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Video kereta wanita itu memecut laju memintas kereta dipercayai milik pemandu e-hailing, Allahyarham Sharipuddin Shaari beberapa saat sebelum letupan berlaku di belakang mereka tular di TikTok dan Instagram, semalam yang turut disahkan ibu kanak-kanak itu.

Bercerita lanjut, Masikah berkata, dia demam kerana masih terkejut dengan kejadian yang hampir meragut nyawanya dan murid, malah tidak menyangka rupanya dia memintas kereta pemandu e-hailing, Allahyarham Sharipuddin.



“Saya masih tak sangka boleh terselamat daripada nahas itu dan rasa sangat bersyukur Allah lindungi saya dan anak yang saya bawa selamat.

“Saya percaya Allah gerakkan hati saya untuk memecut laju hari itu dan saya anggap ini juga satu peringatan buat saya supaya berhati-hati dan lebih berwaspada lagi,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada dua beradik itu yang mahu dikenali sebagai Lily berkata, dia melakukan sujud syukur sebaik saja menerima khabar dua anaknya Maliq Adam Malik Faisal dan Maliq Farhan masing-masing berumur enam dan empat tahun terselamat daripada nahas itu, petang kelmarin.

“Saya baru saja selesai solat ketika dihubungi pihak tadika yang bertanyakan keadaan dua anak sebelum mereka memaklumkan kereta dipandu guru anak saya terselamat daripada nahas itu.



“Hari itu, saya hampir kehilangan anak tetapi syukur Allah lindung dua anak istimewa saya dan ini mengingatkan saya jika seseorang itu terlepas daripada bencana, pasti ada kebaikan dia buat atau doa seorang ibu, saya tak tahu apa kebaikan guru itu lakukan, tetapi saya percaya ini semua kuasa Allah dan ada hikmahnya,” katanya.

Dua beradik itu sukar melahirkan perasaan mereka selepas kejadian itu berikutan Maliq Adam menghidap austime manakala Maliq Farhan masalah pertuturan lambat.

“Saya tidak tahu mereka trauma atau tidak, tapi apa yang pasti mereka melihat nahas itu berlaku di belakang mereka kerana keduanya-duanya cuba bercakap dengan saya mengenai api dan ‘boom’.

“Hubungan saya dengan guru itu juga tidak terhenti, malah saya terhutang nyawa dengan guru anak saya itu dan berterima kasih dengannya dan sampai bila-bila pun saya akan simpan kenangan ini, suatu hari apabila mereka besar jika umur saya masih panjang, saya akan ceritakan mereka pernah terlepas daripada nahas itu,” katanya.



Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Norreen Iman bakal disaman resort terkemuka Johor



Farid Kamil balas foto pegang tangan Diana Danielle

Pesawat terhempas: Saya sudah mati jika pecut – Pemilik dashcam (Video)



Tak sanggup tengok arwah merangkak sebut nama Allah – Saksi pesawat terhempas (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker