Orang Melayu tolak pemimpin bukan tolak UMNO
KEPUTUSAN pilihan raya enam negeri melambangkan manifestasi perasaan dan sokongan pengundi. Segala kemelut dan sentimen serta isu yang berlegar dalam kalangan rakyat terjawab melalui tangan pengundi.
Walaupun pelbagai strategi dan propaganda serta pemasaran politik dilakukan untuk menambat hati pengundi, namun anxiety (kebimbangan) pengundi sukar untuk diduga. Ramai tidak menunjukkan perasaan, emosi dan sokongan nyata.
Sejauh mana keputusan pilihan raya negeri (PRN) ini melambangkan sokongan terhadap kerajaan Pusat atas nama Kerajaan Perpaduan? Walaupun keputusan ini tidak merubah struktur dan organisasi pemerintah, namun di sisi lain mencermin sokongan terhadap kerajaan Pusat.
Ditinjau dari segi sokongan parti-parti politik yang bertanding, seolah-olah seri, iaitu 3-3. Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) menang di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. Seperti dijangkakan, Perikatan Nasional (PN) menang bergaya di Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Namun, keputusan di Terengganu mencuri tumpuan apabila PN menyapu bersih kesemua 32 kerusi dipertandingkan sehingga nama besar pemimpin UMNO turut tumpas. Kemenangan Kelantan seperti diduga walaupun dijanjikan bekalan air bersih oleh kerajaan Pusat masih setia bersama Pas.
Walaupun jumlah mereka yang turun mengundi paling rendah di Kelantan, Pas masih lagi berjaya menguasai negeri ini. Ini bermaksud walau apa pun bentuk pembangunan dalam janji atau manifesto, tidak semestinya mendapat pulangan atau laba politik.
Dakwaan selama ini kononnya pengundi luar mempengaruhi keputusan pilihan raya, namun jangkaan ini meleset. Walaupun ramai perantau di Lembah Klang tidak balik mengundi dek masa tidak sesuai dan kekangan kewangan kerana pilihan raya diadakan di pertengahan bulan, Pas di Terengganu, Kelantan dan Kedah sukar digugat.
Ternyata PRN menzahirkan sokongan kuat khususnya Pas yang susah untuk digugat walaupun ditekan dan diasak dengan pelbagai strategi pihak lawan. PN juga mampu merobek tembok sokongan PH-BN yang menakjubkan di Selangor apabila berjaya memenangi 22 daripada 56 kerusi dipertandingkan di negeri itu.
Kebanyakan kemenangan PN di Selangor diperoleh di kawasan luar bandar yang majoriti pengundi Melayu. Namun, keputusan ini baik dari segi semak dan imbang dan membolehkan bangku pembangkang yang lebih kuat akan memberi kebaikan kepada Selangor.
ULTRA-MELAYU
Berdasarkan keputusan juga menunjukkan sokongan terhadap calon UMNO semakin menipis dan membimbangkan. Ironinya, parti ultra-Melayu ini kini memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu untuk menang terutama di bandar.
UMNO seolah-olah tidak lagi mampu bertahan di kerusi Melayu dan bersaing hebat merebut sokongan khususnya Pas dan PKR. Kelihatannya UMNO hampir terhapus di Pulau Pinang kecuali bekas menteri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Bertam dan Rashidi Zainol di Sungai Acheh.
Malah ‘gelombang Melayu’ yang menenggelamkan UMNO di Terengganu perlu dianalisis punca sebenarnya. Adakah keputusan buruk UMNO di Terengganu disebabkan parti berkenaan terus menampilkan personaliti kitar semula, orang sama setiap kali pilihan raya? Perlu didiagnosis atau berpunca permainan cah keting dalam kalangan ahli UMNO sendiri?
Keputusan di Kelantan menzahirkan kerajaan pimpinan Pas hanya menyerahkan dua kerusi, satu kepada UMNO di Galas dan satu lagi kepada PH di Kota Lama di mana terdapat kehadiran orang Cina yang ketara.
Sementara itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd. Nor kekal hebat walaupun diasak pelbagai serangan, namun sokongan pengundi tidak berbelah bahagi terhadapnya. PH-BN di Kedah hanya berjaya menang di Kota Darul Aman, Bakar Arang dan Sidam.
Ternyata segala serangan terhadap Muhammad Sanusi memberikan impak bumerang dan menyebabkan sokongan simpati bukan sahaja pada sosok ini malah merebak sokongan lebih padu dan sayang pada PN di seluruh Kedah dan negeri-negeri lain.
Analisis menunjukkan PRN ini seolah-olah menjadi pemilihan amat ketara berdasar kaum. Wujud garis pemisahan agak jelas, dengan sokongan orang Melayu di satu pihak dan bukan Melayu khususnya Cina di sebelah lain. Corak politik berasaskan kaum ini tidak akan hilang dalam masa terdekat dan akan terus merumitkan tadbir urus dan hubungan kaum pada masa akan datang.
UMNO pula hampir hilang sokongan kecuali di Negeri Sembilan. Namun, banyak kerusi dimenangi UMNO disebabkan sokongan bukan Melayu. Adakah ketirisan sokongan terhadap UMNO berpunca daripada penolakan orang Melayu terhadap UMNO atau seperti dikatakan ramai, penolakan kepimpinan parti berkenaan?
Untuk UMNO terus relevan dalam senario politik negara, pembedahan, pembugaran dan penjenamaan semula perlu dilakukan segara. Walaupun ramai menyatakan masih sayang dan menyokong parti keramat ini, namun pelbagai isu dalaman perlu diberikan naratif dan jawapannya sehingga di peringkat akar umbi. Kepimpinan UMNO perlu mengambil kira pandangan dan perasaan di peringkat bawahan.
Banyak iktibar dan pengajaran serta hikmah berdasarkan keputusan PRN ini. Semua parti politik menganalisis, merangka strategi dan memfokuskan hala tuju di era politik baharu yang semakin kompleks. Namun, sejauh mana keputusan ini dapat diterjemahkan sehingga Malaysia mampu bangkit sebagai sebuah negara yang stabil dari segi politik dan pembangunan lainnya?
DATUK Dr. Ismail Sualman ialah Profesor di Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Tukar ketua J-Kom segera – Adun DAP
- Aminuddin akan dilantik MB Negeri Sembilan semula
- Sanusi nak berbaik dengan Pusat
- Nabil terkejut Syafiq Kyle batal nikah dengan Mimi Lana
- Janna Nick masuk hospital akibat radang usus
- 2 minggu jiran dengar mangsa dera meraung, menangis
- Apa yang Melayu tak puas hati?
- PRN menunjukkan kita semakin hilang sokongan, kaji semula cara UMNO ditadbir
- Bersatu pun kalah banyak kerusi
- Dakwaan PAS perjuang Islam raih sokongan Melayu – Mufti
- Semua pemimpin UMNO perlu bertanggungjawab atas kekalahan PRN
- Syafiq Kyle Dan Mimi Lana Batal Nikah
- Ketua Pesuruhjaya SPRM bidas Hamzah, saman sajalah
- Farid Kamil cari ketenangan sertai tabligh selepas bercerai
Layari Laman Facebook MYKMU.NET